Terima Kasih kerana Follow GT-Puteri , anda semua adalah yang terbaik !

Tuesday 19 June 2012

Pakatan Rakyat, Juara Bikin Ribut


hadi-mat
Selepas Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkisah tentang spekulasi pilihanraya pada musim Haji,Presiden PAS Datuk Seri Haji Hadi Awang pula tampil dengan kenyataan yang panjang lebar.
Pada kenyataan yang dihantar pada media petang Sabtu itu beliau antara lain seperti biasa hendak tunjuk bagaimana pakatan pembangkang akan jaga hak rakyat jika duduk di Putrajaya.
Katanya PAS yang bersama Pakatan Rakyat, sekiranya diberi kuasa memerintah negara tidak mengizinkan musim haji menafikan hak rakyat menunaikan kewajipan politik ini tanpa mengira menang atau kalah, kerana hak politik adalah amanah besar dalam ajaran Islam.
Haji Hadi juga hendak gambarkan bagaimana jahilnya orang UMNO dan mereka yang membuat kenyataan menentang desakan PAS agar Perdana Menteri memberi jaminan pilihanraya tidak akan diadakan pada musim Haji.
Sebelum ini seluruh pimpinan PAS termasuk juga Musyridul Am Datuk Nik Aziz Nik Mat bersuara senada mahu  mereka yang berkepentingan yakni bakal calon dan jentera parti menangguhkan tunai Haji.
Kata Presiden PAS itu parti pimpinannya tetap mendidik ahli dan penyokongnya bahawa politik tidak boleh dipisahkan daripada agama Islam, laksana tidak boleh dipisahkan kepala dengan badan.
Seperti juga Tuan Ibrahim,kenyataan Haji Hadi diselitkan dengan berbagai hujah keagamaan.Maksudnya kalau tidak dipenuhi tuntutan PAS maka ' berdosa ' seperti yang disebut oleh Timbalan Presiden PAS Mat Sabu.
Sebelum pergi lebih jauh rasanya Haji Hadi dan Tuan Ibrahim kena minta fatwa dari Mat Sabu terlebih dahulu apakah ' berdosa' bagi seseorang lelaki menelefon isteri orang untuk bercengkerama mengenai soal seks antara mereka berdua.
Ini merujuk kepada penyebaran rakaman perbualan telefon antara Mat Sabu dengan isteri orang, Normah yang menjadi isu yang cuba dipendam oleh PAS hingga ke hari ini.
Kata orang kalau maruah orang nombor dua dalam parti itu 'amat dicurigai' apa hendak sembang panjang-panjang macam awak itu hulubalang penjaga kesucian Islam.
Ini belum masuk lagi bab dakwaan moral selekeh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diangkat menjadi ' imam' pakatan pembangkang.
PAS dikatakan tidak pernah berani mahu mendesak dicari kebenaran dalam dua isu besar kerana bimbang senario politik pakatan pembangkang akan jadi kelam kabut.
Ada yang bertanya kalau awak itu parti yang memperjuangkan agama seperti digembar gemburkan mengapa bertindak memilih dalam soal mencari kebenaran.
PAS boleh turun padang menyertai Datuk S Ambiga,yang diketahui peguam yang membela orang murtad  - konon hendak mencari kebenaran dan kebersihan dalam soal pilihanraya.
Apakah mereka tidak merasa perlu soal maruah dan imej orang nombor dua PAS dan ketua pakatan pembangkang ' bersih' juga.
Makanya Haji Hadi maupun Tuan Ibrahim jangan marah jika ramai yang merasakan desakan agar Perdana Menteri memberi jaminan pilihanraya tidak diadakan musim Haji semata-mata diselubungi oleh motif politik.
Bagaimana pula tentang nasib ribuan rakyat di Kelantan yang selama PAS memerintah negeri itu lebih 20 tahun terpaksa hidup bergelumang dengan air paip yang kotor.
Apakah ' air bersih' bukan menjadi satu perjuangan Islam bagi PAS.Bukan setahun atau dua tahun tetapi sudah lebih 20 tahun lamanya.
PAS kini hidup diawang-awangan dibuai mimpi yang dilakarkan oleh Anwar tanpa merasa berbagai hipokrasinya semakin terserlah.
Dalam isu spekulasi PAS pasal pilihanraya di musim Haji....soalnya apakah PAS pasti ia akan diadakan pada musim Haji?
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menilai desakan PAS itu tidak wajar berkata...'entah-entah selepas musim Haji pun belum tentu ada pilihanraya'.
Sekalipun tidak perlu disebut kerana ia menjadi hak ekslusif Perdana Menteri menentukan tarikh pilihanraya ....namun ramai yakin soal pilihanraya pada musim Haji tidak akan berbangkit.
Namun PAS melihat ini semua satu peluang untuk mengunakan sentimen keagamaan itu untuk mencetuskan kekeliruan dan rasa marah orangramai pada kerajaan.
Maka seperti juga slogan mengarutnya ' undi PAS masuk syurga' PAS merasa ia sudah berhak meletakan dosa kepada Perdana Menteri kerana tidak ikut kehendaknya.
Hebat PAS...apakah PAS pernah peduli kalau ia tidak ikut tuntutan orang lain?
Apa kata jika nanti betul pilihanraya tidak diadakan pada musim Haji...apakah PAS hendak mengaku ia berdosa mencetuskan prasangka buruk tidak tentu pasal.
Semua orang tahu PAS mana pernah merasa ia bersalah kerana ia parti bertunjangkan agama.
Atas sebab itu baik Haji Hadi,Tuan Ibrahim dan juga Nik Aziz perlu lebih merenung diri.
Cakap sahaja bab politik dan agama...tetapi apa yang nampak politiknya lebih kedepan.
Mat Sabu tentu tersenyum riang dapat menuduh orang itu dosa dan orang ini dosa.
Normah bagaimana Bang Mat ? Rakaman suara seksi abang Mat  itu masih terus popular di Youtube.- 17/6/2012



