Terima Kasih kerana Follow GT-Puteri , anda semua adalah yang terbaik !

Wednesday, 9 October 2013

Tak guna debat.. pemilihan kali ini bukan mahu melihat pakar debat.. tetapi pemimpin yang bijak yang melaksana transformsi Presiden Parti

alt

Beberapa pemimpin Umno menyifatkan cadangan bekas Timbalan Presiden parti Tun Musa Hitam agar diadakan perbahasan bagi calon naib presiden sebagai tidak sesuai untuk dilaksana.

Masing-masing yang ditemui Bernama di sesi pengenalan calon Umno di sini Selasa, beranggapan perbahasan bukan medan terbaik untuk menyerlahkan kredibiliti calon-calon yang bertanding, sementelah masa berkempen pula singkat.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka Datuk Idris Haron berkata perbahasan merupakan mekanisme sempit kerana perwakilan seharusnya menilai calon-calon yang bertanding berdasarkan ciri-ciri keseluruhan pada calon berkenaan.

"Kita tidak boleh buat penilaian berdasarkan 10 atau 15 minit perbahasan seseorang calon. Kita tidak boleh buat keputusan yang baik. Kita kena lihat apa yang perlu dinilai. Saya rasa kehebatan bercakap bukan satu daripadanya," kata Idris yang juga Ketua Menteri Melaka.

Idris yang mempertahankan kerusi Majlis Tertinggi (MT) dalam pemilihan kali ini juga berkata beliau lebih suka cara perjumpaan secara bersemuka dengan perwakilan.

Bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik pula bimbang jika perbahasan itu bertukar menjadi babak serang-menyerang antara calon yang langsung tidak menggambarkan semangat kekeluargaan Umno.

"Sukar untuk merancang perbahasan ini menjadi sesuatu yang tidak hangat bila dipenuhi sorakan penyokong sana sini, ini menjadi sesuatu yang tidak baik sebagai ukuran kebijaksanaan seseorang itu," katanya.

Calon MT itu juga berpandangan adalah tidak adil bagi calon jika kalah menang dalam perbahasan itu dijadikan kayu pengukur sokongan perwakilan terhadap mereka.

Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin pula berkata tempoh berkempen yang terlalu singkat menyukarkan calon untuk membuat persiapan andai perbahasan itu diadakan.

"Zaman kempen dahulu dan sekarang jauh berbeza, kita hendak kempen sekarang kena susun jadual jauh lebih awal berbanding dulu," katanya.

Beliau bagaimanapun bersetuju jika perkara itu dilaksana dalam pemilihan akan datang.

Pengerusi Umno Perlis Datuk Seri Dr Shahidan Kassim pula berkata adalah tidak sesuai jika mekanisme pemilihan ditukar setiap kali ada cadangan baharu.

"Kita gubal peraturan ini daripada awal, kita tak mahu ubah peraturan tiap-tiap hari. Ini tidak baik untuk parti. Jika nak bahas pada saya lebih baik beri pada semua bukan calon naib presiden sahaja," kata calon MT itu.

Pertandingan bagi jawatan naib presiden Umno kali ini menyaksikan pertandingan enam penjuru membabitkan tiga penyandang iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang dicabar oleh Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Musa sebelum ini dilapor menyarankan agar keenam-enam calon terbabit dipertemukan dalam sebuah program pendebatan televisyen.

Pemilihan Umno dijadualkan pada 12 dan 19 Okt ini.

No comments:

Post a Comment