Pergerakan Puteri UMNO pelik dengan keghairahan pemimpin-pemimpin Pas menentang program seksualiti merdeka sedangkan mereka juga merupakan pihak yang paling memberi sokongan kepada Datuk S. Ambiga semasa perhimpunan haram yang dinamakan Bersih tidak lama dulu.
Nampaknya Pas terkeliru dengan perjuangan sendiri apabila perhimpunan menghimpunkan sejuta umat Islam bagi menangani gejala murtad tidak menerima sokongan parti itu tetapi dalam hal-hal gejala sosial seperti seks bebas dan songsang mereka beriya-iya pula menyatakan bantahan.
Puteri UMNO ingin bertanya kepada pemimpin-pemimpin Pas, “ Adakah soal iman dan pegangan umat Islam kurang penting jika dibandingkan dengan seks bebas dan songsang? ” sehingga Pas memilih yang kedua dan bukannya isu yang pertama untuk memberi suara bersifat sokongan.
Bukankah pendirian Pas sekarang amat bercelaru sehingga gagal mengenal pasti isu yang patut mereka perjuangkan dan isu yang sepatutnya ditolak?
Puteri UMNO juga mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim serta barisan pemimpin PKR menyatakan pendirian tentang program Seksualiti Merdeka yang Ambiga merupakan salah seorang penganjurnya. Kita tidak mahu Anwar berdiam diri dalam hal ini, kerana berdiam diri membawa seribu makna tetapi lebih cenderung kepada bersetuju dengan program tersebut.
Pergerakan Puteri UMNO juga membidas Majlis Peguam yang kini dilihat semakin hilang arah tuju dan menjadikan isu-isu hak asasi manusia terlampau termasuk kebebasan seks sebagai perkara utama yang mendapat tempat dalam perjuangan mereka. Perkembangan terbaru yang menyaksikan sokongan Majlis Peguam terhadap program seksualiti merdeka atau ingin diubah namanya oleh Pergerakan Puteri UMNO sebagai program seks bebas dan sumbang jelas menunjukkan betapa pertubuhan itu kini semakin tersasar dan amat memalukan profesion undang-undang yang kini dilihat menjadi penggerak kepada agenda seks bebas dan songsang.
Pergerakan Puteri UMNO kesal kerana program yang amat bercanggah dengan kemuliaan agama dan tatasusila serta adab resam ini diagung-agungkan oleh Majlis Peguam dan 20 NGO lain serta individu tertentu seolah-olah mereka mahu mencabar kerajaan dan menunjukkan bahawa mereka adalah lebih berkuasa dalam menentukan corak masyarakat di negara ini.
Jika sebelum ini, Majlis Peguam menghalalkan hubungan sejenis menerusi sokongan terhadap individu tertentu yang diketahui umum mengamalkan gaya hidup songsang, kini mereka tidak lagi berselindung di sebalik sokongan sebaliknya menjadi penganjur untuk mempromosikan amalam seks bebas dan songsang di kalangan rakyat tanpa mengira agama yang dianuti.
Sehubungan itu, Pergerakan Puteri UMNO mendesak kerajaan bertegas dan menetapkan pendirian bahawa apa yang diperjuangkan oleh Majlis Peguam tidak akan dibenarkan sama sekali bertapak di negara ini dan sesiapa sahaja yang didapati menjadi dalang untuk melaksanakan program seumpama itu mesti dihukum sekeras-kerasnya.
YB Datuk Rosnah Binti Haji Abd Rashid Shirlin
( Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia )
No comments:
Post a Comment