Terima Kasih kerana Follow GT-Puteri , anda semua adalah yang terbaik !

Thursday 7 April 2011

Pegawai Kastam ditemui mati - Dr Porntip Rojanasunan boleh tunjuk fasyen rambut lagi !!!

Mengejutkan...Seorang pegawai kastam yang sedang disiasat kerana kes elak cukai berbilion ringgit ditemui mati jatuh dari tingkat tiga bangunan SPRM di Jalan Chocrane,Kuala Lumpur pagi Rabu.

Mayatnya ditemui di tingkat bawah bangunan itu jam 10.15 pagi.SPRM mengesahkan pegawai berkenaan ialah Penolong Pengarah Kastam Selangor Ahmad Sarbani Mohd,56.

Menurut Pengarah Siasatan SPRM Datuk Mustafar Ali, si mati antara pegawai kastam yang ditahan pada 1 April lalu, bagaimanapun beliau telah dilepaskan dengan jaminan pada Sabtu 2 April lalu.

"Beliau telah meninggalkan pejabat SPRM pada 12.30 tengahari tersebut. Pada Rabu 6 April, jam 8.26 pagi, Ahmad telah datang bersendirian dengan menaiki motosikal dan minta berjumpa dengan pegawai penyiasat bagi berbincang mengenai kesnya.

"Oleh kerana pegawai-pegawai sedang bermesyuarat, dia telah menunggu di lobi pejabat hingga jam 9.30 pagi. Beliau kemudiannya telah diiringi oleh seorang pegawai penyiasat dan menunggu di bilik pegawai tersebut.

"Pada jam 10.15 pagi, pegawai SPRM yang mengiringinya telah keluar sebentar untuk mendapatkan pegawai penyiasat.

"Beberapa minit kemudian kembali semula ke pejabatnya dan mendapati Ahmad Sarbani telah tiada di bilik tersebut.

"Setelah mencari di kawasan pejabat, seorang pegawai telah melihat satu tubuh manusia terlantar di tingkat 1 bangunan pejabat," kata Mustafar dalam satu sidang media khas di pejabat SPRM di ibu negara petang Rabu.

Menurutnya, SPRM telah memaklumkan kejadian tersebut kepada keluarga si mati dan pihaknya menyerahkan perkara itu kepada pihak polis.
Sementara itu, Bernama melaporkan, polis menyiasat kes seorang penolong pengarah kastam Selangor, yang ditemui mati di tingkat satu, pejabat SPRM Kuala Lumpur pada Rabu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Abdullah berkata siasatan awal Unit Patologi Forensik mendapati Ahmad Sarbani , 56, yang ditemui dalam keadaan tertiarap di gelanggang badminton di Tingkat 1 bangunan itu, mengalami kecederaan di kepala.

"Polis menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 10.42 pagi dan sebuah kereta peronda polis tiba di bangunan SPRM itu pada 10.49 pagi sebelum anggota berkenaan memaklumkan kepada Ibu Pejabat Polis daerah Cheras," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata motosikal milik Ahmad Sarbani, Modenas Kris dengan nombor pendaftaran WGG8543 dan sebuah topi keledar ditemui di tempat letak kenderaan.

Zulkifli berkata satu pasukan khas yang diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah ditubuhkan bagi menyiasat kes itu.

Sementara itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata punca kejadian itu akan disiasat, namun menurutnya siasatan berhubung kes pegawai kastam disyaki terlibat dengan rasuah perlu diteruskan.

"Punca kejadian itu akan disiasat, tapi operasi perlu diteruskan... kami tidak mahu kerajaan terus kehilangan wang duti," katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen hari ini.
-

No comments:

Post a Comment