Wisma Putra akan memanggil Pesuruhjaya Tinggi Singapura Selasa bagi mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan terdapat aktiviti pengintipan yang dilakukan republik itu terhadap Malaysia.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, buat masa ini kerajaan Malaysia sedang meneliti kesemua laporan terkini oleh media berhubung sebarang aktiviti pengintipan yang dilakukan oleh mana-mana negara terutamanya Singapura.
Sekiranya dibuktikan benar, katanya, kerajaan Malaysia menolak serta mengutuk keras perbuatan tersebut selain akan memastikan kedaulatan negara kekal terpelihara.
" Perbuatan mengintip kawan baik atau jiran tidak boleh diterima malah bertentangan dengan semangat sebenar serta komitmen jitu kejiranan.
"Malaysia dan Singapura ketika ini sedang menikmati manfaat hasil daripada hubungan kukuh di antara kedua- dua perdana menteri dan akan meluaskan lagi kerjasama ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Anifah, kerajaan Malaysia telah mengambil beberapa tindakan berhubung dakwaan aktiviti pengintipan oleh Amerika Syarikat dan Australia sebelum ini.
No comments:
Post a Comment