Persepsi politik sudah berubah
SUDAH
lama RAJA PETRA KAMARUDIN tidak muncul dalam media arus perdana. Tetapi
begitupun namanya yang sering dikaitkan dengan reformasi dan Datuk Seri
Anwar Ibrahim, masih terus popular.
Tulisannya yang selalu kontroversi dalam portal berita miliknya, Malaysia Today masih mempunyai ramai pengikut. Walaupun kini tinggal dalam ‘buangan’ di Manchester, England tetapi Raja Petra masih dekat dengan Malaysia.
Banyak perkembangan politik di Malaysia diketahuinya. Malah dalam beberapa aspek beliau yang sudah tiga tahun keluar dari Malaysia merupakan pemainnya.
Dalam satu pertemuan eksklusif dengan wartawan Mingguan Malaysia, LUQMAN HAZIQ ABDULLAH dan jurugambar, RAJA JAAFAR ALI baru-baru ini, Raja Petra tetap sinikal kepada kerajaan dan pembangkang.
Penampilan Penggerak Gagasan Kebebasan Awam ini juga masih seperti dulu – seluar jeans, topi baretta dan baju T. Dalam wawancara itu, beliau menegaskan bahawa Anwar kini bukan lagi pilihan bagi Malaysia.
Lelaki berfikiran liberal ini juga secara berterus-terang tidak kisah dengan gerakan homoseksual tetapi yang penting adalah kredibiliti dan integriti individu itu terutama jika mahu diangkat menjadi pemimpin.Tidak ketinggalan beliau turut meramalkan pengundi yang menyokong pembangkang pada pilihan raya 2008, akan kembali kepada Barisan Nasional (BN).
Berikut adalah sedutan wawancara yang berlangsung di Singapura baru-baru ini.
MINGGUAN: Boleh ceritakan sedikit tentang Penggerak Gagasan Kebebasan Awam (MCLM)?
Raja Petra: Semasa kami wujudkan MCLM, ia diketuai oleh Datuk Zaid
Ibrahim, Marina Mahathir, Malik Imtiaz, Ivy Joseph – aktivis sosial. Ia
sebagai satu pergerakan bukan politik yang bertujuan untuk
memperkenalkan Civil Liberties Society. Ia amat kontroversi termasuk
perkara berkaitan agama, kebebasan seksualiti dan diskriminasi
masyarakat. Ia bertentangan dengan nilai-nilai agama, Islam dan juga
Kristian tetapi kami tekankan supaya ia diasingkan daripada agama. Kalau
mahu memberi fokus kepada politik dan agama, sudah tentu banyak perkara
dalam kebebasan awam tidak boleh dilayan.
Kami mahu bertindak sebagai gelombang ketiga. Tetapi persepsi
terhadap gelombang ketiga dianggap ingin mewujudkan pertandingan tiga
penjuru dalam pilihan raya. Jadi, MCLM dilihat sebagai ingin menggugat
peluang pembangkang untuk menubuhkan kerajaan. Kalau itu pun perjuangan
kami, apa yang ingin kami lakukan. Jadi apa masalahnya? Adakah kerusi
itu milik BN? Apabila Parlimen dibubarkan, sesiapa sahaja boleh
bertanding asalkan dia layak. Pakatan bantah. Jika kami ingin
bertanding, kami kena sertai parti mereka. Kami tak berminat untuk
bertanding dan tak minat untuk sertai parti anda!
Okey, anda ingin bahagikan kek kepada dua. BN dan Pakatan, anda tak
nak ada pihak ketiga terlibat. Tetapi tengok kualiti calon. Adakah anda
menyediakan calon yang baik? MCLM boleh mainkan peranan kecil dan kini
memberi fokus kepada program pendidikan kepada orang lain, seperti
kumpulan pendesak. Apa yang kami beritahu pengundi ialah pilih calon dan
lupakan tentang parti.
Sudah tentu pembangkang tidak suka dan saya juga yakin BN juga tidak
suka. Kalau begitu, kami tidak akan sokong parti. Pada 2008, pengundi
berdasarkan Asal Bukan UMNO (ABU). Mereka tak kisah sama ada monyet atau
keldai. Apa yang mereka tahu bukan UMNO.
Pada pilihan raya akan datang, kami beritahu Anwar, keadaan itu tidak
akan berlaku lagi. Tak ada ABU lagi. Ia menjurus kepada siapa yang
bertanding. Kalau tidak suka calon, saya tak kisah dia daripada parti
mana pun. BN menerima perkara ini dan mereka tahu. Kalau letak salah
calon, anda akan karam. Tetapi Pakatan masih berfikiran begitu, selagi
calon daripada Pas, DAP atau PKR, rakyat akan tutup mata dan pangkah
mereka.
Saya rasa semua gerakan kebebasan awam bukan sahaja MCLM perlu
diasingkan dan bersedia untuk kedua-dua pihak berhubung (engage). Kita
tidak boleh emosi atau sentimental berkenaan parti politik. Ia hanya
landasan dan kita perlukan landasan itu. Parti politik yang menawarkan
perubahan, kita akan bantu mereka. Jika rakyat nak katakan kita pro
pembangkang atau anti kerajaan, saya nak katakan, kita bukan macam itu.
Bukan pro pembangkang atau anti kerajaan. Kita sebagai penyokong
perubahan dan anti-bad governance.
Kalau saya tak sokong Anwar, sepatutnya saya sokong Najib. Tidak. Ia
tidak begitu. Falsafah seperti itu yang perlu kita pecahkan kerana kita
perlu asingkan pembangkang daripada Anwar. Saya boleh sokong pembangkang
tanpa menyokong Anwar. Ia bukan satu dosa dan bukan jenayah pun kalau
saya tak sokong Anwar.
Mereka akan kembali sokong kerajaan
Sejauh mana Najib akan mampu melakukan reformasinya. Saya tak tahu.
Adakah perubahan ini akan berjaya. Saya juga tak tahu dan hanya masa
boleh menentukannya. Najib dilihat bercakap perkara yang tepat. Sebelum
ini pada 1999, 2004 mereka mengundi kerajaan tetapi pada 2008 mereka
undi pembangkang.
Saya beritahu anda, pada pilihan raya akan datang, mereka akan
kembali menyokong kerajaan. Sekarang saya bercakap dengan pengundi pada
2008 yang mengikut pembangkang. Mereka beritahu, pada pilihan raya akan
datang mereka tidak akan lagi mengundi pembangkang kerana mereka tidak
puas hati, kecewa dan tidak yakin dengan pembangkang. Perkara ini yang
berlaku. Kenapa saya harus risau dengan keadaan ini?
Pembangkang yang
harus risau dengan keadaan ini. Kenapa pembangkang begitu yakin untuk
menubuhkan kerajaan? Hanya kerana ABU, kerana tak mahu UMNO?
