Terima Kasih kerana Follow GT-Puteri , anda semua adalah yang terbaik !

Friday 16 December 2011

Isu Calon Petanda PAS Semakin Menyimpang Dari Matlamat Asal – Zahid Hamidi


KUALA LUMPUR: 16 Dis – Isu calon pilihan raya umum ke-13 dalam parti PAS menunjukkan parti itu kini berada di persimpangan bagi menentukan hala tujunya, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, perkara itu berdasarkan kenyataan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali dan bekas Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa yang membayangkan parti tersebut menyimpang daripada matlamat asal.

“…mereka (PAS) kini berada di persimpangan jalan, di antara perjuanganmenegakkan cita-cita Daulah Islamiah atau menegakkan sebuah kerajaan berkebajikan.

“Justeru apa yang disuarakan oleh Datuk Dr Hasan dan Nasharudin itu jelas adalah satu manifestasi ketidakpuasan hati mereka berdua kerana PAS kini dilihat telah semakin tersimpang dari matlamat asal penubuhannya,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan ditemui pemberita selepas Perasmian Perpustakaan Jeneral Tun Ibrahim di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia diKem Perdana Sungai Besi, di sini, Khamis.

Beliau mengulas mengenai laporan bahawa Hasan yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Gombak Setia dan Nasharudin yang mewakili kawasan Parlimen Bachok akan digugurkan daripada senarai calon PAS pada pilihan raya umum akan datang.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid tidak menolak kemungkinan PAS cuba membariskan calon yang kena dengan “selera” parti sekutu mereka DAP.

“Walaupun kita (Umno) berbeza pendapat dan pegangan ideologi politik, tetapi tentu sekali kita (Umno) tidak rela parti yang dikatakan berlandaskan Islam ditunggangi oleh parti yang idealisme perjuangan dan falsafah politik yang nyata berbeza matlamat,” katanya.

“Kita tidak mengambil kesempatan terhadap perpecahan dalaman PAS itu, tetapi kita sedia membuka pintu tanpa mereka perlu masuk menjadi anggota Umno asalkan perjuangan kita itu turut diberikan sokongan oleh mereka,” katanya.

-BERNAMA

No comments:

Post a Comment