KUALA LUMPUR, 9 Mac – Penganalisis politik tanah air, Profesor Datuk Dr. Ramlah Adam membidas tindakan pakatan pembangkang yang cuba melontarkan hasutan kepada rakyat agar menentang kerajaan sebagaimana telah dilakukan oleh masyarakat di Timur Tengah.
Katanya, tuduhan yang dilontarkan oleh pembangkang kononnya kerajaan yang ditunjangi Barisan Nasional (BN) bertindak zalim adalah sesuatu yang tidak benar apatah lagi telah terbukti selama ini bahawa kerajaan sentiasa menjaga kepentingan rakyat.
“Pembangkang minta rakyat untuk bangkit atas alasan kononnya kerajaan berlaku tidak adil dan penindas sedangkan itu adalah satu cadangan jahat yang sememangnya bertentangan dengan tingkah laku dan pemikiran yang waras,” katanya kepada UMNO- Online.
Dilaporkan pakatan pembangkang cuba membangkitkan perasaan rakyat negara ini supaya meniru kebangkitan masyarakat seperti yang sedang berlaku di Libya, Mesir, Yaman, Iran dan lain-lain lagi.
“Sebagai manusia yang berakal tentunya kita tidak mahu keadaan yang huru-hara dan kucar-kacir berlaku dalam negara apatah lagi untuk bertindak liar dan ganas yang langsung tidak sesuai dengan ciri-ciri sebuah kerajaan bertamadun.”
Tambahnya lagi, seharusnya, apa yang mahu dilakukan sama ada oleh mana-mana pihak sekalipun pembangkang perlulah bertindak waras iaitu memikirkan adakah benar bahawa kerajaan bersikap kejam sedangkan realiti telah ada di depan mata.
“Cara yang ganas bukanlah budaya kita kerana kita lebih selesa berdepan dengan mana-mana pihak waima pembangkang sekalipun melalui meja perbincangan dan secara diplomasi kerana inilah nilai yang sebenar dalam masyarakat yang bertamadun,” katanya.
No comments:
Post a Comment