Terima Kasih kerana Follow GT-Puteri , anda semua adalah yang terbaik !

Monday 19 November 2012

MBI tanggung hutang Unisel - Khalid




SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor akan memindahkan hutang yang ditanggung Universiti Selangor (Unisel), berjumlah RM150 juta kepada akaun Perbadanan Menteri Besar (MBI), kata Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Khalid berkata, langkah itu bukan hanya menyaksikan Unisel bebas daripada tanggungan hutang malah akan mempunyai lebihan pendapatan pada masa akan datang.

Bagaimanapun, Khalid tidak pula menjelaskan lain-lain hutang yang ditanggung Unisel seperti hutang kepada pemaju, kontraktor dan penyenggaran sebanyak RM263.6 juta dan kerajaan PKR Selangor sebanyak RM73.31 juta.  

"Dalam akaun Unisel ada liabiliti RM150 juta. Apa yg kerajaan negeri buat melalui MBI adalah pindahkan semua liabiliti Unisel ke MBI. Jadi, dalam akaun Unisel tiada lagi tanggungan RM150 juta dan bayaran yang dibuat Unisel dulu juga tidak termasuk dalam akaun Unisel. Jadi dengan cara itu Unisel bebas dari tanggungan 150 juta dan bayaran lain.

"Dengan itu perbelanjaan Unisel akan berkurangan dan pendapatan akan berlebih," katanya pada sidang media selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini ditangguhkan, hari ini.

Untuk itu katanya, kerajaan negeri akan menubuhkan Jawatankuasa Audit dan Pemeriksaan Unisel bagi memastikan usaha memulihkan akaun institut pengajian tinggi milik kerajaan negeri sepenuhnya itu, berhasil.

Kerajaan negeri sebelum ini dikritik hebat apabila Laporan Ketua Audit Negara 2011 mendedahkan, Unisel mengalami peningkatan kerugian sebelum cukai sebanyak 198.1 peratus berbanding RM12.62 juta pada 2009.

Menurut laporan itu, pendapatan Unisel pada tahun 2008, 2009 dan 2010 masing-masing berjumlah RM91.41 juta, RM89.35 juta dan RM71.82 juta.

Antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan jumlah kerugian adalah penurunan bilangan kemasukan pelajar dan dalam masa yang sama perbelanjaan meningkat daripada RM83.53 juta pada 2008 kepada RM95.78 juta pada 2009 dan RM102.87 juta pada 2010.

Laporan berkenaan turut menyatakan liabiliti syarikat tersebut pada 2010 iaitu sebanyak RM439.17 juta meningkat berbanding RM381.58 juta pada 2009.

No comments:

Post a Comment