BERIKUT DISIARKAN KENYATAAN PENUH HAJI HADI :

Kenyataan Media Presiden PAS : Haji dan Politik

Saya tidak menyangka bahawa tulisan saya yang menyebut haji dan pilihanraya secara sepintas lalu menjadi polimik hangat beberapa hari. Saya hanya menyebut bahawa masyarakat Islam kebanyakannya tidak tahu perbezaan diantara wajib mudoyyak dan wajib muwassa yang tidak ada dalam pelajaran fardu ain.
Apabila Ketua Penerangan PAS, Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man membuat kenyataan susulan, beliau menjadi sasaran serangan media UMNO yang berpelurukan kenyataan berbagai pihak. Maka UMNO tidak mengambil kira musim haji atau musim puasa dan sebagainya, kerana UMNO tidak menjadikan Islam itu dasar panduan perjuangannya. Tuan Haji Subki Latif pernah menjadi sasarannya apabila menyentuh perkara ini ketika menjadi ketua penerangan PAS.
Media jurubicara UMNO mendedahkan kebebalan mereka berkenaan hukum Islam dan mendedahkan kejahilan pemimpin utama mereka sendiri, seterusnya mendedahkan ada dikalangan tokoh agama termasuk berjawatan mufti, bahawa roh dan jasadnya bersama UMNO. Paling malang dan menjadi lebai malang ialah kalangan yang jahilnya murakkab, tidak mengenali ilmu usul feqah dan maqasid syariah.
PAS tetap berpegang kepada ajaran Islam yang tidak memisahkan politik daripada agama Islam, walaupun politik tidak termasuk dalam rukun Islam seperti ibadah haji dan tidak termasuk rukun iman. Begitulah juga wajibnya menutup aurat dan menjelaskan hutang sesama manusia, perkara ini tetap wajib ditunaikan serta-merta, walaupun tidak dimasukkan secara sebutan dalam rukun Islam. Para ulama menegaskan bahawa perkara-perkara yang tidak disebut dalam rukun itu, tetap termasuk dalam rukun pertama dua kalimah syahadah dan tidak boleh dipisahkan daripada mana-mana rukun iman.
Dalam perkara wajib, para ulama usul fiqh bukan sahaja membahagikan kepada fardu ain dan fardu kifayah. Perkara wajib juga dibahagikan dari segi kesesuaian kadar waktu menunaikannya, sama ada wajib disegerakan, tidak boleh ditangguh, yang dinamakan wajib mudoyyaq seperti puasa ramadhan dan sembahyang diakhir waktu. Ada juga wajib yang boleh ditangguh kerana luas waktunya dan tidak berdosa menangguhkannya seperti haji dan sembahyang wajib yang lama masanya diawal waktu. Perkara ini dinamakan wajib muwassaa.
Apabila bertembung dua perkara yang sama wajibnya, maka didahulukan kepada menunaikan wajib mudoyyaq seperti wanita kematian suami yang wajib menunaikan idah berada di rumah dalam masa beberapa bulan yang ditetapkan oleh Al Quran, dalam masa yang sama dia berharta dan mampu menunaikan haji kali pertama yang wajib dan menjadi rukun Islam. Hukumnya hendaklah menunaikan idahnya terlebih dahulu, wajib berada di rumah kerana wajibnya mudoyyaq dan menangguhkan haji kerana wajibnya muwassa'. Walaupun perkara idah tidak termasuk dalam rukun Islam. Begitu juga dengan seseorang yang cukup duitnya menunaikan haji, dalam masa yang sama dia berhutang dan diminta membayar segera, maka hendaklah membayar hutangnya terlebih dahulu atau keluarga wajib diberi nafkah, maka tunaikan nafkah dengan cukup terlebih diutamakan walaupun perkara-perkara tersebut tidak termasuk dalam rukun Islam.
