SHAH ALAM, 1 Feb - Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN)
Selangor, Datuk Seri Noh Omar secara sinis mengucapkan tahniah kepada
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana mahu membubarkan Dun
Selangor lebih awal.
Noh berkata, kenyataan itu secara tidak langsung membuktikan bahawa
Abdul Khalid telah bersetuju bahawa daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan
Raya (SPR) adalah bersih.
Beliau berkata, pemimpin pakatan pembangkang sebelum ini
berdolak-dalik mengatakan Selangor tidak mahu mengadakan pilihan raya
serentak dengan Kerajaan Persekutuan selagi SPR tidak membersihkan
daftar pemilih.
“Kita mengucapkan syabas kepada Menteri Besar Selangor. Beliau
sendiri nampaknya tidak sabar-sabar hendak membubarkan Dun dan
mengadakan pilihan raya. Beliau secara tidak langsung telah bersetuju
bahawa daftar pemilih SPR telah bersih,” katanya kepada Sinar Harian,
Khamis.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Abdul Khalid yang
tidak menolak kemungkinan untuk membubarkan Dun Selangor lebih awal
iaitu selepas sambutan Chap Goh Meh hujung bulan ini.
Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata,
jentera BN Selangor sudah bersedia bila-bila masa sekiranya Dun
dibubarkan dan yakin akan menawan semula negeri ini.
“Kita berharap pakatan pembangkang akan menerima apa sahaja keputusan
pilihan raya itu nanti. Kita tidak mahu apabila kalah, macam-macam
tuduhan yang dilemparkan kepada SPR dan juga BN.
“Kita juga berharap PRU13 berjalan dengan aman tanpa sebarang
provokasi atau tindakan tidak sepatutnya daripada penyokong dan pemimpin
parti pembangkang,” katanya.
Mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan
Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa mereka tidak
akan mengikut jejak Selangor membubarkan Dun, Noh berkata, itu
membuktikan bahawa pakatan pembangkang semenangnya tidak pernah sepakat.
“Dalam membuat keputusan yang begitu besar yang melibatkan
kepentingan rakyat mereka tidak sehaluan, ini menunjukkan pakatan
pembangkang sdebenarnya sebuah parti yang cacamarba. Mereka tidak layak
untuk mentadbir sebuah negeri mahpun negara,” katannya.
Justeru beliau yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang menasihati
rakyat agar membuat pilihan yang tepat pada pilihan raya umum akan
datang bagi memastikan kebajikan dan masa depan yang terbela.
No comments:
Post a Comment