
Zed Zaidi antara pemimpin persatuan artis yang lantang bersuara.
PETALING JAYA: Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman)
Zed Zaidi mendedahkan terdapat segelintir artis dibayar puluhan ribu
ringgit oleh parti politik tertentu dalam usaha menghasut rakyat
membenci kerajaan.
Zed atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil,32, berkata, artis-artis
berkenaan akan hadir dalam ceramah-ceramah anjuran parti politik
berkenaan dan mereka akan diberi imbuhan yang nilainya melebihi jumlah
bulanan ketika mereka aktif dalam dunia seni sebelum ini.
“Hasil maklumat yang kami peroleh, artis-artis yang cenderung kepada
parti politik tertentu dengan menyertai ceramah-ceramah mendapat imbuhan
berlipat ganda berbanding ketika mereka aktif dalam bidang seni.
“Jumlah pendapatan itu mencecah puluhan ribu ringgit sebulan
bergantung kepada banyak mana program ceramah yang mereka sertai dalam
masa sebulan,” katanya kepada
mStar Online ketika dihubungi di sini, Khamis.
Zed diminta mengulas mengenai kecenderungan segelintir artis yang
mengaku sudah berhijrah tetapi bertindak menyertai parti politik
tertentu dengan menghasut rakyat membenci kerajaan.
Kata Zed, tidak ada artis yang akan melakukan kerja secara suka rela
setiap masa kerana mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap sebaliknya
mereka melaksanakan sesuatu tanggungjawab itu untuk mendapat imbuhan.
Katanya, parti politik berkenaan pula terpaksa menggunakan artis
kerana golongan berkenaan mempunyai pengaruh kuat dalam menarik orang
ramai menghadiri ceramah yang dianjurkan.
Malah ujarnya, ada juga artis yang terpaksa berbuat demikian untuk
mengalih perhatian bagi menutup kisah hitam masing-masing sebelum ini.
“Ada juga artis yang berhijrah tetapi bukannya benar-benar berhijrah
sebaliknya sekadar mahu menutup kisah buruk diri yang pernah dilakukan
semasa bergelar artis.
"Ia bukan langkah yang bijak sebaliknya mereka hanya dipergunakan
untuk kepentingan pihak tertentu sebelum pilihan raya umum sahaja.
“Selepas pilihan raya, saya pasti artis-artis ini akan senyap kerana sudah tiada jemputan untuk mereka sertai ceramah,” katanya.
Ditanya benarkan golongan berkenaan tidak mendapat tempat di persada
seni kerana penghijrahan yang dibuat Zed berkata, perkara itu sebenarnya
tidak berlaku jika perubahan berkenaan dilakukan dengan ikhlas dan
baik.
Bagaimanapun apa yang dikesalkan golongan berkenaan mengambil
pendekatan memburuk-burukkan dunia seni sendiri serta menghentam
pihak-pihak tertentu.
“Kalau nak berubah tu, berubahlah! Tak ada siapa yang larang tetapi
mereka berubah dengan mengutuk dan menghina orang lain. Sebab itulah
secara tidak langsung mereka diketepikan,” jelasnya.
Sehubungan itu Zed berkata, sekiranya terdapat mana-mana artis yang
mahu berubah mereka diminta untuk tidak terlibat dalam kancah politik
kerana ia akan merosakkan reputasi diri mereka sendiri.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Zed Zaidi mengundang para
artis dan orang ramai menyertai Majlis Mega Raya MySeniman yang akan
diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dekat sini pada 17
September depan.
Acara yang akan bermula pukul 12 tengah hari itu turut membuka
peluang kepada orang ramai dan para artis menjadi ahli persatuan itu.