Anda nak beritahu saya nak tubuh kerajaan atas dasar default
(kegagalan). Sekali kerana orang benci UMNO, anda berkuasa? Jangan lupa
pada 1999, anda gunakan strategi sama , asal benci Mahathir, ketika itu
Barisan Alternatif. Tetapi apa yang berlaku pada 2004. Asal benci
Mahathir, apa akan jadi apabila Mahathir bersara dan serah kuasa kepada
Pak Lah.
Pada seminar di Melaka, kami bagi tahu bahawa jika anda guna strategi
sama, ia tak akan berjaya. Pada 2003, Mahathir serah kuasa kepada Pak
Lah dan enam bulan kemudian pilihan raya 2004. Keputusannya pembangkang
kalah teruk. Prestasi paling teruk dialami pembangkang. Sejarah itu
telah membuktikan. Sekarang kami beritahu lagi perkara sama.
Asal benci UMNO, Asal bukan UMNO… kalau masih guna strategi sama, apa
terjadi kalau rakyat tidak lagi membenci UMNO? Kita tidak boleh
menjalin hubungan dengan rakyat berdasarkan kebencian. Perkahwinan
berdasarkan kebencian tidak akan kekal lama. Asas kepada perkahwinan
yang kekal dan berpanjangan adalah berasaskan cinta. Kalau pengundi tak
cinta kepada kamu dan kalau mereka bersama kerana benci pihak yang satu
lagi dan apabila perasaan benci mereka sudah tiada, tiada ada apa-apa
lagi untuk kamu. Itu sahaja.
Ia asas yang rapuh. Pembangkang tidak mahu
mendengar.
Di Pulau Pinang mereka berbalah, DAP lawan DAP, di Perak DAP lawan
DAP, di Selangor PKR lawan PKR, Pas lawan Pas. Di Johor PKR lawan DAP,
mereka bukan berlawan dengan BN tetapi berlawan sesama sendiri. Anda
rasa pengundi akan suka dan cinta kepada kamu. Malah pengundi beritahu
saya bahawa mereka akan kembali kepada BN dan lupakan Pakatan.
Ahli perniagaan Cina di Selangor, mereka datang kepada saya. Mereka
membincangkannya dan kata mereka : “Awak tahu Pet, kami masih kena
bayar. Sebelum ini juga kami kena bayar di bawah meja semasa pentadbiran
lalu, sekarang pun kami masih kena bayar. Jadi apa bezanya?
Kata mereka kepada saya: “Dulu awak yang suruh kami sokong
pembangkang sedangkan sebelum ini kami sokong MCA dan BN. Sekarang saya
kena bayaran RM2 juta.” Mana saya hendak letak muka. Saya beritahu dia,
saya tak tahu apa nak kata. Katanya lagi, pilihan raya akan datang, saya
tak akan lagi undi Pakatan.
Semua kata mereka ini benar dan mereka ingin beri saya buktinya. Saya
tanya mereka, apa yang mereka hendak saya lakukan? Mereka beri saya
bukti itu dan saya siarkan di dalam Malaysia Today. Orang akan kata saya
Trojan Horse. Orang akan kata saya sudah kena beli.
Saya beritahu mereka, saya boleh kritik Najib dan Rosmah Mansor
(Datin Seri). Begitu juga dengan mengkritik Anwar, adakah ia satu
jenayah? Jika dia pemimpin, maka dia tidak terlepas daripada kritikan.
Kenapa ada sacred cows (lembu suci). Kini dah tiba ke tahap saya tak
tahu lagi nak kata apa-apa. Tak tahu nak cakap dengan siapa. Kita tak
boleh cakap dengan kerajaan. Kerajaan tak mahu bercakap dengan kita.
Arab Spring tak akan berlaku di Malaysia
Mungkinkah Arab Spring boleh menjadi Gelombang Malaysia?
Raja Petra: Kita selalu dengar tentang evolusi dan revolusi. Dalam
negara tertentu perubahan evolusi perlu diketepikan demi revolusi. Kita
harus bersikap praktikal. Pendapat saya, perubahan revolusi tak akan
berlaku kerana delicate racial balance. Kita boleh bercakap tentang ini
di Mesir kerana di sana semua mereka adalah orang Mesir. Setiap orang di
jalanan adalah orang Mesir. Di Malaysia bukan semua orang di jalanan
adalah orang Melayu. Keadaan ini lebih delicate.
Jadi saya kira negara yang tidak berbilang kaum adalah lebih mudah
untuk kita capai perubahan yang lebih militan. Tapi jika anda bercakap
tentang evolusi, selepas pasca revolusi, saya tahu ramai yang bercakap
dengan saya bahawa mereka takut berlaku huru-hara. Mereka takut
pertumpahan darah.
Mereka tidak mahu perubahan seperti ‘Tahrir Square’. Mereka nyatakan
dengan jelas. Tetapi jika kita hendak bermula dengan perubahan evolusi
seperti kata anda tadi, perubahan kecil, maka saya rasa inilah masanya.
Ia tak akan berlaku melainkan masyarakat yang mulakan. Ia tak akan
berlaku jika ahli politik ingin melakukannya. Tunjukkan saya satu
revolusi yang dimulai oleh ahli politik. Tak ada. Sejarah revolusi
semuanya dimulakan oleh rakyat. Ahli politik hanya rampas revolusi ini.
Saya tahu kerana saya mengikuti kursus age of revolution, di Oxford.
Daripada revolusi Perancis sehingga ke Perang Dunia Pertama. Revolusi
itu dicetuskan oleh rakyat dan kebanyakan revolusi ini dimulakan sebab
rakyat kelaparan.
Leon Trotsky dan Vladimir Ilyich Lenin tiada di dalam negara, mereka
dalam buangan seperti saya di Manchester. Apabila askar tak dibayar
gaji, mereka marah dan keluar memulakan revolusi. Trotsky dan Lenin
kembali dan jadi pemimpin revolusi di negara mereka. Kalau Anwar
terfikir untuk mulakan satu revolusi tanpa kami, masyarakat madani, mari
kita lihat sejauh mana usahanya. Ia tak akan berlaku.
Transformasi kerajaan
Najib serius mahukan perubahan, maka Najib perlu grab the bull by the
horns . Dr. Mohamad Khir Toyo sudah pun disabitkan kesalahan. Selepas
ini kita nak tahu sama ada dia akan dijel atau tidak. Kita tidak tahu
apa yang akan terjadi kepada pemimpin BN yang lain.
Tapi jika Najib
berharap untuk mencapainya dari segi cosmetic window dressing sahaja,
maka rakyat tidak akan mudah menerimanya.
Anda kena faham lebih 60 peratus rakyat Malaysia melayari Internet.
Sekarang kanak-kanak sembilan, 10 tahun sudah ada Facebook. Mereka
menggunakan Blackberry, IPhone. Mereka jauh lebih pintar daripada zaman
kita dahulu.
Bagaimana hendak menipu generasi ini? Mereka well informed. Bagaimana
kita hendak memperbodohkan generasi ini hanya dengan perubahan
kosmetik. Tidak, perubahan ini semua kena nyata dan drastik. Soalnya
sekarang, adakah Najib berikan kita perubahan itu?
Berapa cepat dan
setakat mana? Anda tahu hal-hal kecil tadi tidak akan berjaya. Rakyat
semakin tidak sabar dan masih ramai lagi rakyat yang bersedia untuk
mengundi pembangkang sebab mereka tiada keyakinan bahawa BN akan
berubah.
Jika anda mahu rakyat undi BN, tak perlu cakap tentangnya tapi anda
perlu lakukan dan tunjukkan. Ada satu kumpulan yang akan mengundi
pembangkang, tanpa mengira apa yang anda cakap atau lakukan.
Senario Pilihan Raya Umum ke-13
Bagaimana senario pilihan raya umum akan datang, mungkinkah BN akan kembali berkuasa?
Raja Petra: Maksud anda pada pilihan raya akan datang akan dikuasai
kembali oleh BN. Tidak. Saya rasa BN akan berubah. Tapi kami dah bosan
dengan Pakatan. Jadi kami tidak akan undi. Jangan terkejut kerana
jumlahnya besar.
Jumlah pengundi berdaftar meningkat tetapi jumlah pengundi yang akan
mengundi tak meningkat. Mereka tidak ada keyakinan terhadap kedua-dua
belah pihak. Soalnya sekarang, bagaimana anda nak yakinkan mereka untuk
datang mengundi. Jangan duduk di rumah, undilah saya!
Mari kita lihat bagaimana kedua-dua pihak akan menghadapi situasi
ini. Biar saya yakinkan anda bahawa ini bukan kumpulan yang kecil. Agak
besar untuk tentukan siapa yang dapat tampuk kerajaan sebab pilihan raya
kali ini tak lagi 60-40 atau 70-30.
Kita harap MCLM dapat mempengaruhi kumpulan ini. Bukan kita nak jadi
king maker tapi kita nak beritahu pengundi bahawa mereka boleh mengundi
tapi inilah kriteria kerajaan yang sepatutnya. Jika seseorang itu boleh
mengundi kriteria ini, saya tak kira parti mana yang anda undi.
Anda nak undi Pakatan, undilah Pakatan. Kalau anda nak undi BN,
undilah BN. Pastikan orangnya, bukan partinya. Anda undi orang yang
menjanjikan sesuatu dan mampu menunaikannya. Janji, sesiapa pun boleh
buat semasa pilihan raya, tetapi bolehkah ia ditunaikan?
MCLM tidak akan bertanding?
Raja Petra: Tidak. Kami tidak pernah bercadang untuk bertanding sejak
dari awal penubuhannya lagi. Tapi kami pernah dituduh oleh pembangkang
bahawa kami mahu jadi pengacau. Ia nampak tuduhan yang tidak berasas.
Kami tak pernah kata nak bertanding dan tak pernah kata kami parti
politik dan dituduh kacau daun.
Sekarang banyak pihak yang menentang MCLM. Mereka anggap MCLM sebagai
Trojan Horse, sebagai ejen BN dan ini membuat saya marah. Ini tak adil.
Kami bukan begitu.
Maknanya, tak ada Gelombang Ketiga?
Raja Petra: Anda akan terkejut. Ada banyak pihak yang menjadi
Gelombang Ketiga nanti …Amanah, United Borneo Alliance, Hindraf dan
begitu juga Bersih. Tapi masalah Bersih pro Pakatan. Kami memang tak
suka hal ini, Mereka mestilah non-Pakatan. Ini sedikit mengecewakan
kami. Ia seperti serving agenda Pakatan, agenda Anwar. Kami tak mahu
itu.
Bersih mesti atas daripada itu. Bukan sebahagian daripada politik.
Bagaimana perubahan dalam sistem kerajaan boleh berlaku, adakah ia
bermakna rule of law ketelusan dan akauntabiliti adalah sebahagian
daripadanya?
Raja Petra: Itu asasnya. Rule of law, not rule by law, akauntabiliti,
ketelusan, kebebasan dan kehakiman. Ada beberapa perkara yang kami
tidak suka tapi ia ada dalam perlembagaan. Kami bukan nak cipta semula
wheel (roda). Cuma kami kata wheel kena berputar.
Bagaimana kedua-dua
wheel tadi boleh bergerak. Kita bercakap tentang empat cabang kerajaan
dan kita bertuah kerana bukan ada tiga tetapi kita ada empat cabang.
Kita ada legislatif, kehakiman dan eksekutif – Perdana Menteri yang
mentadbir negara dan kita juga ada sistem beraja untuk periksa dan
imbang.
Kita tidak perlu cipta semula sistem itu. Sistem itu sudah wujud.
Kita cakap tentang pelaksanaannya. DEB sebagai contoh. Apa yang tak kena
dengan DEB. DEB bertujuan untuk mengurangkan jurang antara yang ‘ada’
dengan yang ‘tak ada’. Juga mengurangkan jurang supaya kaum yang kurang
akan meningkat. Tiada yang salah, tapi pelaksanaannya. Apabila DEB
dijalankan dengan salah, jadi rakyat bantah DEB tetapi kita tak perlu
bantah DEB sebenarnya.
Kita tak nak Anwarista
Keputusan kes Liwat Anwar akan dibuat pada 9 Januari ini. Komen anda?
Raja Petra: Kita ada bigger fish to fry. Agenda untuk perubahan
perjuangan bukan sebagai personaliti. Sekarang kita patut kurangkan
perjuangan untuk Anwar. Walaupun Mandela dipenjarakan selama 27 tahun,
tak ada kempen pembebasan untuknya. Walaupun ada Kumpulan Free Mandela,
tetapi ia merupakan kempen untuk menamatkan Apartheid, bukan untuk
bebaskan Mandela. Mandela hanyalah pencetusnya (catalyst). Saya pasti
Mandela adalah figura yang jauh lebih besar berbanding Anwar terutamanya
dalam kepentingan sejarah.
Jadi ini tentang Apartheid berbanding individu?
Raja Petra: Apa yang saya bimbangkan, kita akan kurangkan perjuangan
‘Anwarista’ dan jangan lupa Anwarista adalah perkataan yang saya cipta
pada 1999. Anwarista adalah perjuangan untuk Anwar. Kita tak nak
Anwarista. Sekarang ini jika Anwar masuk jel dan kita tak nak dia masuk
jel sebagai tahanan politik. Itu satu isu lain.
Saya dah periksa dengan kawan-kawan rapat dan mereka kata: “Pet, dia
(pendakwa) adalah seorang yang boleh dipercayai. Kalau Anwar tak
bersalah, dia tak akan fix up Anwar. Itu yang saya dapat dari sumber
saya.
Saya tak tahu Anwar bersalah atau tidak. Pada saya isu Anwar tak
penting, sama ada dia bersalah kerana liwat. Soalnya, adakah dia calon
terbaik untuk mentadbir negara? Kalau anda seorang yang baik di dunia
ini, anda tentu ‘bersih’. Tapi kalau anda tak boleh mentadbir negara,
maknanya anda tak boleh. Itu sahaja.
