Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom meminta pihak bertanggungjawab mengambil tindakan segera membatalkan konsert kumpulan heavy metal 'Lamb of God' yang dijadual membuat persembahan di Kuala Lumpur pada 28 Sept ini.
Pada waktu yang sama beliau menyokong keputusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengeluarkan kenyataan mendesak pihak berkenaan membatalkan konsert tersebut.
"Saya harap pihak berwajib putuskan segera isu ini kerana masyarakat menentangnya...bukan sahaja JAKIM, NGO (badan bukan kerajaan) Muslim juga sepakat konsert ini (perlu) diharamkan dan tidak dibawa ke Malaysia," kata Jamil Khir yang ditemui pemberita dalam program santai bersama penduduk di Sungai Limau Dalam, dekat Yan, Ahad.
Katanya, beliau tidak pasti sama ada konsert tersebut sudah mendapat kelulusan tetapi sekiranya sudah dikeluarkan ia hendaklah ditarik balik.
Ketua Pengarah JAKIM Datuk Othman Mustapha dalam kenyataan dua hari lepas berkata bantahan itu dibuat berikutan genre muzik kumpulan berkenaan yang pernah membuat persembahan dengan mencampuradukkan lagu metal dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.
Beliau berkata bantahan itu selaras dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa ke-72 bahawa amalan dan perbuatan kumpulan heavy metal adalah sesat dan bercanggah dengan ajaran Islam.
Dalam pada itu, Jamil Khir yang juga anggota Parlimen Jerai berkata program santai di kawasannya itu bertujuan mendekati pemimpin dan masyarakat setempat bagi menyelami masalah mereka untuk diatasi bersama.
Beliau berkata pertemuan tidak rasmi seumpama itu memberi kelebihan untuk mendapat maklumat dan keperluan rakyat dengan lebih jelas.
No comments:
Post a Comment