Terima Kasih kerana Follow GT-Puteri , anda semua adalah yang terbaik !

Tuesday 30 July 2013

Filem Viswaroopa​m, Tanda Putera dan The New Village...​adakah kebetulan?

newvillage-tanda
Kebetulan atau dirancang? Itu persoalan banyak pihak apabila filem The New Village mencetuskan kontroversi umum sehingga ada pihak menuntut kerajaan menarik semula atau mengharamkan filem yang memaparkan perjuangan komunismalah menunjukkan seolah-olah Tanah Melayu asalnyamilik Cina.
Filem arahan Wong Kew Lit dan dijadual akan ditayangkan 22 Ogos ini dilihat sesetengah pihak sebagai pelengkap isu yang menyentuh tiga kaum utama di negara ini.
Sebelum ini filem tamil Viswaroopam turut cetuskan kontroverisi selepas aduan NGO India Muslim dan begitu juga nasib filem Tanda Putera yang membangkitkan kemarahan pemimpin DAP Lim Kit Siang.
Dan apabila The New Village, tiba-tiba muncul untuk ditayangkan pada bulan Kemerdekaan, tentunya banyak persoalan bermain difikiran banyak pihak.
Namun, sama ada Viswaroopam atau Tanda Putera , filem -filem ini bermula kontroverisi sebelum penayangan tetapi berakhir di pawagam juga untuk tuntutan umum.
Tanda Putera akan dijadual menemui  penonton pada 29 Ogos manakala The New Village bakal ditayangkan 22 Ogos tetapi ekoran bantahan pelbagai pihak, nasib filem itu hanyak diketahui selepas Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Lembaga Penafis Filem membuat penelitian semula.
Sebenarnya KDN dan LPF berhak menentukan sama ada filem ini ke pawagam dan menunding jari kepada Perbadanan Filem Nasional (Finas) yang didakwa meluluskan penayangan The New Village, adalah sikap terburu-buru.
Pengerusi Finas, Datuk Md Afendi Hamdan menjelaskan pihaknya hanya berperanan terhadap peraturan Wajib Tayang bagi mempertimbangkan mana-mana filem tempatan atau usahasama  ditayangkan secara wajib di pawagam.
Menerusi peraturan dipanggil Skim Wajib Tayang penerbit atau pengeluar filem boleh menayangkan karya mereka di pawagam serta membolehkan mereka menerima rebat, sebagai contoh jika filem ini bernilai RM5 juta, pengeluar akan mendapat rebat RM500 ribu.
“Finas menerima permohonan The New  Village untuk Skim Wajib Tayang kerana filem itu sudah mendapat kelulusan LPF. Saya difahamkan, filem itu sudah diluluskan tahun lalu tetapi ditangguhkan kerana jangkaan pilihanraya umum oleh penerbitnya,” kata Md Afendi kepada Agendadaily.
Katanya, penerbit The New Village kemudian memohon tarikh 22 Ogos tetapi penyiaran traier filem itu di internet mencetuskan kontroversi.
Menurut  beliau, kini terserah kepada KDN dan LPF sama ada mahu meluluskan penayangan atau tidak.
Menjawab soalan, Md Afendi berkata, Finas boleh menarik semula kelulusan Wajib Tayang tetapi penerbit masih boleh menayangkan filem masing-masing secara terus dengan pihak pawagam.
Sementara itu, Bernama melaporkan laporan lengkap penelitian semula LPF terhadap filem The New Village akan dihantar kepada KDN minggu ini.
Pengerusi LPF, Datuk Raja Azhar Raja Abdul Manap berkata, dua panel ditubuhkan yang masing-masing berperanan untuk mencari apa yang didakwa mengandungi unsur memperjuangkan komunis dan mencari agenda tersembunyi daripada segi jalan cerita, perkara-perkara tertentu di sebalik filem itu.
"Panel LPF sentiasa melihat dari sudut garis panduan yang ditetapkan untuk sesebuah filem dan kita akan melihat semula objektif filem itu.
Panel yang ditubuhkan akan menonton semula filem itu.
"Malah, pagi tadi telah berjumpa dengan Astro Shaw (penerbit filem) dan mereka telah serah filem tersebut kepada kami untuk penelitian semula," katanya.
Filem itu mengundang kontroversi umum di Internet apabila didakwa cuba mengagung-agungkan komunis secara tersirat sehingga beberapa badan bukan kerajaan dan politik menuntut filem itu ditarik balik atau diharamkan.
Menteri Dalam Negeri Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Ahad berkata, tayangan filem itu yang dijadualkan pada 22 Ogos ditangguhkan bagi membolehkan LPF meneliti semula kandungannya termasuk keperluan menapis semula daripada segi plot cerita dan mesejnya.
Raja Azhar berkata, jika laporan penelitian semula telah diserahkan kepada KDN, keputusan penayangan terletak pada bidang kuasa kementerian itu.
"LPF hanya berperanan untuk meletakkan garis panduan yang sesuai dan bukannya penentu sesebuah filem itu boleh ditayang atau sebaliknya," katanya.
Ditanya mengapa pada peringkat awal LPF meluluskan filem itu untuk ditayangkan, beliau memberitahu bagi LPF, filem itu telah mematuhi segala garis panduan yang ditetapkan.
"Dari segi garis panduan, filem itu dilepaskan kerana ia melepasi semua garis panduan kita seperti bebas dari isu ketenteraman awam, keselamatan, keagamaan dan hubungan kaum.
"Kita juga teliti setiap dialog. Malah dari segi isu-isu keganasan keterlaluan pun tiada malahan bersih. Begitu juga tiada dialog yang menyinggung perasaan kaum," katanya.
Raja Azhar menjelaskan kontroversi yang timbul ketika ini 'di luar garis panduan LPF' contohnya objektif filem dan tujuan filem diterbitkan, dan LPF perlu meneliti semula kandungan keseluruhan film tersebut.
"Sebagai sebuah cerita, filem ini memang tiada isu ... tetapi jika ada di sebalik cerita sama ada memperjuangkan komunis atau tidak, itu yang kita akan double check. Dalam konteks filem hiburan, ia lepas. Kalau wujud isu perkauman, kita memang sudah potong," katanya.
Raja Azhar turut menasihatkan mereka yang mengkritik tanpa usul periksa ketika ini supaya menonton keseluruhan filem dan bukannya treler sahaja yang langsung tidak menggambarkan keseluruhannya.
Menurutnya, filem tersebut berkisar pada pencintaan seorang gadis kampung dengan anggota komunis yang dipisahkan dengan kawat berduri selain memaparkan ketenteraman awam dikawal sepenuhnya pasukan keselamatan.

No comments:

Post a Comment