Pakatan pembangkang telah terkenal dengan janji-janji palsu mereka sebagaimana penipuan 16 September yang dicanang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan terkini mereka membawa berita kononnya Sabah akan beralih kerajaan apabila kepimpinan pembangkang akan beroleh kemenangan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.
Ketua UMNO Bahagian Batu Sapi, Mejar Datuk Samsudin Yahya membidas khabar angin yang disebarkan sebagai cuba mempengaruhi masyarakat dan mengelirukan para pengundi di negeri terbabit sedangkan realitinya pakatan pembangkang tidak mendapat tempat di Sabah.
“Pakatan pembangkang di Sabah ibarat angan-angan Mat Jenin, mempunyai impian yang tinggi tapi semua cita-cita tersebut tidak mungkin menjadi nyata apatah lagi pelbagai kemelut dalaman yang berlaku dalam pakatan pembangkang tidak dapat disembunyikan selain kepimpinan BN telah terbukti kemantapannya,” katanya kepada UMNO-Online.
Dalam hal ini, masyarakat Sabah memperlihatkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) sebagaimana semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak telah disambut dengan puluhan ribu rakyat dalam lawatannya ke negeri terbabit.
“Ini amat bertentangan dengan pakatan pembangkang yang semakin meruncing menjelangnya PRU dengan khabarnya pembahagian kerusi d ikalangan mereka juga berlaku percanggahan misalnya antara SAPP dan STAR yang terbukti masih tidak ada persefahaman.
“Ini belum lagi diambil kira dengan janji-janji ketua pembangkang terhadap pemimpin tertentu. Kemudiannya Datuk Lajim Ukin yang menubuhkan parti Sabah People Front (SPF) tentunya turut mendapat janji untuk bertanding tetapi bagaimana pula dengan kepimpinan PKR sendiri yang telah lama mempelopori kepimpinan pembangkang di Sabah, tidak mungkin mereka akan mengalah begitu sahaja.”
Ujar beliau lagi, berdasarkan perkembangan politik semasa, pertelingkahan dan kegagalan mencapai persefahaman telah membawa kepada perpecahan melibatkan dua atau tiga kelompok yang masing-masing enggan mengalah untuk mencapai persetujuan dalam pembahagian kerusi.
“Kedatangan Anwar ke Sabah hanya mencetuskan kemarahan masyarakat kerana sikapnya yang sering membawa isu-isu sensitif misalnya hal-hal perkauman dan adat budaya yang sememangnya Anwar sendiri gagal selami.
“Apabila kumpulan pembangkang di Sabah menobatkan Anwar sebagai ‘Huguan Siau’ maka ini sebenarnya adalah satu penghinaan terbesar kepada orang Sabah terutamanya Kadazan, Dusun dan Murut (KDM). ‘Huguan Siau’ adalah pemimpin agung kepada masyarakat KDM dan hanya untuk etnik ini sahaja tetapi Anwar telah mencemarinya.”
Tegas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong, ketidakprihatinan pemimpin pakan pembangkang telah menghiris hati masyarakat malah janji-janjinya ditabur di semua tempat dengan agenda memberi jawatan dan kedudukan yang pelbagai.
“Rakyat Sabah tahu apa yang terbaik untuk masa hadapan dan sesekali tidak akan termakan dengan janji-janji pembangkang yang lebih bersifat mengapi-apikan antara satu sama lain dan mengundang kepada perpecahan,” tegasnya lagi.
No comments:
Post a Comment