Terima Kasih kerana Follow GT-Puteri , anda semua adalah yang terbaik !

Friday 30 March 2012

Ketua Pembangkang: Status Anwar boleh dicabar



Usul untuk mencabar kelayakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang yang didakwa diselubungi pelbagai isu moral boleh dibawa pada persidangan Dewan Rakyat, kata Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Wan Jaafar.

 
Bagaimanapun, beliau berkata untuk menggugurkan kedudukan seseorang anggota dewan memerlukan satu prosedur tertentu yang mana belum terdapat dalam peraturan dewan ketika ini.

Beliau berkata sesuatu usul yang yang bersangkutan dengan peribadi seseorang serta berlaku di luar dewan tidak mungkin membolekan individu itu digugurkan jawatan secara automatik kecuali ia berkaitan dengan kesalahan jenayah serta menderhaka kepada raja dan negara yang telah disabitkan salah dan dijatuhkan hukuman.

"Namun ianya tetap perlu dibahas di dewan terlebih dahulu. Kita berpandu kepada tiga perkara iaitu peraturan, undang-undang dan Perlembagaan...tidak ada satu pun dari tiga elemen itu yang memberi ruang dan peluang seseorang boleh membuatkan satu usul dalam dewan untuk membuat satu impeachment terhadap seseorang.

"Terserah kepada budi bicara speaker untuk menerima atau menolak usul anggota untuk membahaskan perkara sebegitu dalam Dewan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan anggota Parlimen Kulim/Bandar Bharu Datuk Zulkifli Noordin semalam yang berkata anggota Parlimen berhak membawa usul kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen terhadap mana-mana anggota dewan termasuk Ketua Pembangkang berhubung perkara tertentu dan khusus.

Kenyataan itu turut disokong Pesuruhjaya Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR), Datuk Seri Dr Muhammad Shafee Abdullah bahawa usul itu boleh dilakukan kerana jawatan Ketua Pembangkang yang disandang Anwar merupakan jawatan rasmi dan beliau memainkan peranan mustahak dalam sistem berparlimen.

Sementara itu, anggota Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali pula percaya jika dibahaskan, usul 'impeachment' Anwar itu boleh berjaya bersandarkan kekuatan jumlah anggota Parlimen Barisan Nasional (BN), yang pasti akan turut mendapat sokongan anggota Parlimen Bebas.- Bernama

No comments:

Post a Comment