Terima Kasih kerana Follow GT-Puteri , anda semua adalah yang terbaik !

Thursday 7 February 2013

Pas Tidak Akan Berani Keluar Pakatan Pembangkang – Dr Mahathir


KUALA LUMPUR –  Pas tidak akan berani keluar daripada pakatan pembangkang kerana terlalu bergantung dan mempercayai DAP, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata Pas khuatir tidak akan mendapat sokongan rakyat dan seterusnya kalah dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang sekiranya bertindak keluar daripada pakatan itu.

“Saya ingat Pas tak berani keluar kerana dia bergantung kepada DAP. Dia keluar dia kalahlah, dia akan kekal dengan DAP pasal dia cukup sayang kepada Karpal Singh (Pengerusi DAP).

“Dia (Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) sambut harijadi pun dengan Karpal Singh, jadi tak kan nak bercerai, dengan Nasha (bekas timbalan presiden Pas Nasharudin Mat Isa) dah bercerai,” katanya mengulas desakan Nasharudin supaya Pas bergerak secara bersendirian bersandarkan kekuatannya jika ingin terus kekal relevan sebagai parti yang memperjuangkan Islam.

Dr Mahathir berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan buku bergambar “Antarctica: Malaysia’s Journey to the Ice” di Universiti Malaya di sini, hari ini.

Mengulas mengenai isu pemberian kad pengenalan biru kepada pendatang di Sabah, Dr Mahathir sekali lagi menegaskan bahawa ia dilakukan kerana mereka berhak dan layak mengikut lunas undang-undang negara.

Beliau berkata terdapat juga penerima kad pengenalan itu yang memberi undi kepada pembangkang sehingga memberi kemenangan kepada pembangkang.

“Mereka tidak selalunya menyokong BN (Barisan Nasional), mereka menyokong pembangkang. Jika tidak, kenapa BN kalah dalam pilihan raya di Sabah,” katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir meminta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Shamsul Azhar Abbas supaya mengadakan perjumpaan dengan badan bukan kerajaan (NGO) yang mendesaknya meletak jawatan.

Katanya keputusan untuk meletak jawatan tidak boleh dilakukan tergesa-gesa kerana mungkin ada masalah dan perkara yang tidak dapat dipersetujui sebelum ini.

“Sebelum kita menyingkirkan seseorang itu, kita perlu membuat kajian mengenai masalah itu,” kata Dr Mahathir yang merupakan Penasihat Petronas.

Baru-baru ini, media melaporkan Shamsul dan kepimpinan baharunya berdepan dengan desakan gabungan 42 NGO ekonomi Melayu dan 101 NGO ekonomi bersekutu, mahu mereka disingkirkan daripada menerajui syarikat minyak Negara itu.

No comments:

Post a Comment