JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar terharu dan sebak dengan kehadiran rakyat dari seluruh negeri itu termasuk masyarakat Orang Asli ke Istana Pasir Pelangi di sini bagi menyatakan ikrar taat setia.

Ketika bertitah, baginda turut menyatakan rasa sayang terhadap rakyat Johor.

"Saya sayang rakyat saya. Tidak ada rakyat yang tidak ada raja.

"Saya ada permintaan untuk melihat rakyat bersatu, tidak kira kaum, mesti bersatu. Bersatu kita kuat, bercerai kita runtuh," titah baginda.

Kira-kira 30,000 sertai perhimpunan Ikrar Taat Setia Sultan Johor yang pada asalnya menyasarkan hanya 20,000 orang. Masyarakat Orang Asli turut hadir.

Kebanyakkan peserta mula berhimpun di pekarangan bangunan Sangkar Kristal, Taman Pelangi bermula jam 11 pagi biarpun perarakan dijadualkan mula jam 1.30 petang.

Laporan Bernama pula menyebut mereka membawa pelbagai sepanduk dan berarak sejauh satu kilometer ke Istana Pasir Pelangi, yang merupakan kediaman rasmi Sultan Johor.
Himpunan Menjunjung Kasih dan Taat Setia Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan Johor dianjurkan oleh Majlis Penyelaras Gabungan NGO Melayu Negeri Johor (Gabung).
Suasana di pekarangan istana yang penuh sesak bertukar menjadi emosional apabila baginda tiba-tiba menjadi sebak dan menitiskan air mata ketika menyampaikan ucapan ringkas kepada hadirin.
"Saya tidak akan melupakan hari yang amat bersejarah seperti hari ini," titah baginda sambil mengesatkan air mata dan laungan "Daulat Tuanku" rakyat yang menghadiri perhimpunan itu terus berkumandang.
Perhimpunan itu sebagai reaksi balas terhadap kenyataan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin menerusi laman Twitter mengenai bidaan nombor pendaftaran kenderaan WWW 1 oleh Sultan Johor.
Terdahulu, baginda menerima lafaz ikrar taat setia wakil Gabung Ahmad Tarmizi Yusof serta kunjungan hormat 14 wakil NGO Johor yang menghadiri perhimpunan itu.    
Sementara itu, Bendahari Agung Gabung Zaini Atan berkata, mereka amat bangga kerana perhimpunan hari ini berjaya menarik 30,000 rakyat Johor tanpa mengira bangsa dan agama, yang menganggotai pelbagai NGO.
"Kita hanya mengambil masa tujuh hari untuk menganjurkan perhimpunan ini, sebagai usaha kami untuk menunjukkan semangat taat setia dan sayang kami kepada Sultan kami. Jangan cabar Sultan kami," katanya.
Beliau berkata, sejumlah 312 NGO Melayu Johor dan 62 NGO kaum Cina serta 30 NGO kaum India menyertai perhimpunan itu.
Ahli Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan, yang turut menghadiri perhimpunan itu, berkata beliau berasa amat bangga dengan sokongan rakyat pelbagai agama dan kaum di negeri ini terhadap Sultan Johor.
"Perhimpunan hari ini membuktikan bahawa rakyat negeri Johor menyokong penuh institusi kesultanan kerana ia merupakan tulang belakang kepada Perlembagaan negara," katanya.