Terima Kasih kerana Follow GT-Puteri , anda semua adalah yang terbaik !

Thursday 20 September 2012

Puteri Umno kecam 'tweet' Koo Ham


KUALA LUMPUR - Pergerakan Puteri UMNO dan pertubuhan bukan kerajaan, Jalur Tiga (JATI) mengecam kenyataan Pengerusi DAP Perak,Datuk Ngeh Koo Ham dalam laman sosial twitternya yang mempertikaikan tindakan umat Islam membantah dan menentang filem 'Innocence Of Muslims'.
 
Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, tindakan Ngeh yang menyatakan bahawa umat Islam membuang masa kerana memprotes tayangan video dan filem tersebut sebagai biadab dan tidak sensitif terhadap perasaan umat Islam di negara ini.
 
"Di saat umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia merasa marah dengan penghinaan dalam filem tersebut, terlalu malang untuk seorang pemimpin di negara ini yang mengaku memperjuangkan nasib rakyat berbilang bangsa dan agama membuat kenyataan sebegitu rupa," kata Rosnah dalam satu kenyataan di sini, semalam.
 
Katanya, kenyataan Ngeh itu juga memperlihatkan perangai sebenar pemimpin DAP yang tidak menghormati Islam selepas Pengerusi Kebangsaannya, Karpal Singh, menolak hukum hudud sebelum ini.
 
Menurut Rosnah lagi, lebih malang apabila tiada seorang pun pemimpin PAS bersuara terhadap kenyataan tersebut dan parti yang mengakui memperjuangkan Islam ini seolah-olah 'reda' dengan apa sahaja kenyataan pemimpin DAP yang menghina agama Islam.
Sementara itu, Presiden JATI, Datuk Hasan Ali dalam satu kenyataan pula berkata, kenyataan Ngeh sebagai mencabar maruah dan kesabaran umat Islam di negara ini.
 
Hasan  menyatakan rasa kesal terhadap pengerusi DAP Perak itu yang gagal menjaga sensitiviti umat Islam sedangkan beliau merupakan ahli politik yang dianggap senior di negara ini, apatah lagi DAP mempunyai pakatan dengan parti Pas.
 
"Ngeh pastinya sudah dapat membaca reaksi umat Islam yang sanggup mengorbankan nyawa demi mempertahankan kesucian agama Islam dan dalam konteks di negara ini ianya diterjemahkan melalui demontrasi dan ia juga diadakan di kebanyakan negara Islam yang lain," katanya.
 
Beliau juga melabelkan Pas sebagai parasit kerana hanya berdiam diri tanpa sebarang tindakan mahupun kenyataan berhubung isu tersebut.
 
Terdahulu, Ngeh dalam laman twitternya mengeluarkan kenyataan umat Islam hanya membuang masa dengan bercadang mengadakan bantahan besar-besaran Jumaat depan.
 
Sebelum ini, penyiaran filem 'Innocence of Muslims' menimbulkan kemarahan umat Islam seluruh dunia kerana menghina Nabi Muhammad SAW berikutan motif filem tersebut jelas menghina agama Islam.
 
Filem yang diarahkan oleh Sam Bacile itu mencetuskan tunjuk perasaan di kalangan umat Islam di seluruh dunia sebagai tanda protes serta beberapa siri serangan termasuk ke atas bangunan Kedutaan Amerika Syarikat di Libya sehingga meragut empat nyawa. - Bernama

Sumber : Sinar Harian

1 comment: