Penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa
Malaysia akan tetap berjalan, walaupun ada kerajaan negeri tidak mahu
menyerahkan tanah mereka yang kini diusahakan oleh Felda.
Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad berkata, keadaan itu tidak akan
menjejaskan usaha penyenaraian tersebut kerana jumlah tanah yang
dimiliki mereka adalah kecil berbanding tanah-tanah yang dimiliki Felda
di negeri-negeri lain.
"Felda mempunyai tanah yang dibangunkan Felda Plantations Sdn Bhd
(FPSB) di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang, bagi saya soal sama
ada mereka (kerajaan negeri pembangkang) ingin menyertai atau tidak
(penyenaraian FGVH) itu terpulang kepada mereka.
"Ia tidak menghalang proses kita untuk pergi ke pasaran saham kerana
semua kerja-kerja untuk penyenaraian itu telah kita buat dan saya tidak
nampak ada apa-apa halangan dari negeri-negeri yang tidak mahu
menyertai penyenaraian ini," katanya kepada Bernama, selepas merasmikan
Kompleks Sukan Gugusan Felda Jelai, di Felda Jelai 2, di sini hari ini.
Sebelum ini kerajaan negeri Kelantan melalui Exconya Datuk Husam Musa
menyatakan bahawa negeri itu tidak akan menyerahkan tanah di Kelantan
yang kini diusahakan oleh Felda untuk disenaraikan di Bursa Malaysia.
Husam berkata, kerajaan negeri mengambil langkah itu kerana berpendapat
penyenaraian FGVH lebih bermotifkan politik demi kepentingan parti
Barisan Nasional.
Selain di Kelantan, Felda melalui FPSB memiliki tanah di Selangor dan Kedah yang turut dikuasai pembangkang.
Terdahulu, Mohd Isa dalam ucapannya semasa merasmikan program Sihat
Felda berkata, FGVH akan tetap menjadi syarikat milik bumiputera
walaupun disenaraikan di Bursa Malaysia.
Katanya, walaupun saham-saham FGVH akan diniaga dan akan dimiliki oleh
pelbagai pihak, Felda akan memastinya sekurang-kurangnya 50.1 peratus
daripada saham-saham tersebut dimiliki oleh individu dan syarikat
Bumiputera.
"Ada orang cakap kalau disenaraikan dan saham-saham Felda akan
diniagakan, siapa-siapa pun boleh beli. Tapi kita janji bahawa Felda
akan tetap menjadi syarikat milik bumiputera untuk selama-lamanya,"
katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment