“Walaupun kita tewas ke semua kerusi di Parlimen Petaling Jaya Selatan pada PRU 12, saya yakin UMNO dan Barisan Nasional (BN) mampu bertapak kukuh di parlimen ini pada PRU akan datang. Rakyat sudah kembali memberikan sokongan padu kepada BN… Rakyat sukakan cara kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” ujar Jamilah Hanim Othman.
Beliau yang merupakan Ketua Puteri UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan menambah, Puteri akan terus berusaha keras mendekati masyarakat di Parlimen ini dalam membantu parti untuk bertapak semula di sini.
Menerusi program-program yang dijalankan oleh Puteri ujarnya, dapat dilihat dengan jelas sokongan masyarakat setempat amat baik dan ini memberikan petanda jelas bahawa UMNO dan BN kembali bertakhta di hati rakyat.
“Kita tewas di semua kerusi pada PRU lalu tidak bermakna kita akan terus tewas di PRU akan datang. Kita telah melakukan pelbagai usaha mendekati rakyat dan membetulkan segala kelemahan yang ada. Puteri selaku tulang belakang parti, akan terus berusaha mengukuhkan kedudukan UMNO di sini.
“Saya yakin, kita mampu membuat perubahan malah berdasarkan kajian yang dibuat, peratus sokongan rakyat kepada UMNO khususnya BN telah bertambah. Kini semua cawangan dan bahagian hanya perlu berusaha gigih dan bersatu untuk mendapatkan lebih ramai pengundi. Segala agenda peribadi harus diketepikan… Kita perlu fokus. Begitu juga Puteri… Kita fokus membantu parti,” ujarnya kepada UMNO-Online.
Tegas beliau yang juga merupakan Exco Pergerakan Puteri UMNO, sekarang adalah masa terbaik untuk mengembalikan semula hati dan kepercayaan rakyat memandangkan keadaan pembangkang yang terus bercelaru.
Malah rakyat juga tegas beliau semakin meluat dengan tindak tanduk pembangkang yang hanya pandai berjanji kosong saja.
“UMNO bahagian Petaling Jaya Selatan khususnya mesti terus mendampingi rakyat yang jelas sudah hilang kepercayaan kepada pembangkang. Ini dapat di lihat apabila pakatan pembangkang turun padang memberi ceramah, tiada lagi sambutan hangat yang diterima.
“Anwar Ibrahim turun, Wan Azizah turun… Abby Abadi juga telah dua kali datang memberi ceramah tetapi tiada sambutan dari masyarakat sini. Inilah bukti bahawa rakyat dah tak percaya mereka.
“Kepercayaan yang rakyat berikan dahulu kepada pembangkan telah dipersiakan. Kita harus mengambil kesempatan ini untuk menyakinkan rakyat bahawa kita adalah yang terbaik untuk diberi kepercayaan membela nasib rakyat. Tiada yang lain boleh dipercayai selain UMNO dan BN. Ini telah jelas terbukti dengan pelbagai program dan bantuan yang diberikan oleh kerajaan demi menaiktaraf hidup rakyat,” ujarnya lagi.
Oleh itu, beliau amat berharap agar masyarakat di Parlimen Petaling Jaya Selatan akan memberi mandat kepada BN pada PRU akan datang untuk merubah masa hadapan rakyat di kawasan ini. - MediaUMNO
No comments:
Post a Comment