Desas desus persetujuan ramai
pimpinan UMNO negeri mahu menobatkan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai
calon Menteri Besar semakin kencang tersebar ke hampir seluruh pelusuk
negeri Serambi Mekah. Perkhabaran yang amat dialu-alukan ramai itu
dianggap satu lonjakan besar untuk merealisasikan hasrat menawan
kembali Kelantan dari tangan PAS.
Tinggal lagi sekarang hanya menanti
buah butir persetujuan dari mulut Ku Li sendiri untuk mengesahkan
kesediaan beliau memikul tanggungjawab tersebut yang tentu saja akan
disambut gembira oleh segenap lapisan anak Kelantan di dalam negeri
mahupun yang berada di perantauan.
Rata-rata pimpinan UMNO tempatan
percaya dengan ketokohan dan pengalaman yang dimiliki Ku Li
diyakini mampu memperbetulkan semula hala tuju negeri untuk kembali ke
landasan yang betul setelah 22 tahun tersasar dari arus perdana
disebabkan dasar pemerintahan PAS yang lebih banyak mengutamakan politik
kepartian berbanding jasa bakti untuk kemakmuran negeri dan rakyat.
Pun begitu, khabar tersebut
menjemput kerisauan pimpinan PAS negeri apabila ada sesetengahnya cuba
meremehkan pengaruh Ku Li dengan menggambarkannya sebagai tidak lagi
sekental dulu. Mereka menjadikan kegagalan Ku Li memimpin UMNO pada
tahun 1999 sebagai ubat penenang bagi menutup kerisauan yang mula
berputik.
Umum mengetahui dalam PRU ke 10
tahun 1999, PAS hanya bernasib baik untuk kekal mentadbir Kelantan
disebabkan keadaan tika itu ramai kalangan orang Melayu terperangkap
dan terkeliru dengan peristiwa pemecatan Anwar Ibrahim sebagai
Timbalan Perdana Menteri telah membolehkan PAS meraih bonus
sokongan.
Malah pandangan sesetengah pemerhati
politik yang mendakwa UMNO hanya layak berangan untuk menawan kembali
Kelantan selagi Nik Aziz mengetuai PAS memerintah negeri
sebenarnya hanyalah satu teori atau hipotesis politik yang tidak berpaut
pada fakta dan angka. Realiti hari ini menunjukkan sokongan rakyat
semakin condong bersama UMNO khususnya dari kalangan pengundi
generasi muda jelas meningkat dengan ketara.
Pilihanraya kecil Manek Urai dan
Galas sebelum ini menjadi bukti nyata yang akan kekal dalam lipatan
sejarah politik Kelantan sebagai perintis jalan ke arah memacu
kebangkitan Gelombang Merah. Ditambah dengan faktor Ku Li sebagai calon
MB, peluang untuk UMNO dalam pilihanraya akan datang pasti
menjadi kenyataan.
Hakikatnya masih ramai pemimpin PAS
tidak dapat menolak kenyataan bahawa Ku Li tetap satu ancaman
serius yang mampu mengakibatkan mudarat terhadap penguasaan PAS di
negeri yang terkenal dengan jolokan Serambi Mekah itu tambahan lagi
disaat pengaruh Nik Aziz yang semakin surut dan hanya berlegar sekitar
penyokong & ahli PAS sahaja.
Sejarah membuktikan kejatuhan
Kelantan ke tangan PAS pada tahun 1990 bertitik tolak dari kebangkitan
& keyakinan teguh rakyat menyokong kepimpinan Ku Li maka tidak mustahil
PRU ke 13 ini faktor Ku Li sebagai Menteri Besar pula yang akan
menjadi penutup tirai kekuasaan PAS di Kelantan.
No comments:
Post a Comment