Rasulullah SAW menangguhkan ibadat hajinya walaupun diwajibkan lebih awal, ada kalangan ulama yang menyatakan sejak zaman Nabi Adam. Ada yang menyatakan sejak zaman Nabi Ibrahim dan ada yang menyatakan ditahun ketujuh hijrah. Rasulullah SAW membebaskan Makkah (Fathul Makkah) daripada Jahiliyyah terlebih dahulu daripada menunaikan haji dan menghadapi qabilah Hawazin dalam peperangan Hunain. Walaupun banyak harta dan bekalan berada dalam tangan melimpah ruah dan sudah masuk bulan syawal (bulan haji), namun terus pulang ke Madinah tanpa menunaikan haji. Rasulullah SAW menugaskan sahabatnya Abu Bakar R.A supaya memimpin umat Islam menunaikan haji pada tahun kesembilan hijrah. Adapun Rasulullah SAW menangguhkan haji sehingga tahun kesepuluh hijrah, sebelum sedikit kewafatan baginda. Para ulama menegaskan bahawa wajib haji adalah muwassa', boleh ditangguh dan Rasulullah SAW mendahulukan urusan politik negaranya dengan menerima rombongan yang datang menyerah diri masuk Islam atau sedia berdamai.
Dalam peristiwa Hudaibiyah pula, Rasulullah dan para sahabat telah memakai pakaian ihram bagi menunaikan umrah. Tiba-tiba dihalang memasuki Makkah dan berakhir dengan perjanjian Hudaibiyah yang salah satu syaratnya menangguhkan umrah. Maka ditangguhkan umrah dan dibayar dam(denda) tanpa menunaikan umrah pada tahun tersebut. Umrah ditangguh kerana perjanjian Hudaibiyah memberi kemenangan politik yang tidak boleh ditangguhkan.
Kepada PAS, pilihanraya adalah amalan politik yang menjadi hak memilih pemimpin dan kerajaan. Politik adalah sebahagian daripada ajaran Islam, walaupun pilihanraya itu dikatakan asalnya dari Barat. Passport dan visa haji juga berasal daripada Barat, kedua-duanya tidak termasuk dalam syarat dan rukun haji. Para ulama usul Fiqh menetapkan kaedah bahawa perkara yang menjadi halangan menunaikan yang wajib kalau tidak melakukannya menjadi wajib juga. Begitulah pilihanraya adalah cara memilih pemimpin dan kerajaan yang menjadi perkara wajib mengikut semua mazhab Islam dengan nas dan ijmak, kecuali mazhab yang sesat. Al Quran menyebut ayat-ayat yang banyak dalam beberapa surah menunjukkan memilih pemimpin dan kerajaan adalah perkara yang akan dihisab pada hari qiamat nanti. Amaran ini berulang kali lebih banyak daripada ayat haji dan umrah.
PAS tetap mendidik ahli dan penyokongnya bahawa politik tidak boleh dipisahkan daripada agama Islam, laksana tidak boleh dipisahkan kepala dengan badan. Imam Al Ghazali seorang tokoh ulama tasawuf juga menegaskan, "agama adalah asas, kuasa pemerintahan(politik) adalah pengawas. Kalau tidak ada asas runtuh, kalau tidak ada pengawas, hilang tercicir". Maka banyak hukum-hakam Islam dihilangkan kerana politik Islam ditinggalkan. Almarhum Syed Alawi Al Haddad, Mufti Kerajaan Johor ditahun 50-an menyatakan dalam fatwanya yang diterbitkan berkenaan kewajipan pilihanraya dan parti mana yang wajib dipilih. Kepada imam-iman yang masih kuat menyokong UMNO di Johor, sila cari buku fatwa ini.
PAS yang bersama Pakatan Rakyat, sekiranya diberi kuasa memerintah negara tidak mengizinkan musim haji menafikan hak rakyat menunaikan kewajipan politik ini tanpa mengira menang atau kalah, kerana hak politik adalah amanah besar dalam ajaran Islam. Rasulullah SAW menegaskan bahawa menghilangkan amanah ini menjadi salah satu sebab berlakunya kiamat yang menamatkan alam dunia dengan kehancurannya.
Akhirnya percayalah bahawa diam lebih baik daripada bercakap kejahilan, kerana bercakap dalam perkara yang tidak diketahui mendedahkan kebodohan diri sendiri. Beginilah jadinya apabila lesen memandu dijual, boleh membawa kemalangan. Kalau tauliah ilmu juga boleh dijual beli dengan harta dan pangkat, boleh menyesatkan orang ramai. Namun cahaya ilmu Islam pasti bersuluh dan dipelihara Allah. Sesuapa yang mengkhianati ilmu Islam pasti tersungkur akhirnya.
Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS


