Muka depan akhbar
Suara Keadilan memaparkan tajuk Bakal Menantu Najib Penipu. Tajuk ini bukan
sahaja memperlihatkan yang akhbar tersebut membuat keputusan mendahului sistem
perundangan, malah memfitnah secara terang-terangan.
Dalam mengulas berita tersebut, Ketua Wanita
Keadilan Zuraida Kamaruddin pula dengan tidak semena-mena mencabar Datuk Seri
Najib untuk menyaman malu akhbar New York Post yang mula-mula menyiarkan berita
mengenai Daniyar Nazarbayev. Begitu juga dengan Ketua Serikandi Keadilan, iaitu
Siti Aishah Shaik Ismail menyuruh keluarga Datuk Seri Najib menjawab isu ini.
Mendesak Datuk Seri Najib atau keluarga untuk
menjawab isu dan menyaman malu akhbar yang menyiarkan berita tersebut amatlah
tidak masuk akal. Jika ada pihak yang perlu mengambil tindakan sedemikian ia
pastilah keluarga Nazarbayev sendiri. Datuk Seri Najib dengan mereka tiada
pertalian darah pun, dan hubungan mereka adalah sekadar ikatan pertunangan
antara anak masing-masing sahaja.
Kita tahu bahawa parti Pakatan Rakyat amat
terdesak untuk mencari isu bagi menghadapi pilihanraya yang semakin hampir.
Tetapi, ketahuilah oleh mereka bahawa kisah
mengenai bakal menantu Perdana Menteri bukan satu isu kerana ia tiada kena
mengena dengan rakyat dan negara. Begitu juga, apabila kisah tersebut tidak
benar kerana pihak yang terlibat iaitu ibu kepada Daniyar, Maira, telah pun
membuat penafian.
Menurut Maira, beliau masih punya ikatan
perkahwinan dengan Bolat Nazarbayev dan tidak pernah dikehendaki oleh Interpol.
Malah, pada ketika beliau ditanya, mereka sekeluarga sedang merancang percutian
musim panas ke Eropah.
Jelas, Maira dan anaknya bebas bergerak ke
mana-mana malah beliau juga boleh dihubungi untuk mendapatkan kenyataan. Jika
benar beliau adalah orang yang dikehendaki oleh Interpol, tidak mungkin
Interpol tidak dapat menangkapnya sedangkan wartawan juga mampu menghubunginya?
Suara Keadilan harus belajar mengenalpasti
yang mana satu isu politik dan yang mana tidak. Jika tidak tahu mengenalpasti
isu, janganlah menggunakan nama dan lambang parti untuk menerbitkan akhbar.
Lebih elok jika akhbar ini digelar akhbar tabloid yang menyiarkan gossip dan
tahyul untuk hiburan pembaca.
Lebih dari itu, parti PKR sendiri harus
belajar untuk mengenalpasti mana isu yang penting dan mana yang tidak untuk
dijuarai mereka. Dengan menyerang keluarga, atau lebih tepat, bakal keluarga,
menunjukkan yang PKR sudah hilang pertimbangan. Seolah-olah dendam parti ini
kepada BN adalah dendam peribadi dan bukannya antara lawan politik.
Jika isu ini dibawa oleh PKR ke pentas kempen
pilihanraya, ia sekali gus menunjukkan yang benarlah Datuk Seri Najib adalah
seorang pemimpin yang hebat dan BN adalah parti yang tepat untuk rakyat
sehinggakan PKR tidak mampu mencari isu lain untuk menyerang. Kerana itulah PKR
terpaksa memainkan isu bakal keluarga yang tidak ada kena mengena dengan rakyat
dan negara.
No comments:
Post a Comment