Terima Kasih kerana Follow GT-Puteri , anda semua adalah yang terbaik !

Thursday 30 June 2011

Pas bermunajat demi Ambiga - PAS pochee.....sesat jauh dah !!!

Mana pemimpin Pas? Majlis pelancaran Bersih 2.0 oleh Ambiga Sreenevasan di Dewan Perniagaan Cina Selangor di Kuala Lumpur pada 19 Jun lalu, kurang disertai pemimpin kanan Pas.

''PADA ana (saya), munajat ini penting bagi mengikhlaskan diri kita dalam membantu perjuangan Ambiga. Pada kita, agama apa yang dianut oleh seseorang itu tidak penting - yang penting adalah perjuangan yang dibawa. Untuk siapa? Demi siapa? Untuk apa?

''Biarlah kita bermunajat - dan memanjatkan doa yang ikhlas agar niat kita akan dibulatkan; bagi membantu Ambiga dan mendapat keadilan yang dimahukan. Kita turun kerana Allah - demi untuk memastikan negara kita tidak terus dijadikan alat pihak tertentu untuk mendapatkan kuasa yang berterusan; tidak amanah, korup dan munafik sifatnya. Tidak salah kalau kita mendoakan agar perjuangan Ambiga dan kita akan mendapat kemudahan.''

Demikianlah sebahagian petikan dari sebuah blog yang dikendalikan oleh penyokong Pas ketika mengulas mengenai himpunan haram Bersih.

Tulisan itu dibuat bagi menyokong kenyataan Dewan Ulama Pas Pusat yang melalui Penolong Setiausaha Dewan Ulama Pas Pusat, Nazmi Nik Din menyeru diadakan munajat Perdana di seluruh negara sempena himpunan haram Bersih 2 pada 9 Julai ini.

"Seluruh ahli dan pendokong Pas diseru supaya berdoa dan memohon kepada Allah SWT dengan rasa rendah diri dan tawaduk di atas luar keupayaan kita untuk menghadapi tipu daya dan kejahatan oleh pihak-pihak tertentu yang mencemarkan proses pilihan raya di negara ini,'' kata Nazmi.

Persoalannya, kenapakah Pas secara tiba-tiba menyokong Ambiga yang diketahui ramai orang sebagai penyokong Suruhanjaya Antara Agama (IFC).

Jelas sekali, ketaksuban kepada politik dan begitu mahu meraih kuasa bersama-sama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP telah membuat Pas kini sanggup menggadaikan segala-galanya termasuk prinsip mereka.

Ambiga tidak lagi dilihat sebagai orang yang cuba menganggu gugat umat dan agama Islam melalui IFC, sebaliknya pemimpin dan ahli Pas mengangkat beliau sebagai pejuang yang perlu disokong.

''Pada ana, Ambiga adalah seorang pejuang yang perlu diberikan bantuan dan dokongan sepenuhnya. Perjuangan ini bukan soal agama. Soal keadilan dan kesaksamaan.'' demikianlah begitu mudahnya penyokong Pas memaafkan insan-insan seperti Ambiga.

Akibat pandangan seumpama inilah yang menyebabkan Ambiga berasa bangga dan begitu berani untuk tetap turun ke jalanan pada 9 Julai ini biarpun telah menerima amaran keras daripada pihak polis.

Ambiga mungkin sudah mengkaji perjuangan politik Pas yang dilihat oleh beliau semakin terbuka untuk berkorban apa sahaja demi meraih kuasa.

Bekas Pengerusi Majlis Peguam itu juga memahami bahawa Pas benar-benar berhasrat untuk menggantikan UMNO, biarpun ia boleh mengakibatkan umat Islam dan orang Melayu berpecah-belah.

Kelemahan orang Melayu dalam Pas inilah yang membuka ruang kepada Ambiga, PKR dan DAP untuk mengambil kesempatan bagi mendorong ahli-ahli Pas menyokong dan berkorban apa sahaja kononnya atas nama perjuangan.

Sebenarnya, Pas menyokong himpunan haram Bersih bukan kerana pilihan raya tidak bersih atau tidak adil tetapi Pas sudah tidak sabar lagi hendak menggantikan UMNO.

Pas amat memahami bahawa reputasi sebagai sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam sudah berakhir, mereka kini adalah parti yang memperjuangkan negara berkebajikan.

