Terima Kasih kerana Follow GT-Puteri , anda semua adalah yang terbaik !

Saturday 19 May 2012

Dong Zong tarik diri: Politik dalam pendidikan cina?


Pergerakan pendidikan Cina Dong Zong atau Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia, sekali lagi membangkitkan kekecohan dengan pengumuman terbaharu pergerakan itu untuk menarik diri daripada jawatankuasa khas mengatasi kekurangan guru di sekolah rendah Cina.
  
Awal tahun ini, pergerakan itu telah menimbulkan kekecohan apabila mereka mengadakan bantahan mendakwa Kementerian Pelajaran tidak berusaha untuk mengatasi masalah kekurangan guru berkenaan.
  
Berikutan itu, satu jawatankuasa khas ditubuhkan atas arahan Kabinet membabitkan pihak berkepentingan termasuk Dong Zong untuk mengadakan mesyuarat meja bulat yang memutuskan pelan lapan perkara untuk menyelesaikan isu itu.
  
Dong Zong turut mengadakan perhimpunan bantahan di Kolej Era di Kajang, Selangor pada 25 Mac tetapi kemudian memutuskan untuk menyertai perbincangan meja bulat dengan pihak berkepentingan lain dan Kementerian Pelajaran.  
  
Tetapi, dua minggu lepas, ia sekali lagi mengumumkan untuk menarik diri daripada mesyuarat meja bulat itu walaupun empat badan lain - Jiao Zong  (Persatuan Gabungan Guru Sekolah Cina Malaysia), Hua Zong (Persekutuan Persatuan Cina Malaysia), (NUTP) Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan dan Majlis Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina meneruskan untuk menyertai perbincangan itu.
 
Alasan yang diberikan untuk menarik diri ialah Dong Zong mahu membincangkan perubahan dasar pendidikan semasa mesyuarat meja bulat tetapi Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Wee Ka Siong, yang mempengerusikan jawatankuasa khas itu, berkata isu berkaitan dasar boleh dibincangkan semasa Dialog Pendidikan Nasional.
  
Pihak berkepentingan lain berpendapat Dong Zong tidak harus mengambil tindakan itu memandangkan ia adalah antara pihak yang telah memperjuangkan kepada kerajaan untuk menangani masalah kekurangan itu. Mereka mahu Dong Zong terus menyertai jawatankuasa itu untuk memantau pelaksanaan pelan berkenaan.
  
Presiden Jiao Zong Ong Kow Yee secara terbuka berkata amat menyedihkan apabila Dong Zong terpaksa menarik diri daripada persidangan meja bulat kerana 'isu dasar', kerana beliau percaya mesyuarat meja bulat itu adalah penting dalam memastikan masalah yang dihadapi oleh SJKC (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina) dapat ditangani.
  
"Kita telah melihat kemajuan yang menggalakkan pada masa lepas dalam usaha kerajaan menyelesaikan masalah kekurangan guru di SJKC. Jadi kami fikir Dong Zong tidak harus menolak peluang yang ditawarkan dalam persidangan meja bulat," katanya.
  
Sebahagian pendidik berkata jawatankuasa khas yang ditubuhkan oleh Kementerian Pelajaran itu diputuskan oleh Kabinet dan telah merangka langkah yang sistematik untuk mengatasi masalah itu. Hasilnya pelan lapan perkara telah dipersetujui oleh kerajaan.

Pada 27 Mac, Kementerian Pelajaran telah mengeluarkan surat perlanjutan perkhidmatan guru-guru interim di SJKC, di mana guru besar boleh memilih guru-guru yang menepati kriteria dan pengarah Jabatan Pelajaran negeri boleh membuat pelantikan.  
  
Di bawah pelan lapan perkara itu, pengajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris di Tahap Satu di sekolah vernakular Cina Gred A dan B akan diajar oleh guru yang berkelayakan untuk mengajar Bahasa Cina sekurang-kurangnya di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
  
Manakala bagi sekolah-sekolah yang tidak ramai pelajar, pengajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris di Tahap Satu dan Dua akan diajar oleh guru yang mempunyai kelayakan Bahasa Cina sekurang-kurangnya peringkat SPM.
  
Kementerian Pelajaran juga telah merangka inisiatif jangka panjang untuk mengatasi masalah kekurangan guru di sekolah vernakular Cina. Antaranya mewujudkan Program Intervensi Tambah Opsyen atau PITO bagi guru-guru yang tidak mempunyai opsyen Bahasa Malaysia atau Inggeris dan telah mengajar bahasa itu selain daripada Bahasa Cina lebih lima tahun. 
  
Kursus ini dijangka bermula hujung tahun ini supaya tidak menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
  
Selain itu, bilangan pensyarah Pengajian Cina juga akan ditingkatkan di institut latihan perguruan di seluruh Malaysia.  
  
Disebalik semua usaha ini, Dong Zong masih mahu menarik diri dan ini menimbulkan persoalan sama ada ia adalah langkah taktikal untuk memberi tekanan kepada kerajaan sejak ia dilihat bersepakat dengan parti pembangkang.   
  
Justeru, adalah tidak mengejutkan lembaga di 13 sekolah rendah Cina di Johor Baharu kini mendesak Dong Zong untuk kembali menyertai meja bulat atau berhenti daripada pergerakan itu.
  
Penganalisis politik di Universiti Monash Sunway Dr James Chin berkata tindakan Dong Zong menarik diri jelas adalah langkah politik kerana pergerakan itu mahu mengenakan tekanan terhadap kerajaan untuk mengiktiraf peperiksaan UEC, yang mana diiktiraf oleh universiti luar negara, memandangkan pilihan raya umum tidak lama lagi.
  
"Mereka beranggapan dengan meletakkan tekanan terhadap kerajaan dan dengan membuat bising, kerajaan akan tunduk," katanya dan menambah keputusan untuk menarik diri juga dibuat berdasarkan pucuk pimpinan Dong Zong sekarang harus mendapat mandat baru pada pemilihan pergerakan itu.
  
"Oleh itu, pemimpin mereka cuba menjadi wira untuk mengukuhkan kedudukan berbanding pesaing mereka dalam pergerakan itu," katanya.
  
Bagaimanapun, Pengerusi Pendidikan dan Biro Pengetahuan Sosial Gerakan Lau Chin Hoon berkata Dong Zong harus memilih platform lain untuk bercakap perkara berkaitan dasar manakala mesyuarat meja bulat itu untuk mengatasi masalah teknikal berhubung isu kekurangan guru di SJKC.
  
"Saya lihat kedua-dua pihak tidak membentangkan fakta dan angka. Mereka harus menyediakan data untuk meyakinkan satu sama lain. Meja bulat untuk isu teknikal, anda mesti mempunyai data untuk membincangkannya," kata Lau.
  
Berdasarkan situasi sekarang, Lau berkata ia tidak memberi apa-apa makna untuk mendesak Dong Zong kembali semula ke meja bulat kerana mekanisme paling berkesan untuk menyelesaikan isu itu ialah dengan mengadakan meja bulat lain untuk berbincang perkara berhubung dasar selain meja bulat sekarang untuk membincangkan mengenai isu teknikal. - Bernama

No comments:

Post a Comment