Terima Kasih kerana Follow GT-Puteri , anda semua adalah yang terbaik !

Tuesday 28 January 2014

Tanam sikap saling menyayangi - Puteri UMNO

MAS Ermieyati Samsudin (kanan) bersalaman dengan pelajar institusi pengajian tinggi dan sekolah dalam majlis Semarak Selawat di Masjid Jamek Putra, Masjid Tanah, Melaka, semalam

Golongan muda perlu dididik dengan sikap saling menyayangi dan menghormati sesama insan bagi menghindarkan diri daripada terlibat dengan masalah keruntuhan moral yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.

Ketua Puteri UMNO, Mas Ermieyati Samsudin berkata, sikap saling menghormati dan menyayangi yang semakin rapuh di dalam jiwa anak-anak muda boleh menjurus kepada berlakunya masalah sosial yang serius.

Menurutnya, berita mengenai kes menyayat hati seperti pembuangan bayi, penderaan kanak-kanak dan terbaharu, kanak-kanak dua tahun dibunuh kejam merupakan sebahagian daripada kesan daripada tiadanya sifat nilai-nilai murni itu.

"Semua kejadian ini berlaku disebabkan hilangnya rasa hormat serta kasih sayang sesama manusia dan tanpa didikan sewajarnya, tidak mustahil perkara membimbangkan itu boleh berlaku lagi.

"Apabila kita tanamkan nilai kasih sayang, hormat menghormati dan cinta antara satu sama lain, insya-Allah perkara seperti ini dapat dielakkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Semarak Selawat 'Bidadari Syurga' 2014 di Masjid Jamek Putra, Masjid Tanah di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Tetap Puteri UMNO, Azlieza Azizan dan Ketua Puteri UMNO Bahagian Masjid Tanah, Siti Kalthom Ahmad.

Program julung-julung kali diadakan anjuran Puteri UMNO Melaka dengan kerjasama Puteri UMNO Bahagian Masjid Tanah itu melibatkan kira-kira 200 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) serta beberapa buah sekolah rendah dan menengah sekitar Masjid Tanah.

Pelbagai aktiviti turut disusun sempena program bermula pada pukul 8 pagi termasuk ceramah Maulidur Rasul 'Rasulullah Idolaku', pertandingan seni khat jawi dan deklamasi puisi kerasulan.




No comments:

Post a Comment