Mari kita cakap tentang aspek sekular dalam kepimpinan. Sekarang
Anwar tak kagumkan saya di Selangor. Dia tak tunjuk, dia jalankan
kerjanya dengan baik. Saya berkata begitu kerana dapat laporan daripada
ramai orang, ahli perniagaan. Mereka mengadu dan salahkan saya.
Saya berhak untuk kritik. Saya tak ada terima maklum balas tentang
prestasi dia di Selangor. Kalau anda tak boleh jadi penasihat ekonomi
yang baik dan tak boleh dipercayai, bagaimana nak tadbir negara?
Bercakap tentang permata di atas crown, tentunya Selangor. Adakah
banyak perubahan drastik di Selangor? Tentu tidak. Maklum balas yang
kita terima jadi kayu pengukur iaitu rasuah masih berada di tahap sama,
tiada pengurangan.
Rakyat masih perlu bayar di bawah meja untuk selesaikan sesuatu hal.
Itu yang perlu kita perangi sekarang. Kita gagal di bahagian ini. Kita
mengadu kepada Anwar bahawa rakyat tak gembira. Jangan harap untuk
kekalkan Selangor kerana peluang untuk BN kembali lebih cerah kerana
rakyat tak gembira.
Kata Anwar: “Semasa mesyuarat Khalid ego dan tak mahu dengar cakap.
Tak boleh kawal dia.” Saya kata anda yang lantik dia sebagai MB (Menteri
Besar) dan tak perform.
Adakah anda ada masalah dengan dia (Khalid). Masalahnya dia ego, tak
dengar cakap. Apa nak buat, anda yang cipta monster itu. Apa yang kamu
nak buat? Jangan mengadu tentang Khalid. Selangor tak ada sebarang
prestasi. Ego, tak dengar cakap. Kami tak mahu tahu tentang itu.
Dia pula lantik diri sebagai penasihat ekonomi negeri. Apa nasihat
anda (Anwar)? Sejak tiga tahun lalu anda dilantik sebagai penasihat
ekonomi. Pergi luar negara lebih 60 kali dalam masa tiga tahun. Patutnya
duduk mentadbir negeri, jalankan tugas parti, mentadbir Pakatan.
Pakatan huru-hara. Rakyat bergaduh sesama sendiri. Apa komennya? No
comment, senyap sahaja.
Kita beritahu dia, duduk dalam negara dan jalankan tugas dalam
Pakatan. Lebih 60 perjalanan ke luar negara memang agak melampau. Apa
yang anda buat di luar negara. Bagi ceramah di universiti sana sini, tak
payahlah. Adakah dengan bercakap di universiti orang akan undi anda?
Penuntut ini pun belum berdaftar.
Apa yang anda kisah dengan universiti ini. Dia seolah-olah melarikan
diri kerana tak tahu apa nak buat. Tak perlu ceramah di universiti di
luar negara. Dia perlu fokus pada pilihan raya.
Dalam pemilihan PKR, parti itu dianggap tidak demokrasi?
Raja Petra: Ada beberapa bahagian di Sabah di mana pengerusi umumkan
kepada perwakilan bahawa dia terima arahan daripada Anwar untuk tak
calonkan anaknya, Nurul Izzah. Apa ni?
Mana ada demokrasinya. Kalau anaknya tak boleh bertanding, nak semua
negara cadangkan Azmin, bukan anaknya? Bila kita dengar pengumuman itu,
tentu kita kecewa, demokrasi apa yang anda cakap? Kamu tahu hal ini.
Tentu anda juga ada dengar hal ini. Ini bukan fitnah.
Kenapa Anwar sokong Azmin?
Raja Petra: Mungkin dia akan masuk jel. Jadi dia perlu seseorang yang
dipercayainya untuk teruskan perjuangan Kempen Bebaskan Anwar. Tapi
kita tahu Azmin, tak diterima oleh parti lain, DAP dan Pas misalnya.
Dari segi solidarity dalam Pakatan, Azmin tak mempunyai solidarity itu.
Pada 2008 kenapa pujuk mereka supaya pilih dan undi Pakatan serta pilih Anwar?
Raja petra: Tidak. Kami tak kata pilih Anwar. Kami kata undi
pembangkang untuk ajar BN. Ke mana sahaja saya pergi untuk ceramah, kita
perlu ajar BN. Paling tidak satu atau dua penggal, kalau Pakatan tak
perform, kita akan beri kerajaan balik kepada BN. Kita nak ajar BN
bagaimana rasanya jadi pembangkang. Pakatan boleh naik semula jika
perform.
Apa yang anda perlu ada ialah dua parti politik. Dalam ceramah saya,
apa yang perlu kita buat ialah dua penggal kepada satu parti dan dua
penggal berikutnya untuk parti yang lagi satu. Kita tukar kerajaan
setiap dua penggal seperti di Amerika dan England. Di England, ada
kerajaan baru setiap 10 hingga 15 tahun. Dua atau tiga pilihan raya dah
tukar kerajaan baru. Walaupun kerajaan itu ada prestasi baik, kita tetap
tukar, hanya buat itu dan sistem dua parti adalah seperti itu. Kita tak
bagi 100 tahun untuk satu-satu parti memerintah.
Apakah Anwar bukan lagi pilihan kepada rakyat Malaysia?
Raja Petra: Saya rasa kita tak perlu lagi cakap pasal Anwar. Ini
bukan pasal Anwar. Bila kita cakap pasal politik, kita cakap pasal
Najib-Anwar, Najib-Anwar.
Di England kita tak bercakap tentang pemimpinnya. Kita bercakap
tentang Buruh-Konservatif. Jika di Amerika tentang Republikan-Demokrat.
Pemimpinnya tak penting. Tapi di Malaysia, kita cakap tentang
Najib-Anwar. Kita tak seperti di England, kalau tak boleh buat, letak
jawatan.
Di Malaysia kita cakap tentang personalitinya. Keluar daripada asas
ini, lupakan pemimpinnya. Bagaimana jika Najib kena serangan jantung
seperti bapanya? Dia meninggal dan Malaysia pun habis.
Tidak! Kita akan dapat pemimpin baru. Bagaimana jika sesuatu berlaku
kepada Anwar. Dia bukan muda lagi. Dia lebih tua daripada saya, Najib
lebih muda daripada Anwar. Dia pun tak kelihatan sihat. Kita belum
tamat, kita kena teruskan. Bukan sebab Anwar. Lupakan Najib-Anwar. Cakap
tentang struktur dan kita akan bergerak ke depan. Inilah masalahnya
sebab itu kita nak elakkan hal Anwarista ini.
Anwar digambarkan sebagai pemimpin yang mampu buat perubahan, bagaimana dengan gambaran seperti ini?
Raja Petra: Anwar gambarkan dirinya sebagai pemimpin masa depan hanya
kerana Pakatan benarkan dia buat begitu. Mereka tekankan bahawa hanya
ada seorang sahaja yang boleh pimpin pembangkang. DAP keluarkan
kenyataan walaupun Anwar masuk jel, mereka masih sokong Anwar.
Maksudnya tak ada orang lain? Ini adalah kesalahan DAP dan Pas. Anwar
terus bercakap tentang parti yang akan terima dia dan hanya Anwar
sebagai ketua. Bila ramai suka Zaid Ibrahim, muncul satu alternatif
bahawa terdapat orang baru. Jadi kill him off mereka tak terima.
Anwar yang memang bagus dalam berkempen terus ke serata negara untuk
terus bercakap.
Adakah itu ukuran dan sokongan terhadapnya. Dalam
kebanyakan pilihan raya yang saya saksikan, malah dalam pilihan raya
kecil yang kelihatan ramai orang berkumpul tetapi belum tentu undinya.
Pilihan raya di Indera Kayangan, Perlis semasa ceramah di rumah
Shahidan Kassim (Datuk Seri) orang ramai datang dan cabut. Ada 100 orang
, mereka batalkan ceramah. Di pihak sebelah lagi, mereka ada 30,000
orang, tetapi bila tiba masa mengundi, siapa yang menang, BN. Bukan
pembangkang.
Tapi kenapa Anwar terus menggambarkan dirinya sebagai pemimpin bersih walaupun dia ada isu-isu termasuk integriti?
Raja Petra: Saya ada bercakap dengan orang yang pernah bersamanya
dalam kerajaan dulu. Mereka jelaskan bahawa Anwar ada skeleton in the
closet. Namun begitu, anda masih sokong Pakatan.
Jawapannya, apakah pilihan yang kita ada. Orang sokong Anwar kerana
mereka kata Anwar sebagai alternatif kepada apa yang kita ada hari ini.
Pakatan sangat kagum dalam ‘menunjukkan’ Anwar sebagai pemimpin yang
berkebolehan. Saya ada menulis tentang ini sebulan yang lalu. Seramai 28
juta rakyat Malaysia hanya ada seorang Anwar Ibrahim.
Siapa yang boleh
mentadbir negara ini? Tak ada orang lain lagi ke? Ini bukan satu benda
yang saya cakap hari ini tetapi saya dah tulis tentang ini lama dulu.
Pada pendapat saya, Pakatan sedang meningkatkan karisma Anwar. Dia
penarik, ke mana sahaja dia pergi keluar negara dia menarik minat orang
ramai. Bagus juga Pakatan gunakan kelebihan ini. Benarkah dia begitu? Ia
hanya satu persepsi. Saya tahu ramai yang sokong Pakatan tetapi mereka
tak berapa gembira dengan Anwar.
Saya tanya, kenapa sokong Pakatan? Mereka kata sebagai alternatif.
Anwar mungkin teruk, tetapi yang satu lagi lebih teruk. Mereka tak kata
Anwar bagus. Mereka cuma kata yang satu lagi lebih teruk. Itu sahaja.
Tak bermakna dia lebih baik daripada yang lain sehingga ada orang lain
yang dapat minta saya untuk ‘tunjukkan’ dia sebagai pemimpin yang lebih
baik. Anwarlah tu. Itu sahaja yang mereka ada.
Anwar kekal sebagai ikon pembangkang. Satu lagi persoalan, adakah
mereka ini tak benarkan orang lain muncul. Siapa yang boleh membayangi
Anwar? Mereka tak benarkan pemimpin lain maju atau muncul.
Saya rasa orang itu Anwar
Sebagai pemimpin, Anwar sepatutnya beritahu kepada pengikutnya supaya terima keputusan mahkamah, bukan begitu?
Raja Petra: Pada 1999, bila Anwar disabitkan kesalahan, wujud elemen
benci terhadap Dr. Mahathir. Orang ramai yakin bahawa Anwar sudah tentu
tak bersalah sama ada dia mangsa atau dianiaya. Dr. Mahathir nak
hapuskan Anwar.
Anda tentu tahu cara kes ini dikendalikan. Saya hadir perbicaraannya,
terlalu banyak kelemahan atau kepincangan semasa perbicaraan itu.
Alasan yang mudah saya bantah perbicaraan itu kerana cara kes
dikendalikan.
Jika Anwar bersalah pun, itu tak penting bagi saya. Jika anda tak
berjaya buktikannya di mahkamah, maka ia perbicaraan yang tak adil bagi
saya. Jika Anwar tak bersalah dan anda tak berjaya buktikannya, maka dia
harus dibebaskan.
Ini kerana pilihan seksualiti Anwar tak penting. Mungkin saya agak
liberal. Jika anda seorang gay, anda adalah gay, jadi apa? Itu tak
mengubah pendapat saya tentang anda.
Kalau anda baik, anda baiklah. Jika
anda seorang lurus tapi anda seorang lousy beggar, kehidupan seksual
bukan penting pada saya.
Dalam perbicaraan kedua ini, persepsi orang berbeza dengan
perbicaraan pertama.
Sekarang apabila saya tanya orang ramai adakah
Anwar bersalah, jawapannya mereka tak
kisah. Kalau dia seorang beggar,
maka dia seorang ‘beggarlah’. Itu tak penting, ramai orang cakap begini.
Isu moral, anda seorang yang tak bermoral tetapi berlagak alim. Jadi anda seorang yang tak jujur?
Raja Petra: Di Australia, menterinya seorang gay dan mereka terbuka.
Menterinya gay, berkahwin dan ada anak, ia perkara luar biasa. Masih
kekal dalam kerajaan. Tak ada orang suruh letak jawatan. Tapi bila anda
terlibat hal seksualiti, anda sembunyikannya, anda nafikan, orang akan
paksa anda letak jawatan bila rakyat dapat tahu anda terlibat dalam
situasi itu. Ini isu moraliti. Ia hanya tentang hidup anda. Siapa yang
peduli? Tapi bolehkah anda memerintah negara?
Tapi kalau dikaitkan dengan urus tadbir baik kerajaan, Anwar mesti
ada keberanian untuk bercakap benar. Video seks telah mengesahkan tapi
dia masih menafikannya?
Raja Petra: Saya rasa ramai yang 50-50 tentang video ini. Contoh
mudah, cara video itu didedahkan tidak diterima rakyat. Tapi untuk
negara yang lihat cara yang terbuka dan objektif. Mereka yakin bahawa
Anwar dalam video itu. Tapi tentunya mereka syak akan cara hal ini
diketengahkan. Pada saya, kesalahan terbesar dalam video itu adalah
Rahim Thamby Chik dan gengnya, anda tahukan?
