Barisan Nasional (BN) mengenal pasti lebih 1,000 nama
calon bagi mengisi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di
seluruh negara pada pilihan raya umum akan datang.
Setiausaha Agung BN Tengku Adnan Tengku Mansor berkata senarai
tersebut akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak yang juga Pengerusi BN dan Presiden Umno dalam masa terdekat untuk
dikemaskini dan disenarai pendek.
“Untuk calon Umno dan BN, kita akan buat saringan tertentu
sebelum diserahkan kepada presiden parti dan untuk makluman perhubungan
negeri.
“Yang penting, calon yang dipilih adalah mereka yang dikehendaki oleh
rakyat dan bukannya parti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas
melawat Karnival Kerjaya Pemuda Barisan Nasional sempena ulang tahun
ke-66 Umno di sini hari ini.
Tengku Adnan, yang juga Setiausaha Agung Umno, berkata senarai nama
itu diperoleh daripada badan perhubungan negeri melibatkan 191 bahagian
Umno dan 222 Parlimen.
Beliau berkata pihaknya akan meneliti laporan senarai nama yang
dikaji oleh ‘sumber parti’ dan agensi dilantik untuk senarai akhir.
“Bukan semestinya senarai yang diserahkan bahagian atau negeri akan
menjadi calon kelak. Kita juga ada tengok sumber lain. Untuk makluman,
bahagian ada bagi tiga nama, ada yang bagi kurang, ada yang langsung
tidak bagi dan serah kepada pucuk pimpinan untuk pemilihan nama,”
katanya.
Ketika ditanya mengenai identiti calon yang dikenal pasti itu, Tengku
Adnan berkata gabungan muka baru dan lama menjadi pilihan khasnya
pemimpin yang mempunyai kebijaksanaan dan boleh memimpin rakyat dan
memajukan negara.
Beliau turut ditanya mengenai desas-desus kononnya Najib menemui
Yang di-Pertuan Agong bagi mendapatkan perkenan pembubaran Parlimen.
“Ada yang cakap (pembubaran) esok lusa. Itu semua spekulasi. Apa yang
saya tahu PM ada kenduri kahwin di Johor Baharu dan akan menghadiri
graduation anaknya. Tapi apa-apa pun, kita sudah bersedia sepenuhnya
bila semboyan ditiupkan,” katanya.
Terdahulu beliau meluangkan masa dan beramah mesra dengan pempamer
dan peserta pameran dan berharap lebih ramai anak muda akan datang ke
karnival ini untuk mengetahui peluang pekerjaan selain mendekati dan
mengenali Umno serta sayap parti mereka.
Adnan turut gembira dengan sambutan yang diterima pada sambutan ulang
tahun kali ini apabila hampir 20,000 orang mengunjungi karnival kerjaya
selain hampir 100,000 orang memeriahkan segenap lapisan stadium pada
majlis perasmian semalam.
No comments:
Post a Comment