Pemerintah kuasa besar dunia, Parti Komunis China
(CPC) menyampaikan ucapan tahniah kepada anggota Majlis tertinggi dan
ahli-ahli parti sempena ulang tahun UMNO yang ke-66 tahun.
Kawat tahniah tersebut telah disampaikan sendiri oleh delegasi
seramai sepuluh orang dari CPC yang diketuai Wu Shumin selaku Ketua
Pengarah Pusat Perhubungan Antarabangsa CPC dengan harapan agar UMNO
terus menjadi peneraju kesejahteraan dan keharmonian negara.
“Sejak dari awal lagi, UMNO tidak pernah jemu dan terus berusaha
memastikan kesinambungan kedaulatan, kebebasan dan perpaduan di
Malaysia,” katanya dalam kunjungan hormat kepada Setiausaha Agung UMNO,
Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Pusat Dagangan Dunia Putra
(PWTC), hari ini.
Ujarnya, CPC mengagumi perjuangan UMNO dalam mempromosikan perpaduan
khususnya keharmonian dalam pelbagai kaum dan etnik dengan kesatuan
dalam kepelbagaian.
“Sebagai parti politik yang terbesar di Malaysia, UMNO telah berjaya
meningkatkan taraf hidup masyarakat di negara ini dengan pembangunan
ekonomi nasional selain program-program jangka panjang yang sangat
berkesan,” katanya.
Beliau turut mengimbas semula hubungan antara UMNO dan CPC
berlangsung akrab malah sejak tahun 1994, delegasi antara kedua-dua
parti saling berkunjung sambil bertukar-tukar idea dan berkongsi
pengalaman dalam soal politik pembangunan untuk diaplikasikan di negara
masing-masing.
“Kita bukan hanya mahu berkongsi idea tetapi juga mempelajari
struktur perkembangan UMNO yang telah berjaya membawa negara ini
dikagumi dipersada antarabangsa biarpun hidup dalam masyarakat yang
pelbagai kaum.”
Lantaran untuk ikatan yang lebih akrab, ianya dimetrai melalui
memorandum persefahaman (MoU) pertukaran dan kerjasama antara kedua-dua
parti yang berlangsung dalam suasana harmoni di Bangunan Perhubungan
Antarabangsa CPC, Beijing pada 4 Ogos 2010.
Menerusi memorandum itu juga UMNO dan CPC bersetuju mengembangkan
hubungan berdasarkan prinsip-prinsip kemerdekaan, hak kesamaan mutlak,
saling menghormati dan bersetuju untuk tidak mencampuri hal ehwal
dalaman masing-masing.
Delegasi CPC tersebut adalah antara parti-parti politik yang akan
bersama-sama dalam acara kemuncak meraikan sambutan ulang tahun UMNO di
Stadium Nasional Bukit Jalil.
Sebelum itu, Sri Lanka Freedom Party yang diwakili oleh M. Fawzan
Anwer Dan Jehan Amaratungga turut mengadakan kunjungan hormat kepada
Datuk Seri Tengku Adnan di pejabatnya, Menara Dato Onn selain akan turut
serta dalam sambutan ulang tahun UMNO esok.
Antara parti-parti asing yang telah mengesahkan kehadiran ialah
People’s Action Party (Pap) Of Singapore dan Pertubuhan Kebangsaan
Melayu Singapura (PKMS). – MediaUMNO
No comments:
Post a Comment