Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar akan bertanding
mempertahankan kerusi Lembah Pantai jika diberi peluang oleh partinya,
sekali gus menafikan desas-desus mahu beralih ke bahagian Permatang
Pauh.
Wakil rakyat penggal pertama ini menyerahkan kepada pucuk kepimpinan
untuk membuat keputuan muktamad tentang kerusi yang harus ditandinginya.
Nurul Izzah berkata, beliau bertanding di Lembah Pantai empat tahun
lalu atas keputusan parti, dan dengan itu, "akan akur kepada sebarang
keputusan parti" kali ini.
Bagaimanapun katanya, oleh kerana pengundi Lembah Pantai telah
memberikannya kepercayaan pada 2008, beliau mahu meneruskan sumbangan
kepada Lembah Pantai dan kekal bertanding di bahagian itu, salah satu
kerusi dimenangani PKR dan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum lalu.
"Saya akan mempertahan kerusi Lembah Pantai, ya, saya sudah membuat
persiapan untuk bertanding di Lembah Pantai, tetapi apa pun saya
serahkan kepada parti untuk menentukan, Permatang Pauh (Datuk Seri Anwar
Ibrahim) pun begitu... kami semua hanya askar, akan ikut arahan parti,"
kata beliau kepada Sinar Harian Online.
Pada Pilihan Raya Umum ke-12, Nurul Izzah, anak perempuan Anwar, menewaskan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Anwar, Ketua Pembangkang dan Ketua Umum Pakatan Rakyat, tidak turun
gelanggang PRU12 tetapi memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh pada
pilihan raya kecil yang diadakan Ogos 2008 selepas dikosongkan oleh
isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail.
Permatang Pauh yang dikategorikan sebagai antara kerusi yang selamat buat PKR disebut-sebut akan ditandingi oleh Nurul Izzah.
Nurul Izzah berkata, beliau sudah bersedia untuk bertanding di Lembah
Pantai, yang dilihat sebagai antara bahagian 'panas' pada PRU13, yang
disebut-sebut akan diadakan dalam waktu terdekat, walaupun berhadapan
dengan pelbagai rintangan dan halangan.
Salah satu rintangan yang dimaksudkan beliau ialah daftar pemilih yang diragui.
No comments:
Post a Comment