Terima Kasih kerana Follow GT-Puteri , anda semua adalah yang terbaik !

Friday, 25 May 2012

Berapa Kerajaan PR Jimat Hasil Dari Tender Terbuka?




MASIH lagi berkenaan dengan Debat PTPTN antara Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin dan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli kelmarin.  Isunya berhubung dengan ‘angan-angan’ Rafizi bahawa Pakatan Rakyat mampu menjimatkan wang rakyat sebanyak RM 30 biliion dengan menawarkan sistem tender terbuka.

Ketepikanlah dulu dari mana Rafizi dapat angka-angka itu semua, sebab kita yakin dengan Rafizi sendiri berada di luar kerajaan, dia hanya cipta angka itu dalam kepala otaknya dan keluarkan semasa sesi debat sedang berlangsung.  Maklumlah, siapa pula yang nak menentukan kesahihan kenyataan Rafizi itu ye tak, siaran langsung lah katakan.

Ketepikanlah juga kos pendidikan percuma dan penghapusan ini akan mencapai sebanyak RM 150 billion.  Penulis bukan akauntan bertauliah seperti Rafizi tapi rasanya penulis tahu RM 30 billion yang ‘dijimatkan’ Pakatan Rakyat itu jauh lebih kurang untuk menampung kos pendidikan percuma dan penghapusan PTPTN yang dijanjikan Pakatan Rakyat.

Itu baru bercakap satu janji, belum lagi janji-janji lain seperti penghapusan tol, harga minyak yang rendah sampai kiamat dan lain-lain yang penulis segan nak sebutkan disini – takut tak masuk akal.

Yang penulis nak persoalkan ini ialah sejauh mana penjimatan dari proses tender terbuka ini benar-benar mampu menjimatkan wang rakyat sebanyak yang didakwa Rafizi.  Kita bermula di negeri-negeri yang diperintah Pakatan Rakyat sekarang seperti Kedah, Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor.  Berapa sudah dijimatkan dari proses tender terbuka di negeri-negeri tersebut dan apa kelebihannya kepada rakyat jika dibanding dengan pemerintahan BN sebelumnya?

Rafizi perlu tunjukkan angka-angka ini untuk menyokong ‘fakta’ yang disebutkannya dalam debat tersebut.  Kalau tak dapat semasa sesi debat, boleh dibentangkan sekarang.  Bukannya cakap banyak tentang benda-benda yang tidak berkaitan dengan cadangan Pakatan Rakyat untuk memberikan pendidikan percuma dan penghapusan PTPTN.

Contohnya, apa kaitan kes NFC serta Tajudin Ramli dengan PTPTN dan pendidikan percuma?  Begitu juga apa kaitan Datuk Seri Shahrizat dengan pinjaman NFC yang diuruskan suaminya?  Shahrizat ada nama dalam syarikat itukah?

Tender terbuka ini kita tahulah, bukan semata-mata bergantung kepada harga terendah, ada lebih banyak lagi faktor-faktor lain yang perlu diambil kira.  Kalau harga murah sangat pun tapi kualiti barang atau perkhidmatan yang dibekalkan, serendah harganya juga, rakyat tetap tidak akan berpuas hati.

Sedangkan itulah yang penting, perkhidmatan kepada rakyat. 

Mungkin kelebihan Rafizi ialah Pakatan Rakyat mempunyai barisan penyokong yang masuk resmi ‘kakak tua’, mengulang sahaja apa yang disebut pemimpin mereka tanpa guna otak untuk berfikir.  Dan memang itupun yang diinginkan Anwar, Hadi dan Kit Siang.  Kalau penyokong mereka boleh berfikir, tidaklah masing-masing bertahan sekian lama dalam politik walaupun tak sehebat mana.

Apa pun yang penting sekarang ialah masanya untuk Rafizi mendedahkan segala bukti bagi menyokong semua dakwaan air liurnya itu.  Bermula dengan penjimatan dari proses tender terbuka di Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang.  Bukan susah sangat mendapatkan data-data tersebut dari kerajaan negeri yang disebutkan di atas, semudah memetik jari saja.  Apatah lagi yang minta Rafizi, budak muda kegemaran Anwar, tak cukup tanganlah kakitangan berkenaan menyiapkannya.

Kemudian bentangkan kepada rakyat untuk kita menilai kebenaran disebalik dakwaan yang dibuat.

Kalau itupun Rafizi tak boleh nak kemukakan, apa barang mau cerita RM 30 billion penjimatan wang kerajaan pusat yang dia sendiri pun tak tahu hujung pangkalnya.

Najib Pilihan Utama Rakyat




Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz yang secara terbuka menyokong program transformasi Perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak seperti yang disiarkan oleh kebanyakkan media massa nyata mengundang perasaan kurang selesa dari kem pakatan pembangkang.

Menurut Tunku Aziz, "apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri sekarang ini adalah betul dan tepat, kita perlu memberikan sokongan kepadanya". Satu kenyataan yang ringkas dan padat namun ianya pedas untuk diterima oleh pemimpin dan penyokong pembangkang.

Sebelum ini, Tunku Aziz juga pernah mencetuskan kemarahan ramai pemimpin pembangkang terutama dari DAP apabila mengecam perhimpunan Bersih 3.0 yang disifatkannya sebagai tindakan yang sengaja mahu mencabar undang-undang dan sukar untuk berlangsung dengan aman.

Tidak sedikit respon negatif diterima dari kalangan penyokong tegar pembangkang yang mengganyang kenyataan Tunku Aziz itu. Rata-ratanya menyifatkan Tunku Aziz sebagai pengkhianat dan tidak berpendirian teguh.

Pun begitu, respon negatif pembangkang tidak sukar dimengertikan kerana hampir kebanyakkan penyokong pembangkang memahami peranan sebagai pembangkang hanyalah dalam konteks sentiasa bangkang apa saja tanpa mengira baik atau buruk sesuatu perkara.

Namun telahan Tunku Aziz terbukti betul apabila di saat-saat akhir perhimpunan Bersih 3.0 telah berlaku perlanggaran undang-undang setelah peserta-peserta di barisan depan yang diketuai oleh Unit Amal PAS dan beberapa kelompok lain terlibat secara langsung menceroboh masuk ke Dataran Merdeka sehingga memaksa FRU bertindakbalas menyuraikan mereka.

Dalam hal sokongan Tunku Aziz menyanjung agenda transformasi yang diterajui oleh Najib sebenarnya menunjukkan kematangannya sebagai pembangkang yang rasional dan bukannya dari jenis bangkang dari longkang.

Perbezaan nyata seorang yang rasional dan berakal berbanding dengan golongan bangkang dari longkang. Sokongan beliau adalah satu pengiktirafan atas usaha penat lelah PM menerajui kerajaan dan ia tentu saja memberi makna besar kepada kerajaan BN.

Dari satu sudut, kenyataan Tunku Aziz juga merupakan satu manifestasi betapa urus tadbir kerajaan BN sudah berada di landasan yang betul untuk memacu pembangunan dan kemajuan negara selain tanda aras penting yang membuktikan kemampuan Najib sebagai pemimpin negara.

Jika kita fahami secara tersirat kenyataan Tunku Aziz itu, mungkin bertepatan kalau kita tafsirkannya sebagai pengiktirafan rasmi dari beliau terhadap kemampuan Najib untuk terus memimpin negara selain menepati kriteria sebagai pilihan utama rakyat berbanding pemimpin politik berjiwa retorik seperti Anwar Ibrahim.

Apa Motif Fauzi Shaari Menyertai PAS?




DALAM keadaan sekarang, di mana imej pasukan polis dimata penyokong Pakatan Rakyat berada di tahap terendah, sudah tentu ramai yang terkejut dengan tindakan bekas Pengarah Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari menyertai salah satu parti komponen dalam Pakatan Rakyat, iaitu PAS. 

Ini bukan kita persoalkan kebebasannya yang dibenar dibawah amalan demokrasi untuk menyertai mana-mana parti politik.  Itu adalah haknya sebagai individu yang telah bersara dari pasukan polis.

Nak masuk parti mana pun kita peduli apa, tapi janganlah bagi kenyataan kononnya kemasukannya ke dalam PAS setelah yakin yang dirinya tidak terlibat dalam sebarang kegiatan jenayah.  Apakah dia bermaksud semua pegawai polis yang masih berkhidmat dan telah bersara tapi tidak menyertai PAS, terlibat dengan kegiatan jenayah?

Itu satu hal.  Satu hal yang lain ialah, bagaimana cepat Fauzi melupakan segala sumpah seranah yang pernah dilemparkan PAS terhadap pasukan polis yang pernah disertainya dulu, terutama yang membabitkan tindakan polis mematahkan tunjuk perasaan dan jenayah lain yang dilakukan mereka sejak 1998? 

