Puteri UMNO percaya isu Pusat GiatMara Selayang tidak akan timbul sekiranya kerajaan Selangor tidak terburu-buru membuat keputusan agar pusat kemahiran itu berpindah hanya kerana isu berkaitan tanah.
Ketua Puteri UMNO Malaysia, Mas Ermieyanti Shamsudin berkata, sepatutnya Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengadakan pertemuan dengan pengurusan Giat Mara Selayang atau MARA untuk menyelesaikan yang dikatakan itu bukannya terus membuat pengumuman.
“Mengapa Menteri Besar perlu bertindak terburu-buru, sepatutnya adakan pertemuan untuk menyelesaikan masalah yang berlaku dan bukannya terus mengeluarkan kenyataan sebegitu sehingga menimbulkan suasana tidak sihat.
“Tindakan itu ternyata bertentangan dengan apa yang dilaungkan oleh pemimpin tertinggi Pakatan Pembangkang, kononnya merekalah parti yang memperjuangkan keadilan dan pembela nasib rakyat.
“Apa yang berlaku itu menunjukkan pembangkang ini boleh diibaratkan seperti ayam jantan yang hanya pandai berkokok sahaja tetapi tidak mampu merealisasikannya,” katanya.
Beliau juga turut melahirkan rasa kehairan dengan sikap Menteri Besar Selangor itu apabila kenyataan dalam kenyataan terbarunya bahawa kerajaan negeri akan mengambil alih pusat berkenaan jika prasarananya tidak dinaik taraf.
“Jika sebelum ini mereka angkuh mendesak Pusat GiatMara ini berpindah dalam tempoh 12 bulan, kini tiba-tiba nadanya sudah berbeza, pusat berkenaan akan diambil alih jika tidak dinaik taraf, apakah maksud Menteri Besar yang mengubah kenyatan selepas mendapat kecaman daripada rakyat.
“Puteri UMNO melihat keputusan kerajaan Selangor sebelum ini umpama sengaja mencari kelemahan dan kesilapan agensi-agensi kerajaan Persekutuan tanpa memikirkan kesannya, apakah motif sebenarnya,” katanya.
Ermieyanti yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata, kerajaan Selangor perlu menyedari bahawa Giat Mara telah berjaya melahirkan ramai tenaga kerja muda di kalangan mereka yang kurang berjaya dalam pendidikan dan jika pusat berkenaan itu ditutup di manakah golongan terbabit ingin mengadu nasib.
Beliau berharap kepimpinan kerajaan negeri pakatan pembangkang tidak mengambil tindakan terburu-buru hanya disebabkan tidak berpuas hati dengan kerajaan pusat yang dipimpin oleh Barisan Nasional kerana yang menerima kesannya adalah rakyat.-MediaUMNO
No comments:
Post a Comment