Terima Kasih kerana Follow GT-Puteri , anda semua adalah yang terbaik !

Saturday, 10 March 2012

Umum memerhati.. jangan kita sebar fitnah.. tak baik..

 
Populariti media sosial sebagai penyebar maklumat pada kalangan belia khususnya bukan satu mitos, apatah lagi rata-rata anak muda dapat dilihat ralit dengan telefon pintar mereka tanpa mengira tempat.

Tinjauan rambang mendapati kelompok berusia antara 18 dan 40 tahun ini yang meliputi 40 peratus penduduk negara, banyak bergantung kepada media sosial seperti Twitter, Facebook dan blog serta portal berita sebagai sumber maklumat.

Namun, jangan terkejut jika dikatakan tidak semua menerima bulat-bulat berita yang disebar menerusi laman terbabit, sebaliknya ramai yang berusaha memastikan kesahihan maklumat termasuk merujuk kepada media arus perdana yang kini mudah diakses menerusi internet.

Berkongsi pandangannya dengan Bernama, Ranes Subramaniam, 27, berkata walaupun maklumat diperolehi dengan cepat menerusi media sosial, seseorang itu harus menggunakan budi bicara dan pemikiran yang rasional dalam menilainya.

Pengurus kewangan itu berkata memandangkan limpahan maklumat di internet mudah diakses, amat penting bagi pengguna memastikan maklumat berkenaan boleh dipercayai.


"Apabila saya membaca sesuatu maklumat yang disebarkan menerusi Twitter, perkara pertama yang saya lakukan ialah mencari berita rasmi dan saya bandingkan kedua-duanya bagi memastikan perkhabaran itu tulen.


"Maklumat daripada media sosial tidak boleh dipercayai sepenuhnya kerana ada yang melibatkan emosi, fahaman politik malah perasaan benci kepada parti atau pemimpin politik," katanya.

 
Ranes berkata walaupun sosial media alat yang berkesan sebagai bahan bacaan alternatif, laman terbabit juga boleh disalah guna sesetengah orang termasuk ahli politik untuk menyebarkan dakyah mereka.

"Laman terbabit sepatutnya digunakan untuk berhubung dengan orang ramai bagi membincangkan dasar negara, bersetuju atau tidak bersetuju mengenainya dan banyak lagi. Dengan cara ini, dapat membantu meningkatkan kesedaran umum," katanya.


Bagi Norsyafiqah Abu Samah, 24, yang mengaku 'penagih' media sosial, beliau berasa tidak selesa untuk hanya bergantung kepada maklumat daripada media sosial.


Bakal doktor dari Universiti Kuala Lumpur itu yang juga seorang penulis blog, berkata media arus perdana masih relevan sebagai sumber sahih.


"Saya dan kawan-kawan di kampus tidaklah begitu naif untuk percaya bulat-bulat maklumat daripada internet, khususnya media sosial. Banyak lagi sumber lain yang boleh dipercayai untuk mendapat maklumat tepat dan media sosial hanya satu daripadanya," kata Norsyafiqah.


Bersetuju dengan beliau ialah penuntut Universiti Selangor, Muhammad Zaidi Maarof, 25, yang berkata kelonggaran polisi kerajaan mengenai internet wajar dimanfaatkan pengguna untuk mengupas lebih mendalam sebarang isu yang disebarkan medium itu.


Bagi pemerhati politik Khairuddin Mohd Zain, generasi muda kini lebih berhati-hati dalam menerima maklumat serta tahu berfikir secara rasional dan mendalam mengenai sesuatu isu sebelum membuat keputusan mengenainya.


Khairuddin yang juga anggota jawatankuasa alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, berkata belia hari ini bijak menapis maklumat yang diterima baik mengenai politik, ekonomi, pendidikan atau agama.


Beliau juga menegaskan ahli politik dan pembuat dasar wajar menggunakan saluran ini untuk berhubung dengan orang ramai bagi mendapatkan maklum balas.


"Ahli politik sama ada dari parti yang memerintah atau pembangkang, sepatutnya tahu...Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) membawa politik ke dimensi baru apabila beliau sendiri aktif menggunakan rangkaian sosial.


"Ini bermakna beliau berani meruntuhkan benteng antara pemimpin dan orang awam, dan bersedia menerima kritikan langsung jika rakyat berasakan polisinya tidak dilaksanakan dengan baik. Saya anggap ini sebagai bertanggungjawab dan telus," katanya.


Justeru katanya, ahli politik termasuk Ahli Parlimen, pemimpin akar umbi atau badan bukan kerajaan juga harus memikul tanggungjawab mempromosikan cara lebih sihat menyebarkan malumat, memandangkan orang ramai memilih untuk mendapatkan maklumat secara terus daripada mereka.


Bagi pemimpin Belia 4B, Badrul Hisham Badruddin, jika penyebaran maklumat menerusi media sosial tidak dilakukan secara berhati-hati, pada akhirnya golongan muda akan menjadi lebih keliru.


"Ada terlalu banyak sumber...anda cuma perlu 'google' untuk apa sahaja yang anda mahu tahu dan maklumat mengenainya muncul sekelip mata, tetapi bagaimana mahu pastikan itu fakta sebenar?


"Bagi saya, media arus perdana masih boleh dipercayai, namun ini tidak bermakna kita tidak boleh terlibat dalam media sosial. Contohnya Bernama ada laman Facebook dan akaun Twitter sendiri.


"Paling penting di sini ialah melibatkan diri dan orang ramai akan menggunakan media sosial untuk mendapatkan berita daripada media arus perdana," katanya.


Berdasarkan statistik 78 juta 'hit' pada laman web Bernama.com bagi bulan Januari dan Februari lalu, barangkali tidak keterlaluan jika dikatakan semakin ramai kembali merujuk kepada media arus perdana sebagai sumber berita yang bertanggungjawab dan tidak berat sebelah. - BERNAMA 

Sumber - Media Sosial: Antara fakta dan dakyah



No comments:

Post a Comment