Malah kalau nak dilihat lebih jauh ke belakang, iaitu pada 1985 dimana berlakunya kejadian Memali yang menyaksikan penyokong PAS diketuai Ibrahim Libya, menyerang dan membunuh 4 orang anggota polis sebelum dia dan 13 pengikutnya yang lain dibunuh kerana tindakan tersebut, nescaya tidak ada alasan kenapa Fauzi perlu menyertai PAS.

Sebabnya, kejadian Memali menunjukkan bahawa kebencian PAS terhadap polis bukan setakat terhad kepada kata-kata nista dan kecaman, tapi lebih dari itu juga.

Lupakah Fauzi bahawa dalam kejadian itu semua ahli PAS yang mati, dikebumikan tanpa dimandi, dikafan dan disembahyangkan kerana didakwa mati syahid?  Syahid kerana mereka mati dibunuh oleh pasukan polis yang dituduh  kafir ketika itu?  Kalau Fauzi masih kurang yakin, tanyalah Hadi yang mengeluarkan fatwa tersebut.  Ironinya, Hadi juga yang hari ini menerima borang keahlian Fauzi – bekas pegawai kanan polis.

Dunia, dunia.

Secara rasminya, Fauzi baru 3 hari menjadi ahli PAS, boleh dikatakan sumbangannya terhadap parti itu masih belum ada lagi.  Tapi satu yang pasti, ‘sumbangan’ PAS terhadap Fauzi semasa mengecam dalam banyak kes-kes jenayah yang melibatkan PAS, terlalu banyak untuk dijelaskan dalam ruang yang agak terhad ini.

Dengan kekuatan pasukan polis ini diukur dari segi intergriti dan maruah, tindakan Fauzi ini tidak boleh diterima sama sekali - walaupun Fauzi memberikan alasan mahu menerangkan kepada penyokong PAS mengenai jasa dan sumbangan polis yang mungkin tidak diketahui penyokong parti tersebut (HarakahDaily, 20 Mei 2012).

Setakat yang penulis lihat, persepsi penyokong PAS terhadap polis selepas penyertaan Fauzi masih sama, tidak ada apa yang berubah.  Majoriti dari yang penulis temui, berasa ragu-ragu dengan tindakan Fauzi menyertai PAS.  Pada mereka, kalau dah sekali jadi ‘anjing kerajaan’ (polis), selamanya jugalah akan jadi ‘anjing kerajaan’ juga.  Kelihatannya mereka ini tidak berkongsi perasaan yang sama dengan kepimpinan tinggi PAS yang bangga menerima kemasukan ‘anjing’ ini ke dalam parti mereka.

Itu menjadikan kenyataan Fauzi kononnya untuk membetulkan pandangan ahli PAS terhadap pasukan polis adalah satu kenyataan yang mengarut.  Bukan penyokong PAS tak tahu yang polis hanya menjalankan tugas seperti yang dibenarkan dibawah undang-undang, mereka tahu, tapi semua penghinaan itu masih dilemparkan kerana mereka tidak berpuas hati niat mereka untuk membuat kacau digagalkan oleh polis.

Sepatutnya sebagai bekas pegawai tinggi polis, Fauzi perlu mempertahankan tindakan polis dan mengecam pihak yang melanggar undang-undang.  Ini tidak, Fauzi memilih untuk bersekongkol pula dengan mereka.

Kalau nak menambah ilmu agama dan sebagainya, ada lebih banyak badan-badan yang berkecuali seperti Perkim, YADIM atau JAKIM.  Kenapa PAS juga yang dicari?  PAS tidak langsung berkaitan dengan agama, kecuali dari sudut pakaian dan perkataan yang ada arab-arab sikit. 

PAS adalah sebuah parti politik yang ditubuhkan untuk menang pilihanraya dan menubuhkan kerajaan, tidak ada yang berkurang dari itu.  Malah dalam menjayakan cita-cita politiknya, PAS sanggup mengorbankan Islam seperti ketika menggugurkan negara Islam dari perjuangan PAS dan cadangan menggantikan Islam dalam perlembagaan kepada Addin.

