KUALA LUMPUR, 3 April – Pembubaran Parlimen yang diumumkan hari ini oleh Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dianggap amat tepat dan ‘kena pada masanya’ kata penganalisis politik tempatan Prof Datuk Zainal Kling.
Ujarnya, Najib telah membuktikan kewibawaannya sebagai Perdana Menteri sepanjang tempoh empat tahun sebagai pemimpin negara dan ini dapat dinilai berdasarkan perkembangan yang berlaku bukan sahaja di dalam malah juga di luar negara.
“Dengan pembubaran ini maka bermakna, Datuk Seri Najib telah bersedia untuk berdepan dalam suasana demokrasi bagi membentuk kerajaan dan mengadakan pilihan raya sebagai langkah terbaik dengan keyakinan bahawa Barisan Nasional (BN) akan terus beroleh mandat,” katanya kepada UMNO-Online.
Pembubaran berkenaan diumumkan menerusi ucapan khas yang disiarkan secara langsung di televisyen kira-kira pukul 11.30 pagi selepas mendapat perkenan Yang Di-Pertuan Agong supaya Parlimen ke-12 dibubarkan pada hari ini.
“Sebagai pemimpin negara, sepanjang tempoh empat tahun, Datuk Seri Najib telah melaksanakan tanggungjawab dan amanah kepada rakyat, memberikan bantuan yang boleh dibelanjakan oleh semua peringkat umur sebagaimana BR1M, KR1M, baucer buku 1Malaysia, bantuan persekolahan dan lain-lain lagi,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan melalui transformasi yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri telah melaksanakan inisiatif-inisiatif untuk rakyat dengan mewujudkan Kedai Buku 1Malaysia, Kedai Kain 1Malaysia, Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA), Bantuan Tayar 1Malaysia, Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA) serta Menu Rakyat 1Malaysia.
“Apa yang dilaksanakan oleh Datuk Seri Najib melangkaui negara berkebajikan yang dijadikan idealogi parti Pas kerana sebagai kerajaan, BN telah memanifestasikan pembaharuan, pemimpin bersama rakyat, menghulurkan bantuan dan menyediakan pelbagai kemudahan,” katanya.
Tegasnya yang juga pensyarah di Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia (UUM), tempoh sepenggal yang ada digunakan sepenuhnya oleh Najib sebagai Perdana Menteri sehinggalah pembubarannya hari ini.
“Sejak kepimpinan beliau empat tahun lalu dan sejak dua tahun kebelakangan ini, Datuk Seri Najib telah menunjukkan keupayaan sebagai pentadbir dan pengurus, mempunyai kebolehan dan kecekapan membawa kemajuan negara dan menangani pelbagai masalah rakyat.
“Beliau juga telah menjadi perhatian apabila berucap di London pada tahun 2010 dan selepasnya di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dengan memberikan keyakinan penuh bahawa pendekatan wasatiyyah perlu diketengahkan bagi menyelesaikan masalah hubungan antara agama dan kemelut antarabangsa yang mana ia telah menarik perhatian pemimpin utama diperingkat global.”
Selaras dengan itu, beliau menyarankan agar rakyat berfikir secara rasional dengan melakukan penilaian secara matang tanpa dipengaruhi emosi atau manipulasi pihak tertentu.
“Rakyat telah memberikan peluang kepada pakatan pembangkang untuk mentadbir berdasarkan keputusan PRU ke-12 yang lalu dan hasilnya dapat dilihat sebagaimana di Pulau Pinang, Kedah dan Selangor yang lebih banyak demonstrasi oleh rakyat sehinggakan kerajaan negeri pun diheret ke mahkamah, malah Kelantan yang sudah 22 tahun di tangan pembangkang pun tidak menunjukkan kemajuan,” katanya lagi.
Pada sidang media khas pagi ini, Perdana Menteri juga meminta semua ketua kerajaan negeri mendapatkan perkenan daripada ketua negeri masing-masing bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri agar pilihan raya umum dapat diselaraskan secara serentak seluruh negara.