Terima Kasih kerana Follow GT-Puteri , anda semua adalah yang terbaik !

Tuesday, 27 December 2011

KENYATAAN YB DATUK ROSNAH ABD RASHID SHIRLIN, KETUA PERGERAKAN PUTERI UMNO MALAYSIA MERANGKAP TIMBALAN MENTERI KESIHATAN MALAYSIA MENGENAI ISU BEBAS


Pergerakan Puteri UMNO kecewa dan mengecam tindakan kurang ajar, biadap dan tidak menghormati orang lain oleh sekelompok mahasiswa yang menurunkan bendera Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 17 Disember 2011 yang  lalu.

Tindakan kumpulan mahasiswa yang berhimpun di PWTC kononnya kerana menuntut pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta itu juga amat beremosi dan terbukti sangat tidak matang.

Biar pun mereka yang terlibat dalam Himpunan BEBAS itu tidak ramai namun ia cukup untuk mengambarkan imej buruk mahasiswa secara keseluruhannya.

Pergerakan Puteri UMNO dan semua pihak menghormati hak mahasiswa untuk bersuara dan kerajaan sentiasa memberi ruang kepada mereka untuk menyatakan pendapat, pandangan dan apa juga idea menggunakan saluran yang betul seperti konvensyen, dialog, debat terbuka, forum dan seminar.

Malah mereka juga dibenarkan berhimpun secara aman untuk menyerahkan memorandum, namun tindakan menurunkan bendera semata-mata kerana ingin menunjukkan bantahan terhadap AUKU tidak sepatutnya dilakukan oleh mahasiswa kerana ia tidak rasional dan tidak bertamadun.

Pergerakan Puteri UMNO juga telah melihat senarai tuntutan BEBAS dan mendapati ia kurang berasas antaranya kerana:

1. Memansuhkan sepenuhnya AUKU, Akta 174 dan Akta 555. Tuntutan ini sama seperti menutup terus Kementerian Pengajian Tinggi. Saya bersetuju pindaan bagi Seksyen 15 dan ia adalah lambang keterbukaan kerajaan dalam memperkasa suara mahasiswa.

2. Bebaskan Ilmuwan untuk Berakademik. Adakah selama ini Ilmuwan kita tidak bebas untuk berakademik? Menyatakan pandangan dan pendirian politik atas topi parti bukan kebebasan untuk berakademik tulen. Saya percaya isu ini timbul akibat sentimen terhadap kes Prof Aziz Bari di UIA dan halangan pembentangan buku Datuk Saifudin Abdullah (buku berjudul Kalau Saya Mahasiswa) dan ini dijadikan modal untuk menghentam kerajaan tanpa asas.

3. Bebaskan Mahasiswa Bersuara Kebebasan bersuara yang bagaimana lagi yang mereka mahukan? Datuk Seri Najib Tun Razak telah membuka ruang seluas-luasnya untuk mendengar suara mahasiswa melalui pelbagai pendekatan. Kenapa tidak menggunakan saluran disediakan?

4. Bebaskan Mahasiswa Mengurus Pilihanraya Kampus. Mahasiswa sendiri tidak bersifat berkecuali seandainya mereka diberi tanggungjawab ini dan akan terdedah kepada pelbagai agenda yang tidak bersesuaian dengan tujuan asal pilihan raya kampus. Tuntutan untuk menggunakan SPR dalam mengurus pilihan raya kampus juga agak pelik kerana kelompok pro mahasiswa inilah yang menyatakan kononnya SPR tidak telus.

5. Bebaskan Mahasiswa Mengurus Tadbir Persatuan dan Aktiviti HEP hanya bertindak sebagai pemudah cara dan menyediakan garis panduan yang perlu dipatuhi supaya program dan aktiviti pelajar tidak terpesong dari maksud asal program. Apa yang dikatakan sebagai kebebasan urus tadbir? Persatuan dan aktiviti tidak berdaftar sememangnya akan dihalang kerana setiap aktiviti perlu membawa manfaat kepada mahasiswa secara keseluruhan dan bukan sekadar sebagai alat pihak tertentu. Tuntutan ini tidak lebih sekadar provokasi dan usaha awal untuk menutup terus HEP sebagai jabatan yang mengawal dan mengurus tadbir aktiviti pelajar.

6. Bebaskan Mahasiswa mengambil bahagian dalam Politik. Perdana Menteri sendiri bersetuju meminda Seksyen 15 AUKU yang memberi kebenaran kepada mahasiswa untuk menjadi ahli parti politik dan ia sedang diproses. Kebebasan bagaimana lagi mahasiswa mahukan?

Pergerakan Puteri UMNO percaya, kesemua tuntutan ini hanya bersifat retorik. Bagaimanapun kelompok seperti ini harus didekati sebelum mereka semakin hanyut dalam taktik kotor pembangkang yang hanya memperalat mahasiswa untuk memenuhi keperluan politik mereka yang terdesak.

Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment