Terima Kasih kerana Follow GT-Puteri , anda semua adalah yang terbaik !

Wednesday, 14 December 2011

Hudud Cuma Untuk Retorik, Bukan Untuk Manifesto

Pas hanya akan menjadikan hukum hudud sebagai bicara retorika bagi mencantikkan bahasa dan menyedapkan telinga rakyat melalui siri ceramah mereka sahaja tetapi tidak akan berani untuk memasukkannya dalm mana-mana manifesto atau dalam bentuk tulisan, kata penganalisis politik tempatan Prof. Datuk Dr Abdul Halim Sidek.

Katanya, jika sebelum ini idealogi Pas adalah untuk menubuhkan negara Islam maka tentunya laungan hukum hudud untuk dilaksanakan adalah amat tepat dengan pandangan bahawa ia adalah berkonsepkan sebuah kerajaan Islam namun demikian apabila idealoginya bertukar kepada negara berkebajikan maka hukum hudud sudah dilihat tidak relevan.

“Berapa kali pilihan raya yang telah dilalui oleh Pas tetapi hal berkaitan hudud tidak pernah disebutkan dalam manifesto mereka apatah lagi sekarang ini setelah mereka mengadakan pakatan dengan DAP dan PKR maka tentunya hal mengenai hukum hudud tidak akan disebutkan.

“Barangkali ini kerana Nik Aziz terpaksa akur dan tunduk kepada Karpal Singh yang terang-terangan tidak mahu negara Islam dan hukum hudud dilaksanakan; dan sebab itulah juga Pas mengubah konsep negara Islam kepada negara kebajikan kerana mahu disesuaikan dengan DAP dan PKR yang enggan konsep sedemikian dibuat,” katanya kepada UMNO-Online.


Terang beliau lagi, hukum hudud yang digembar-gemburkan Pas sebelum ini tidak akan dilaksanakan kerana ia hanyalah berbentuk ucapan semata-mata untuk menarik perhatian orang Islam agar cenderung mengundi mereka.

“Kita dapat lihat bahawa sekarang ini Pas seakan terjerat dalam perangkap yang dibuatnya sendiri. Nak teruskan dengan hukum hudud tak boleh kerana mereka terpaksa menjaga hati sekutu dalam pakatan pembangkang tapi nak tarik balik pun tak boleh sebab nanti undi Melayu tak dapat dan ditambah pula akan malu dengan apa yang dah dinyatakan.

“Nak sedapkan hati semua pihak maka isu berkaitan pelaksanaan hukum hudud didiamkan begitu saja tanpa ada sebarang ketetapan dengan harapan tidak ada mana-mana pihak akan mengungkitnya lagi sedangkan mereka seakan lupa apa yang pernah disuarakan dulu,” katanya lagi.

Tegas beliau yang juga pensyarah di Fakulti Undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengatakan bahawa sekiranya Pas benar-benar ikhlas mahu melaksanakan hukum hudud mengapa harus bertangguh sekian lama walhal mereka telah mentadbir Kelantan lebih dari 20 tahun.

“Bukankah undang-undang berkaitan agama Islam tertakluk di bawah undang-undang negeri maka tentunya kerajaan Pas di Kelantan sudah mempunyai satu peruntukan khas atau enakmen berkaitan hukum hudud yang dilaksanakan sebagai bukti kepada apa yang dinyatakan.

“Dalam Pas sendiri ramai pakar undang-undang yang tentunya arif dalam menggubal perundangan berkaitan hukum Islam , justeru kenapa tidak dilaksanakan enakmen syariah hudud misalnya atau apa saja nama lain tetapi jangankan di Kelantan malah di Kedah yang juga bermenteribesarkan orang Pas gagal membuat sebarang pembaharuan berkaitan perundangan Islam.”

Tegas beliau lagi, parti Pas seharusnya mempunyai satu bukti yang dapat dijadikan contoh bagi memperkukuhkan hujah-hujah mereka dalam hal-hal berkaitan hukum-hukum Islam termasuklah hudud yang menjadi antara topik utama mereka dalam setiap sesi ceramah.

“Mereka ini adalah antara golongan yang ekstrem dalam usaha kononnya untuk menegakkan hukum Islam sedangkan selama mana mereka menjadi kerajaan di Kelantan dan kemudiannya di Kedah, apakah sumbangan pihak parti yang menggunakan Islam ini?

“Apakah bentuk kejayaan yang diberikan kepada orang Islam atau masyarakat tempatan yang mahu dibanggakan atas nama pentadbiran berkonsepkan Islam sedangkan rekod yang ada menunjukkan bahawa kerajaan Pas Kedah sekarang dilihat semakin mundur sebagaimana buruknya pentadbiran Pas di Kelantan.

“Apakah pembaharuan-pembaharuan yang dilakukan oleh pemimpin parti terbabit sedangkan selama ini mereka hanya meneruskan pentadbiran yang telah lama dirintis oleh para pemimpin dari Barisan Nasional (BN) sebelumnya.”

Ujar beliau lagi, tentunya BN bukan mahu memburukkan mana-mana pihak atau menuding jari atas apa yang telah berlaku tetapi sikap Pas sendiri yang tidak pernah sedar diri adalah amat keterlaluan.

“Sewajarnya mereka lakukan penambahbaikan apabila diberi mandat untuk berkerajaan dan bukannnya terus-terusan membuat tuduhan tetapi terus-terusan gagal melaksanakan apa yang diamanahkan. Kita bercakap berlandaskan bukti dan realiti daripada pentadbiran mereka sepanjang lebih 20 tahun di Kelantan dan hampir satu penggal di Kedah.”

No comments:

Post a Comment