Terima Kasih kerana Follow GT-Puteri , anda semua adalah yang terbaik !

Tuesday, 14 August 2012

Chong Wei Calon BN Di Pulau Pinang



Sukan sememangnya mampu menyatukan rakyat sesebuah negara.  Ini satu hakikat yang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa dan Nelson Mandela telah membuktikannya.   

Di Malaysia juga sama di mana setiap kali acara sukan yang menyaksikan pasukan Malaysia beraksi, pasti semua rakyat Malaysia tidak mengira kaum, agama dan fahaman politik, akan bersatu menyokong pasukan negara.  

Benar, ada segelintir yang bersifat khianat terhadap negara sendiri serta tiada semangat patriotisme mahupun kesukanan seperti ADUN DAP, Manoharan Malayalam dan beberapa lagi pemimpin Pakatan Rakyat, namun jumlah mereka terlalu kecil dan tidak mampu menggoyah semangat perpaduan majoriti rakyat Malaysia di dalam sukan.  

Oleh itu, dengan kemenangan pingat perak Dato’ Lee Chong Wei dalam sukan Olimpik yang sedang berlangsung, ramai yang mula memperkatakan tentang kemungkinan beliau akan dinamakan sebagai calon pilihanraya.  Lebih-lebih lagi apabila terdapat komen-komen positif dari peminat beliau yang mengaku akan mengundi beliau sekiranya beliau dicalonkan.   Semua orang bersetuju bahawa Chong Wei telah berjaya menyatukan rakyat Malaysia.  

Menurut desas-desus, ada pihak yang sedang mencuba untuk menamakan beliau sebagai calon di Pulau Pinang.  Jika ini benar, ia mungkin juga sesuatu yang positif bagi mengimbangi penguasaan DAP yang gemar meniupkan api perkauman dan menghapuskan semangat cintakan negara di kalangan rakyat.  

Dengan sikap Manoharan yang memperlekehkan pingat perak Chong Wei telah dengan sendirinya membuktikan bahawa DAP tidak pernah berkongsi aspirasi dan semangat negara ini.  





Justeru, memandangkan Chong Wei boleh dikatakan sebagai simbol perpaduan dan semangat rakyat Malaysia, pencalonan beliau dalam pilihanraya mungkin mampu membantu rakyat yang telah tersasar gara-gara terpengaruh dengan DAP/PR, agar kembali menghargai bumi yang dipijak serta langit yang dijunjung ini.  

Pencalonan Chong Wei sebagai calon pilihanraya adalah tidak mustahil menjadi nyata kerana sebelum ini, Soh Chin Aun, bekas Kapten Bolasepak Malaysia yang terkenal pernah dicalonkan untuk bertanding dalam Pilihanraya 1986 di Kota Melaka.  Bagaimanapun, beliau telah kalah kepada Lim Guan Eng dengan majoriti lebih 17,000 undi.  

Namun, ini tidak bermakna yang Dato’ Lee Chong Wei juga akan kalah jika bertanding memandangkan rakyat benar-benar dahagakan seorang tokoh berjiwa rakyat dari kaum bukan Melayu yang mampu mempengaruhi rakyat berbagai kaum untuk menghayati semangat 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri.    

Jika faktor ini diambil kira, kita tidak ragu-ragu lagi bahawa wira badminton kita ini adalah termasuk dalam kategori ‘calon boleh menang’ yang kita cari-cari dalam PRU nanti.  

Bagaimanapun, ini hanyalah desas-desus dan sekiranya ia benar maka mungkin Malaysia perlu fikirkan semula satu perkara, iaitu: Apakah kita lebih memerlukan Dato’ Lee Chong Wei untuk mengharumkan nama negara di dalam sukan badminton atau kita lebih memerlukan beliau untuk turun padang memberi penerangan serta menghulurkan bantuan kepada rakyat bagi pihak BN?  

Yang pasti, melahirkan seorang wira badminton bertaraf dunia tidak semudah mencari calon pilihanraya!

Untuk itu, Syabas Dato’ Lee Chong Wei!  Malaysia sentiasa bersamamu, tak kira menang ataupun kalah. 

No comments:

Post a Comment