Justeru penulis yakin, kemasukan Fauzi ke dalam PAS adalah untuk mencari peluang dicalonkan dalam pilihanraya, itu sahaja motifnya.  Walaupun dia menafikan, itu bukan suatu yang mengejutkan.  PAS dan munafik adalah pasangan kembar siam yang tidak boleh dipisahkan malah antara syarat utama untuk menjadi ahli parti tersebut (tidak terkecuali Fauzi) – kalau boleh dikatakan begitu.

Kalah Kes Liwat, Adakah Yusof Bersekongkol Dengan Anwar?




BUKAN sedikit mata yang terbeliak di hari perbicaraan Anwar dalam isu Bersih pagi tadi.  Semuanya gara-gara melihat peguam yang mewakili Anwar, Datuk Mohd Yusof Zainal Abidin, bekas peguam cara II negara, yang juga mengetuai barisan pendakwaan kes liwat Anwar dan Saiful Bukhari.  Ia seolah-olah melihat Mahathir berpegang tangan dengan Anwar, sehari selepas memecatnya dari jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 1998.

Yusof dengan rasmi melepaskan jawatan sebagai Peguam Cara II Negara, beberapa hari sebelum Anwar dibebaskan dari tuduhan meliwat Saiful Bukhari oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari 2012.

Sementara ramai yang beranggapan, Anwar menang kes tersebut kerana Hakim terkhilaf dalam penghakimannya, tindakan Yusof kini menimbulkan kesangsian sama ada ketua pendakwaan sendiri pun ada memainkan peranan juga dalam pembebasannya.

Bagaimana dan berapa besar peranan yang dimainkan Yusof, penulis tidak pasti, tapi penulis yakin ada dan semua ini menuntut Yusof tampil memberikan penjelasan apa sebenarnya yang berlaku.  Lagipun kita sedang cakap Yusof sebagai peguambela sekarang, bukan Yusof sebagai peguam cara, dan kebetulan golongan peguam kini ada isu kredebiliti dan intergriti yang serius

Sekarang fahamlah kita kenapa kes Anwar ini tertangguh sekian lama tanpa dicabar pasukan Pendakwaan.  Fahamlah kita kenapa banyak kesilapan-kesilapan bodoh dari pihak pendakwaan dibuat dalam kes ini antaranya kegagalan mendesak Anwar mengemukakan saksi alibi yang nama-nama mereka dikemukakan kepada Mahkamah oleh Karpal Singh sebaik Anwar diarah untuk membela diri.

Begitu juga dengan tindakan menamakan Timbalan Pendakwa Raya Farah Azlina Latif sebagai sebagai sebahagian dari pasukan pendakwaan walaupun tahu beliau ada ‘isu’ dengan Saiful Bukhari.  Soal kebenaran disebalik ‘isu’ yang dibangkitkan itu tidak penting, yang penting kegagalan mengenal pasti masalah yang timbul telah menyebabkan kes tersebut hampir sahaja dibuang oleh Mahkamah.

Dan siapa yang patut bertanggungjawab dalam soal ini?  Penulis yakin Yusof, kerana sebagai ketua pendakwaan, dia yang bertanggungjawab memilih timbalan pendakwa raya mana yang layak untuk membantunya dalam mengendalikan kes tersebut. 

Penulis yakin, semua kegagalan ini memainkan peranan penting dalam mendorong Hakim membuat keputusan membebaskan Anwar dari kesalahan meliwat Saiful.

Yusof tidak perlu menjawab kepada media (apatah lagi yang pro pembangkang) seperti yang dilakukannya sebentar tadi.  Yusof perlu menjawab kepada rakyat kerana sepanjang dia berkhidmat di Jabatan Peguam Negara, wang rakyatlah yang membayar gajinya.

Ini bukan soal kecil, ini soal serius yang membabitkan intergriti pejabat Peguam Negara sebagai satu-satunya badan yang mempunyai keputusan penuh untuk meneruskan atau tidak sesuatu kes pendakwaan.  Begitu juga dengan menentukan sama ada rayuan akan dibuat ke peringkat Mahkamah yang lebih tinggi atau tidak.

Kita bimbang ada unsur-unsur rasuah dan penyalahgunaan kuasa terlibat.  Takkanlah semuanya terjadi secara kebetulan?  Kalau benar Yusof ‘dibeli’ semasa mengendalikan kes Anwar, perbicaraan semula perlu diadakan dengan barisan pendakwaan yang baru.

Silap-silap, Peguam Negara pun perlu letak jawatan.