Ahli Parlimen Lipis, Datuk Dr Mohamad Shahrum Osman kecewa dengan sikap Ahli-ahli Parlimen dari pakatan pembangkang yang sengaja menimbulkan kekecohan ketika Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman menjawab soalan Datuk Juslie Ajirol (BN-Libaran) yang mahu tahu sumbangan yang telah diusahakan kerajaan Malaysia terhadap Palestin selama ini, pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
“Apa yang mendukacitakan kita ialah pihak pembangkang terutamanya ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar langsung tidak mahu mendengar jawapan yang diberikan itu dan bertindak menganggu persidangan supaya jawapan-jawapan itu tidak didengari dan menggunakan peraturan Dewan bagi menghalang YB Menteri tidak dapat menjawab.
“Bagi saya, ini satu tindakan yang biadap. Dari sini dapat dilihat bahawa apa yang diterbitkan Wall Street Journal (WSJ) memang jelas, bahawa pihak Ketua Pembangkang (Anwar Ibrahim)memang menyokong Israel,” ujarnya kepada UMNO-Online di Parlimen hari ini.
Tambahnya, kenyataan Anwar Ibrahim ini sangat berbeza dengan pendirian Malaysia yang tidak pernah menjalin hubungan diplomatik dengan Israel dan dasar itu jelas serta tidak berubah sejak dulu dan Malaysia juga secara konsisten menyatakan kebimbangan serta mengutuk serangan dan pencerobohan Israel di wilayah yang diduduki rakyat Palestin, selain penempatan haram mereka di Tebing Barat.
“Apa yang jelas, sepatutnya Ketua Pembangkang juga menyokong Palestin yang tertindas, dan bukannya orang yang menindas, jadi untuk menjaga keselamatan orang yang menindas ini adalah sesuatu yang pelik. Ini mungkin ada agenda lain, di mana mungkin pihak Israel atau pihak Yahudi memberi bantuan kewangan dan sebagainya kepada beliau dan sebab itu beliau tidak ada pilihan, kalau dulu beliau seorang yang lantang menyokong Palestin tapi kini berubah menyokong Israel pula,” tambahnya.
Sehubungan itu, beliau meminta rakyat perlu menolak pemimpin-pemimpin pembangkang kerana kita mahu membina negara dengan lebih cemerlang, dan membela rakyat yang tertindas, bukannya bersama kumpulan yang bersekongkol dengan penindas untuk menganiaya rakyat Palestin dan mungkin juga rakyat di negara sendiri.
“Sebab itulah kalau kita tengok, apa sahaja yang dibuat oleh YAB Perdana Menteri melalui bantuan-bantuan terus kepada rakyat pada Bajet 2012 yang lalu, mereka tak sokong sebenarnya kerana bantuan-bantuan ini diberikan kepada mereka yang miskin. Mereka tidak mahu menyokong kerana pihak ini mahu menyokong orang yang menindas,” tambahnya.
Terdahulu, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman ketika menjawab soalan Datuk Juslie Ajirol (BN-Libaran) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pagi tadi, menegaskan bahawa Malaysia sebagai negara yang prihatin dan bersimpati terhadap nasib malang Palestin, dan akan terus memberi sokongan dari segi sosial, politik dan ekonomi kepada Palestin. Ini termasuk bantuan kewangan dan kemanusiaan menerusi bantuan pembangunan semula di Gaza dan Tebing Barat. Malaysia juga memberi latihan kepada Palestin di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) serta bantuan yang dihulur oleh badan-badan bukan kerajaan. – MediaUMNO
No comments:
Post a Comment