Isu tangguh Haji: Siapa nak belit siapa?
Pagi Khamis Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man,Ketua Penerangan PAS Pusat berkisah lagi tentang isu tangguh Haji.Kali ini kenyataan beliau bernada lebih santai tetapi terus menekan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi jaminan pilihanraya umum ke  13 tidak diadakan pada musim Haji.
Sekali imbas bunyinya macam ada lojik.
Sebagai orang politik Presiden PAS Datuk Seri Haji Hadi Awang kena tepuk bahu Tuan Ibrahim kata 'anta bijak main isu ini'.
Bagi yang berfikiran singkat macam kebanyakan penyokong PAS isunya mudah saja cuma cakap pilihanraya tidak akan diadakan pada musim Haji...semua beres.
Itu juga ayat yang diguna Tuan Ibrahim.
Beliau mempersoalkan wajarkah pilihanraya diadakan pada musim Haji sekalipun hak Perdana Menteri menentukan tarikhnya bila-bila masa.
Alasan beliau agar mereka yang hendak tunai Haji dapat pergi dengan tenang dan tidak dinafikan hak mengundi.
Juga jelas beliau kenyataannya tentang tangguh haji itu spesifik ditujukan pada calon atau wakil calon atau agen parti seperti pengarah pilihanraya sahaja.
Rasanya kita tidak perlu berceramah kepada Tuan Ibrahim bahawa prinsip asasnya di sini ialah menjadi hak perogratif ekslusif seorang Perdana Menteri tak kira siapa pegang jawatan itu membuat perkiraan beliau sendiri bila hendak mengadakan pilihanraya.
Apakah Ketua Penerangan PAS itu tahu pasti Najib akan mengadakan pilihanraya pada musim Haji kali ini ?
Jawabnya tentu tidak.
Bagi yang celik melihat nawaitu tersirat Tuan Ibrahim dan pemimpin PAS yang kini sibuk cuba jadi ini satu isu dirasai  tidak lebih untuk mengambarkan bagaimana jijiknya taktik politik Najib dan BN yang tidak mempedulikan soal rukun Islam kelima ini kerana hendak menang pilihanraya.
Seperti biasa taktik pembangkang ialah 'tembak' dulu.Yang penting persepsi jahatnya BN harus disebarluas.
Sekurang-kurangnya kalau betul nanti pilihanraya tidak diadakan pada musim Haji mereka dengan bangga akan mendabik dada ini semua semata-mata kerana desakan PAS.
Sebagai orang politik ,sekali lagi kita kena tepuk bahu Tuan Ibrahim atas kebijaksanaanya cuba membelit Perdana Menteri.
Ia ibrat sambil menyelam minum air.
Sekurang-kurangnya kalau nasib baik mereka dapat menjerat Najib.Maksudnya kalau Perdana Menteri kata pasti tidak ada pilihanrya musim Haji antara Oktober hingga November mereka sudah dapat gambaran lebih jelas bila pilihanraya hendak diadakan.
Maka waktunya antara Disember hingga ke April yakni waktu penamat.
Itu sudah masuk bab strategi politik.

Lagi pun satu hakikat yang tunai Haji pada musim Haji bukan orang PAS sahaja tetapi juga libatkan orang UMNO,PKR dan macam-macam parti lain.

Juga sebagai orang politik,ada juga yang berpendapat apa perlunya Najib melayan jerit pekik PAS yang jelas bercampur aduk nawaitu politik itu.
Dosa apa yang beliau sudah buat semata-mata kerana tidak bagi jaminan pilihararaya tidak diadakan pada musim Haji.
Siapa tahu mungkin dalam pemilikirannya sendiri Perdana Menteri sudah diambil kira tentang faktor musim Haji.
Soal beliau hendak cakap atau tidak mengenai bab itu ia adalah hak ekslusif beliau.
Tuan Ibrahim  tahu kalau Haji Hadi sekalipun Perdana Menteri tiada siapa yang boleh ambil tindakan undang-undang di mahkamah kalau beliau gam mulut tidak mahu cakap.

Hak tetap hak.

PAS pasti kata kalau Haji Hadi Perdana Menteri tentu beliau akan cakap pilihanraya tidak akan diadakan pada musim Haji.

Itu kerana beliau bukan Perdana Menteri jadi mereka boleh tibai cakap ikut suka hati macam pembangkang dok janji nak bagi bulan bintang jika tawan Putrajaya.

Pokok pangkalnya pilihanraya ke tidak pilihanraya...menunaikan Haji ialah rukun Islam.
Jadi isunya di sini dimana PAS letakkan keutamaan?
Oppss nak buat macam mana...memang susah nak salahkan PAS.Hidup mereka kini terlalu mengidam hendak ke Putrajaya hingga diselubungi oleh nafsu serakah tidor tidak lena mandi tidak basah mengenangkan pilihanraya.
Ini baru cakap bab desakan PAS pada Perdana Menteri.
Hipokasi PAS dan pakatan pembangkang sudah melimpah ketahap hidung.Ini  jelas dapat dilihat kalau bercakap bab desakan NGO atau penyokong kerajaan pula terhadap isu yang mereka tidak pedulikan dan tidak mahu layan langsung selama ini.
Cuba tanya PAS mengenai isu kabinet bayangan pakatan pembangkang....jawabnya bisu.

Bukankah semua orang hendak tahu bab itu agar dapat membuat penilaian awal keatas barisan pimpinan mereka sebelum buang undi.

Mereka nampaknya cukup gabra tentang hal ini kerana ia sesuatu yang 'tak settle'.
Cuba tanya PAS tentang isu penyokong mereka yang mengadakan mini-himpunan Bersih di Madinah dan Mekah hingga mencetuskan kemarahan kerajaan Arab Saudi dan mengugat kuota Haji Malaysia.
Jawabnya...juga bisu.
Nasib baik kerana hubungan baik kerajaan Malaysia-Arab Saudi hal ini dapat diredakan.
Siapa nak jawab jika ditakdirkan Arab Saudi berkeras dan kurangkan kuota Haji Malaysia musim ini kerana isu itu.
PAS tentu gali lubang untuk sembunyikan diri kerana cukup sedar isu itu lebih menyakitkan hati orangramai.
Cuba tanya tentang isu rakaman perbualan telefon miang dan bernafsu antara Timbalan Presiden Mat Sabu dengan isteri orang, Normah satu ketika dulu yang tersebar di internet.

Ramai yang geli geleman mendengarnya.

Kecut...siapa berani jawab.

Jangan kata itu isu sudah lama kerana ia mengambarkan watak dan perilaku orang nombor dua parti itu.

Cuba tanya PAS tentang ada dia kisah tentang desakan agar diadakan siasatan terbuka keatas isu video seks 99.9 peratus tulin Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam bab ini Haji Haji jawab mudah saja...video besi tak boleh jadi bukti.

Jawapan berkenaan pasti akan membuat mana-mana Hamba Allah yang ada akal fikiran waras tertanya pada diri sendiri  kenapa ada orang boleh perbodohkan aku sampai begitu sekali.