Perubahan prinsip dan dasar perjuangan ini telah disifatkan oleh sesetengah penyokong Pas sebagai 'menggadaikan keimanan' dan keadaan ini sudah tentulah meresahkan kepimpinan Pas.

Oleh itu, apabila Ambiga muncul dengan agenda himpunan haramnya dan disokong oleh PKR serta DAP maka sebagai rakan sekutu, Pas pun 'tumpang semangkuk'.

Apa yang menarik, satu sumber memberitahu penulis bahawa himpunan haram berkenaan akan gagal sama sekali jika Pas tidak menyertainya kerana parti itu merupakan 'penyumbang terbesar' penunjuk perasaan.

''Macam juga dalam pilihan raya, sebenarnya Pas yang banyak menggerakkan jentera berbanding PKR dan DAP tetapi apabila pembangkang menang Pas diketepikan.

''Begitu juga dalam himpunan haram ini, Pas tidak sedar atau mungkin buat-buat sedar bahawa mereka sedang diperalatkan oleh Ambiga dan kedua-dua parti tersebut,'' kata sumber berkenaan.

Lebih menghairankan bagi menghalalkan penyertaan Pas, parti itu dalam satu kenyataan yang dibuat oleh Ulama Pelapis Pas menyatakan kemenangan pakatan pembangkang dalam pilihan raya bukan bermakna pilihan raya berjalan dengan adil.

Sebaliknya Pas menegaskan, kejayaan itu adalah hasil usaha pembangkang menyusun strategi yang berkesan sehingga dapat memenangi pilihan raya tersebut

''Keadilan tidak boleh diukur melalui menang atau kalahnya sesuatu parti dalam pilihan raya tetapi mesti diukur dari sudut hak sama ada ia diberikan sama rata kepada semua parti yang bertanding atau tidak. Penyelewengan dalam pilihan raya mesti dihapuskan dan perubahan hendaklah dilakukan dalam menjamin keadilan kebersihan pilihan raya,'' hujah ulama pelapis dalam kenyataan mereka.

Hujah sedemikian terlalu banyak putar belitnya seperti mana Pas memutar belitkan perubahan dasar perjuangan mereka daripada negara Islam kepada negara berkebajikan.

Apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan '' sudut hak sama ada ia diberikan sama rata kepada semua parti yang bertanding atau tidak'' itu?

Hak apa yang Pas dan parti pembangkang tuntut. Bukankah mereka juga diberi tempoh yang sama untuk berkempen, menampal poster dan berceramah? Bukankah mereka juga ada media tersendiri untuk berkempen? Apakah media rasmi mereka juga akan memberi peluang sama rata kepada kerajaan BN?

Kenapakah Pas hendak melihat soal hak sama rata itu dari sudut laporan media arus perdana sahaja? Bukankah Pas dan pembangkang sendiri yang memusuhi media berkenaan dan menganggap ia alat propaganda BN sejak dulu lagi? Kenapakah baru sekarang hendak menuntut supaya hak itu diberikan?

Kalau betul soal hak sama rata yang hendak dituntut kenapa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjadi sasaran? Kalau benar SPR adalah alat BN sudah pasti sebijak mana pun pembangkang mengatur strategi, mereka pasti kecundang.

Tetapi itu tidak berlaku kerana SPR menjalankan tugasnya dengan penuh tanggungjawab, telus dan adil sebab itulah pada pilihan raya umum lalu kerajaan BN hampir tumbang!

Oleh itu tidak perlu Pas memberi seribu satu alasan untuk menghalalkan matlamat mereka menyertai himpunan haram Bersih pada 9 Julai ini.

Akui sahajalah bahawa Pas dan pembangkang sudah ketandusan isu dan idea bagi menghadapi BN dalam pilihan raya umum. Justeru cara terbaik untuk menutup kelemahan berkenaan adalah melalui tindakan mencetuskan isu termasuklah menimbulkan huru-hara di jalanan.

Malang sekali kerana orang Melayu mempunyai sebuah parti seperti Pas. Kenapa? Kerana mereka sanggup menyeru penyokongnya bermunajat untuk Ambiga tetapi sama sekali tidak mahu bermunajat memohon petunjuk agar orang Melayu dan umat Islam bersatu.

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my

No comments:

Post a Comment