Ini isu penyanyi, bukan lagunya. Bukannya saya benci lagu, tapi saya
benci penyanyinya. Lagunya mungkin baik tetapi bukan penyanyinya. Kalau
mereka buat macam kes Chua Soi Lek (Datuk Seri), senyap letak dalam peti
surat dan orang akan menjumpainya. Rasa saya, orang yang percayakan
video itu semakin bertambah. Ada ramai, kawan rapat Anwar, ada yang saya
jumpa di UK , Liverpool, Manchester, ramai yang cakap secara jujur,
Anwar dalam video itu. Saya rasa orang itu Anwar. Saya tak kata 100
peratus tapi 90 peratus atau lebih itu Anwar.
Dan dia tak jawab isu jam Omega?
Raja Petra: Saya rasa dia terperangkap dalam perangkap madu. Saya
rasa Eskay (Datuk Eskay Shazryl Abdullah) kenakan dia. Ada satu lagi hal
yang fikir orang itu adalah Anwar.
Pada awalnya saya 50-50. Tak mungkin
itu Anwar. Jangan beritahu saya yang dia terlalu bodoh membiarkan
dirinya ditangkap.
Dalam sidang akhbar selepas video itu didedahkan, dia kata tak kenal
Eskay. Tak tahu nama penuhnya dan tak tahu sama ada dia muslim atau apa.
Maknanya dia tak kenal Eskay. Tapi saya masih ingat tiga tahun lalu
Anwar ada telefon saya, dia kata kawan kita ini ada problem.
Boleh tak
kita tolong.
Saya tanya apa masalahnya, katanya Datuk Shahril Eskay. Saya kata tak
kenal siapa orang ini. Katanya dia Konsul Kehormat Thai di Langkawi.
Dia kata, Shahril orang kita. Saya tanya dia ini orang Thai ka? Anwar
kata, tak, dia orang Islam, orang Malaysia. Saya kata apa masalahnya,
Anwar kata masalahnya ialah kerajaan syak Eskay yang seludup saya keluar
dari Malaysia.
Kerajaan syak saya pergi ke Langkawi dan Eskay keluarkan satu pasport
Thai untuk saya dan seludup saya keluar Thailand melalui Langkawi. Dia
kata kerajaan beri masalah kepada Eskay. Awak kena jelaskanlah untuk
bersihkan namanya.
Saya kata okay tak ada masalah. Saya kata, saya tak kenal pun Eskay
ini sehingga awak beritahu saya. Tentunya Eskay tak pernah keluarkan
pasport untuk saya dan seludup saya keluar dari Malaysia.
Jadi, saya tulis satu artikel menyangkal perkara itu dan bagaimana
saya keluar dari Malaysia. Itu tiga tahun lalu. Sekarang Anwar kata dia
tak kenal Eskay, tak tahu jika dia Muslim atau apa. Hal ini buat saya
terfikir dan sedarkan saya. Saya tahu, Anwar kenal sangat dengan Eskay,
kata sahajalah kenal sangat dengan Eskay. Itu benda yang melucukan.
Sidang akhbar di Kuching, dia marah pasal jam tangan?
Raja Petra: Ya, pokoknya kalau anda perlu menipu, maknanya anda ada
benda yang nak disembunyikan. Tentunya anda bersalah. Saya beritahu
sekarang ini yang saya tak kisah jika anda gay tapi anda boleh
mentadbir.
Saya terbuka. Anda nak cakap Islam, macam dia ini saya tak akan
berpura-pura menjadi ulama, alim. Saya adalah saya. Anda suka atau tak
suka, inilah saya. Anda tak perlu suka pada saya tapi saya jujur tentang
diri sendiri.
Peluang pakatan pembangkang dan Anwar
Apakah Anwar dilihat sebagai liabliti?
Raja Petra: Yang perlukan Anwar hanyalah PKR. Mereka tak ada pilihan
dan ia adalah satu kelebihan untuk Pas dan DAP. Satu kelebihan jika
Anwar ada sehingga menang pada pilihan raya akan datang. Kalau tak
menang, tidak ada berguna lagi Anwar. Itulah sikapnya. Untuk tunggu lima
tahun lagi dan Anwar dalam penjara, kita kena cari pemimpin barulah.
Walaupun dia di luar penjara, lebih negatif untuk Pakatan?
Raja Petra: Saya dah katakan sebelum ini. Jika Pakatan tak boleh
bentuk kerajaan dalam pilihan raya akan datang. Mereka tentu tak akan
bentuk kerajaan, tidak dalam generasi saya. Jangan beritahu saya dalam
pilihan raya akan datang ini.
Senarionya jauh berbeza. Satu set kumpulan pengundi baru. Sistem
nilai akan berubah, kriterianya akan berubah dan pilihan raya baru dan
mungkin akan diadakan enam tahun dari sekarang. Nilai di seluruh dunia
akan berubah, sistem berubah, nilai berubah. Mungkin England akan
bankrap dan semuanya akan berbeza.
Medan sudah dibuka luas, dalam BN parti non-UMNO , MCA dan Gerakan adalah lemah.
Adakah Pakatan akan diminati lagi?
Raja Petra: Pakatan akan pertahankan Anwar kerana mereka masih lagi
berharap untuk bentuk kerajaan Persekutuan. Dalam pilihan raya akan
datang ini, jika pakatan gagal membentuk kerajaan Persekutuan, maka
Anwar tiada lagi gunanya kepada Pakatan terutamanya DAP dan Pas. Mereka
akan sokong Anwar dan berdiri di belakang Anwar.
Sebab keselesaan politik?
Raja Petra: Sebab ini adalah proses penyelesaian politik untuk sokong
Anwar. Sebab ada kebarangkalian untuk bentuk kerajaan Persekutuan. Tapi
jika tak dapat bentuk kerajaan Persekutuan yang baru, Anwar akan
menjadi tidak relevan dengan begitu cepat.
Bolehkah pakatan bentuk kerajaan Persekutuan dan teruskan kerelevanan
Anwar? Ia bergantung kepada Sabah dan Sarawak. Kita ada 165 kerusi
Parlimen di Semenanjung Malaysia. Daripada 165 kerusi Parlimen, berapa
yang boleh dimenangi Pakatan? Katakan Pakatan menang 85 kerusi, mereka
ambil lima kerusi MCA, rampas 85 kerusi Parlimen di Semenanjung. Dan BN
hanya dapat 80 kerusi.
Dengan 70 kerusi untuk UMNO, 10 untuk MCA. Jadi kena menang di Sabah
dan Sarawak iaitu 57 termasuk satu di Labuan. Pada pilihan raya 2008.
Pakatan hanya menang dua kerusi, 55 kerusi dimenangi BN. Di Semenanjung,
Pakatan menang dua lagi kerusi di Kuala Terengganu dan Bukit Gantang,
tapi di Sabah Sarawak hanya menang dua kerusi. Daripada 80 kepada 85,
kira okaylah lima kerusi MCA. Itu adalah ramalan yang berasas.
Anda agak berapa pertambahannya? Anda perlu 30 kerusi dari Sabah dan
Sarawak. Jadi, Pakatan hanya ada 115 kerusi. Maksudnya, ada tiga kerusi
majoriti. Tapi kalau tiga orang melompat, anda akan hilang kerajaan.
Secara idealnya, anda perlukan 10 atau 15 kerusi majoriti. Makna
perlu dapatkan 35 kerusi dari Sabah dan Sarawak. 35 + 85 iaitu 120
kerusi, ini adalah margin yang selesa. Tapi bagaimana anda nak dapat 35
kerusi dari Sabah dan Sarawak? Untuk dapat 35 itu terlalu jauh untuk
dicapai.
Apa yang terjadi pada pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini, DAP
berjaya. Pakatan tak boleh buat, kalau mereka boleh buat, sudah lama
mereka buat. Dah anda tak boleh buat, maka tak boleh buatlah.
Di Sabah, ia kucar-kacir. Saya tak nampak macam mana dari dua kerusi
meningkat kepada 35 kerusi di Sabah dan Sarawak. Mungkin ia akan
bertambah kepada 10 tapi 10 ini masih 95 kerusi. Maknanya tak boleh
bentuk kerajaan.
Hanya dengan Taib Mahmud (Tan Sri) keluar dari BN dan bawa ahlinya
sertai Pakatan.
Bolehkah ini berlaku? Maksudnya, kebarangkalian untuk
bentuk kerajaan baru sangat tipis.
Jadi, kalau dalam pilihan raya umum
akan datang tak bentuk kerajaan , tentunya Pas, DAP tak perlukan Anwar
lagi.
901 tak akan dapat pengikut
Di Malaysia sekarang sudah sibuk mulakan Kempen Bebaskan Anwar. Wajarkah Anwar buat begitu?
Raja Petra: Saya yang mulakan Kempen Bebaskan Anwar pada 2000. Ya,
malah saya dapat panggilan daripada seseorang , adakah saya dah sedia
untuk lancarkan yang baru. Saya kata, Anwar belum dijelkan. Kenapa kita
mesti ada kempen bebaskan Anwar? Kata mereka ini persiapan untuk Anwar.
Ini mungkin sesuatu seperti pada 1999/2000. Dah 12 tahun pun. Kita
tak boleh kembali kepada masa lalu. Kita tak boleh undur masa. Semua dah
berubah. Hal seperti kempen bebaskan Anwar ini tak akan dapat pengikut
seperti pada tahun 2000. Dulu isunya Dr. Mahathir dan Anwar. Sesuatu
yang dilakukan oleh Dr. Mahathir terhadap Anwar. Isu yang sangat
spesifik. Dr. Mahathir menzalimi Anwar. Itulah persepsinya.
Kempen jatuhkan Anwar
Sekarang Malaysia Today mulakan kempen jatuhkan Anwar?
Raja Petra: Ia sebenarnya bukan kempen jatuhkan Anwar. Ini kempen
fokus semula. Apa yang kita nak buat, kita nak rakyat fokus dengan
gambaran besar. Kita mahu rakyat nampak lukisan secara keseluruhannya,
kita tak nak lihat gerakan berus warnanya. Kita selalu lihat gerakan
berusnya, jadi kita tak tengok lukisan itu sebenarnya.
Jadi kita nak bawa kembali isu perubahan. Adakah ia tentang Anwar, ia
adalah mengenai negara dan Anwar boleh menjadi faktornya. Itu tak
menjadi hal kepada saya. Anwar hanya menjadi satu faktor tapi dia
bukanlah perkara utama.
Rakyat mudah hilang fokus, mereka mudah terganggu. Tiba-tiba terlepas
sasaran dan salah arah. Kita sepatutnya ke Singapura tetapi melencong
ke Melaka. Kalau anda rasa Anwar tak bersalah, berjuanglah untuk Anwar.
Tapi jangan minta seluruh negara berjuang untuk Anwar sebab seluruh
negara patut berjuang untuk penambahbaikan negara.
Kadang-kadang orang lupa tentang mangsa iaitu Saiful?
Raja Petra: Sebenarnya, kita dah letih dengan isu liwat ini. Kita
mahu tamatkan hal ini segera. Kita harap perbicaraan ini selesai dan
tidak dipanjangkan.
Tapi kenapa dia yang minta dipanjangkan?
Raja Petra: Betul tapi seluruh negara terikut-ikut sama. Kita tak
perlukan semua ini. Masa depan negara tak bergantung kepada seorang
lelaki ini.
Malaysia tak terima PM gay
Tentang isu moral, rasanya rakyat Malaysia masih belum bersedia untuk seorang Perdana Menteri yang macam itu?
Raja Petra: Itu satu isu lain. Isunya sebab kita hidup dalam
masyarakat seperti Malaysia yang tidak boleh terima cara hidup begitu.
Di Malaysia, masyarakat belum bersedia.
Mungkin mereka tak akan bersedia
kerana mereka ini masyarakat Islam yang konservatif.
Soalnya, jika anda nak jadi gay, teruskanlah. Anda tak boleh jadi
pemimpin dan gay sekali gus. Di Australia, anda boleh. Anda boleh jadi
menteri dan gay sekali gus. Di Malaysia, anda kena pilihlah. Anda nak
jadi gay, teruskan. Saya tak ada masalah tapi anda nak jadi Perdana
Menteri dan gay sekali gus, dah tentu di Malaysia tak boleh.
Walaupun bukan gay, tapi kalau anda tinggal dengan wanita lain bukan
isteri, ia juga tidak diterima. Kalau nak jadi Perdana Menteri, anda
tidak boleh begitu. Kena pilih salah satu.
Saya tidak pertahankan perbuatan yang tidak bermoral tapi itu pilihan
anda. Kalau anda pilih itu, anda tak boleh dapat yang ini. Di UK anda
boleh dapat kedua-duanya. Di Australia, anda boleh dapat kedua-duanya.
Saya tidak peduli. Kalau anda kata: “Adakah Anwar seorang gay?” Saya
kata mungkin. Tapi tak boleh jadi Perdana Menteri. Itu realitinya.
Transformasi dalam UMNO
Apakah UMNO perlu perbaiki cara untuk menjadi kerajaan yang lebih baik?
Raja Petra: Ya, kalau tidak saya tak akan berada di sini. Kalau tak
saya tak akan berada di sini untuk menyoal dan mempertikaikan kerajaan.
Sudah tentu kerajaan perlu baiki dan ubah tindakan mereka.
Tapi Najib ada kekangannya? Parti dikawal warlord dan ada Godfather?
Raja Petra: Sebab itu saya kata tadi, dia kena catch up the bull by
the horns. Maknanya berani dan yakin berdepan dengan kesusahan, bahaya
dan hal-hal sukar. Anda tidak boleh mengubah dengan perlahan. Kita perlu
bercakap tentang revolusi. Saya tak bermaksud cakap tentang revolusi
dan pergi ke jalanan dengan senapang dan adakan revolusi berdarah.
Ya, UMNO perlukan revolusi dalamannya. Dan Najib mesti bersedia dan
tidak hanya mengambil pisau tetapi gergaji berantai untuk potong apa
sahaja yang patut dipotong. Kalau dia tak buat begitu, UMNO tak akan
berkuasa.
Apa yang kita perlu buat ialah yakinkan pengundi yang Pakatan akan
jadi alternatif yang lebih baik. Malah, Pakatan tak boleh yakinkan
rakyat yang ia adalah lebih baik. Jadi, sekarang kita ada situasi
periksa dan imbang.
Memandangkan UMNO gagal untuk yakinkan pengundi, adalah lebih baik
mereka buat perubahan. Sebaliknya, Pakatan juga tak boleh yakinkan
pengundi yang ia adalah lebih baik. Sebenarnya, ramai pengundi yang
keliru sekarang. Mereka tidak pasti patutkah undi BN atau undi Pakatan
atau pun tak payahlah mengundi. Ini yang berlaku sekarang , Sebenarnya
medan sudah dibuka untuk kedua-dua pihak, siapa yang akan meyakinkan
pengundi sekarang?
Bagaimana dengan pengundi muda?
Raja Petra: Jangan pandang rendah mereka. Mereka bukan bodoh. Bila
anda cakap dengan mereka, anda akan tahu daripada cara mereka respons.
Pemikiran mereka lebih ke hadapan sebagai pengundi.
Ada yang belum lagi jadi pengundi tapi akan jadi pengundi untuk
pilihan raya akan datang.
Kalau bukan pilihan raya ini, sudah tentu pada
pilihan raya akan datang melainkan ada perubahan. Kalau ini berterusan,
anda akan saksikan orang muda naik. Saya sudah berada di Thailand,
Australia, New Zealand, Indonesia, saya jumpa dengan orang kita di luar
Malaysia. Dari maklum balas, orang ini sudah bersedia untuk berubah.
Soalnya UMNO sudah bersedia atau tidak?
Pandangan tentang pengundi Cina?
Raja Petra: Dahulu orang Cina takut untuk undi pembangkang tapi
sekarang tidak. Sejak 2008 dan sehingga hari ini, orang cina masih
condong kepada pembangkang tetapi subjektif kepada beberapa faktor.
Paling penting, faktor ekonomi. Orang Cina asalkan ekonomi
berkembang, mereka boleh hidup walaupun di negara komunis seperti China.
Orang Cina di China protes demokrasi dan hak asasi manusia. Mereka
ini tidak kisah tentang demokrasi dan hak asasi. Tapi ekonomi berkembang
pesat, ramai jutawan dan hartawan lahir itu yang diingini di China.
Mereka tak mahu satu lagi Tiennamen. Mereka tak kisah tentang perubahan
politik sebab kerajaan dia beri perubahan ekonomi.
Saya ingat kata Deng Xioping tak kira kucing hitam atau putih,
asalkan ia tangkap tikus. Siapa yang peduli tentang komunisme atau
demokrasi. Selagi ekonomi berkembang dan rakyatnya menerima hal ini.
Bangsa yang terbesar di dunia ini boleh terima kerajaan seperti ini.
Tapi kerajaan perlu jana ekonomi untuk negara dan orang Cina di Malaysia
apa bezanya.
Asal kerajaan dapat jamin mereka dengan ekonomi yang kuat dan tak
campur tangan dalam perniagaan mereka. Kini kenapa ada orang Cina di
Selangor sudah tak gembira dan tak puas hati kerana perniagaan mereka
jammed. Itu sahaja. Semua ini berkaitan dengan projek, duit dan semuanya
tentang bisnes.
Selain ekonomi dan bisnes, Perdana Menteri jadi faktor?
Raja Petra: Orang Cina tak kira hal-hal ini, yang mereka tahu akhirnya Najib kena cakap sesuatu kepada mereka.
Jadi MCA dan Gerakan ini macam mana?
Raja Petra: MCA dan Gerakan ini, daripada apa yang diberitahu kepada
saya, dalam pilihan raya akan datang MCA dan Gerakan akan habis (dead).
Anda yakin Najib dapat menaikkan tahap tadbir urus baik di Malaysia?
Raja Petra: Adakah Najib faham dengan makna good governance? Adakah
dia mahu berhubung? Contohnya, kita ada MCLM. Kalau kita jumpa Najib
untuk bentang agenda reformasi rakyat, adakah dia bersedia jumpa kita?
Dia tak mahu jumpa saya, jadi tak payah jumpa Raja Petra. Jumpa orang
lain.
Kita boleh jumpa Najib dan bentangkan agenda reformasi rakyat,
bincang dengan kita. Najib patut tanya kenapa kita kritik kerajaan, tak
puas hati dengan kerajaan dan bantai kerajaan.
Dia kena tanya kita apa
yang anda ingin kami lakukan? Apa perubahan yang anda katakan?
Beritahu
saya, sekurang-kurangnya kami mula yakin. Tetapi anda tak layan, tak nak
dengar suara kami. Anda kata nak berubah, perubahan apa?
Bercakaplah dengan kami. Kami ada dokumen mengenai agenda reformasi
rakyat dan apakah perubahan yang kami kehendaki. Anda boleh kata saya
tak mampu lakukan dalam sebulan, tak apa ada yang boleh buat dalam
sebulan, dalam enam bulan, ada juga ambil masa 10 tahun. Itu dah okey
bagi kami. Sekurang-kurangnya sudah ada pelan. Kalau Najib nak kita
tertarik dengan perubahan yang beliau nak bawa, berhubunglah (engage)
dengan kita.
Sudah ada reformasi yang dibuat contoh ISA, AUKU dan pemilihan dalam UMNO yang lebih demokratik berbanding DAP?
Raja Petra: Kosmetik. Ia terlalu kosmetik. Najib mansuhkan ISA dan
pada masa yang sama bercakap tentang gantikan dengan undang-undang lain.
Sebenarnya ISA bukan isu besar.
ISA ada tujuannya untuk perangi
keganasan.
Adakah kebarangkalian keganasan masih mengancam Malaysia? Kita tengok
pengeboman di Bali. Ia berlaku, sentiasa ada kebarangkalian keganasan
mengancam Malaysia. Jadi kita masih perlukan undang-undang untuk
membanteras keganasan atau memerangi keganasan.
Tapi anda tangkap seseorang atas dakwaan ucapan atau menulis sesuatu.
Ia tak ada kena mengena dengan keselamatan negara. Dalam kes saya, saya
ditahan di bawah ISA kerana didakwa menghina Islam. Apabila ia dibawa
ke mahkamah, mahkamah memutuskan penahanan saya adalah salah dan tidak
sah, jadi kemudian saya dibebaskan.
Ini yang kita bincangkan. Najib ada reformasinya, dia ingin mansuhkan
ISA tetapi itu bukan masalahnya. ISA juga bukan masalah. Masalahnya
adalah bagaimana ia disalahgunakan. Adakah Najib faham perkara ini?
Adakah dia faham inilah yang sebabkan kami marah?
utusan malaysia
No comments:
Post a Comment