PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini berjanji untuk memastikan penggunaan dakwat kekal dalam PRK Kuala Besut lebih baik berbanding PRU13 yang lalu.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, SPR akan memastikan kandungan silver nitrate dalam dakwat kekal itu akan bertahan lebih lama.
"Dakwat kekal kali ini kita akan baiki, SPR akan cuba dapatkan dakwat yang lebih baik, terutama isi kandungan silver nitrate," katanya pada sidang media pengumuman tarikh PRK Kuala Besut di pejabat SPR.
Ketika ditanya mengenai jumlah kandungan silver nitrate yang akan digunakan dalam dakwat itu, Abdul Aziz berkata, ia untuk memastikan dakwat tersebut akan kekal lebih lama.
"Yang pastinya silver nitrate tersebut akan menjadikan dakwat tersebut lebih baik penggunaanya," katanya.
Abdul Aziz turut mengesahkan bahawa tiada pemerhati dari luar negara akan dilantik dalam PRK kali ini sepertimana PRU13, 5 Mei lalu.
"Kita hanya melantik pemerhati dalam negara iaitu satu daripada Majlis Belia Malaysia (MBM) dan satu lagi wakil IDEAS," katanya.
PRK Kuala Besut akan diadakan pada 24 Julai ini berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr A Rahman Mokhtar daripada BN.
No comments:
Post a Comment