Banyak lagi yang boleh disenaraikan.
Soalnya apa perlu layan desakan PAS kalau parti itu sendiri mengambil sikap 'bo-layan' desakan orang lain dalam mencari kebenaran.
Senang cakap...Tuan Ibrahim dan rakan-rakannya kena pergi ke cermin di dinding dan bertanya balik ' apa istimewanya aku ni ' - 14/6/2012






BERIKUT IALAH KENYATAAN PENUH TUAN IBRAHIM YANG DIHANTAR KEPADA MEDIA PAGI KHAMIS

Isu tangguh haji masih hangat diperkatakan oleh media-media pro Umno.

Kenyataan saya yang dibuat pada Jun 5 kepada Selangorku yang menyeru “ahli PAS yang terlibat secara langsung dalam pilihan raya” – dalam kata yang lebih spesifik – “calon atau wakil calon atau agen parti seperti pengarah pilihanraya” telah diputarkan seolah-olahia ditujukan kepada semua umat Islam di Malaysia 8 hari kemudian oleh UtusanMalaysia.
Namunbegitu, ia tidak hairan – selepas  kontroversi PTPTN yang menampar muka sendiri, jawapan-jawapan menteri di parlimen yang memang susah untuk ditonjolkan di muka depan, bertambah pula laporan-laporan antarabangsa mengenai isu Scorpene – mereka perlu mencari sesuatu untuk mengalih pandangan rakyat.
Bajet 2013 yang disebut bajet pilihanraya akan diumum pada September 28. Tarikh Hari Raya Haji adalah 26 Oktober.
Sudah ada bayangan pilihanraya umum 1985 di musim haji bakal berulang.
Isu tangguhhaji ini sebenarnya mudah – betulkah PRU-13 akan diadakan di musim haji?
Masalahnya tiada yang tahu.
Apakah mungkin PRU-13 diadakan di musim haji?
Masalahnya ialah mungkin.
Apakah yang perlu dilakukan jika PRU-13 diadakan di musim haji?
Salahkan perdana menteri? Itu hak beliau, walaupun PAS memang membantah jika PRU-13 diadakan di musim haji.
Adakah orang-orang Umno yang terlibat dengan PRU-13 akan pergi menunai haji? Calon,wakil calon dan agen parti seperti pengarah pilihanraya akan terus juga dengan niat menunai haji.
Tiada yang bertanya.
Walhal,soalan yang patut difokuskan ialah wajarkah perdana menteri mengadakan pilihanraya di musim haji?
Jawapannya jelas tidak.
Apakah jaminan ia tidak berlaku?
Tiada.Sebab itu PAS mendesak perdana menteri bagi jaminan. Dan tekankan “SEKIRANYA”Umno demi untuk menang, mengadakan PRU di musim haji, ahli PAS yang terlibat terus dengan PRU-13 yakni “calon atau wakil calon atau agen parti seperti pengarahpilihanraya” disarankan tangguh haji.
Golongan ini dalam PAS, ramai yang sudah menunaikan haji – mereka adalah veteran. Dalam Umno tak pasti pula.
Isu ini adalah mudah.
Kalau yang cadang tu ialah timbalan perdana menteri atau menteri Umno tentu keadaan dan komentar akan berubah menyokong habis-habisan. Jadi isunya bukan menangguhkan haji sebenarnya siapa yang buat cadangan itu.
Tapi Umno merumitkannya kerana ia tahu, isu sebenar memberi tekanan kepada perdana menteri untuk menyatakan satu tarikh pilihanraya.
Segalanya akan selesai jika tarikh pilihanraya diketahui lebih awal.
Tiada yang risau ingin menunai haji.
Tiada yang risau masa bercuti mereka sama dengan tarikh pilihanraya.
Bahkan,untuk seluruh warga yang bekerja, samada di pihak swasta mahupun kerajaan boleh merancang sebaiknya dengan tarikh pilihanraya diketahui.
Namun penyelesaian yang mudah ini bukan fokus akhbar-akhbar Umno.
Mereka perlukan talian hayat – mereka menilai isu tangguh haji ini sebagai isu yang boleh mengalih perhatian.
Betulla juga, tapi mereka terlupa, terbuta melihat bahawa perhatian kini beralih balik ke perdana menteri. 
 
So, bila perdana menteri nak buat PRU13? Musim haji ke? Calon Umno pergi haji ke taktahun ini? Boleh bagi jaminan tak buat PRU13 masa musim haji?

Senyum.
Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat

No comments:

Post a Comment