Pemimpin-pemimpin Pas terutamanya yang masih berpegang kepada prinsip moral digesa supaya segera mengambil langkah drastik bagi menyelamatkan parti itu sebelum terlewat.
Ini kerana tindakan membisu pemimpin kanan Pas dalam isu video seks dibimbangi akan memendekkan hayat parti itu sedangkan, peranannya selaku parti nasional Islamik dalam mengimbangi politik tanah air masih diperlukan.
Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin berkata, Pas tidak harus menjadi korban hanya kerana kesilapan seorang dua ulama dalam parti itu yang tanpa usul periksa, bermati-matian mempertahankan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Kesempatan masih ada sebelum hal yang sebenar mengenai siapa 'aktor' dalam video seks itu terdedah kerana jika terlewat, kredibiliti Pas sebagai parti yang memperjuangkan prinsip Islam sejak sekian lama akan musnah.
"Saya yakin ini (menyelamatkan Pas) boleh dilakukan kerana percaya, masih ada segelintir pemimpin Pas yang berpegang teguh kepada prinsip moral berbanding hanya tahu menjaga kepentingan politik semata-mata.
"Mereka perlu tampil menyatakan pendirian. Mereka perlu memisahkan diri daripada dikenali sebagai pemimpin yang mempertahankan aksi seks demi kepentingan politik," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Zainuddin yang juga Tokoh Wartawan Negara berkata, masa semakin suntuk buat Pas kerana persepsi rakyat telah berubah sebaik sahaja Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengesahkan video seks tersebut tulen.
Tambahnya, selaku parti yang berjuang atas landasan Islam, Pas sepatutnya bertanya di mana jam jenama Omega yang bertatah lambang negara Arab Saudi, sebelum membabi buta membuat solat hajat dan kemudiannya menjadikan ia sebagai pentas politik.
"Sebagai makluman kepada pemimpin Pas, hanya beberapa individu sahaja dalam dunia ini yang memiliki jam Omega bertatah lambang negara Arab Saudi dan Anwar salah seorang daripadanya, tetapi persoalan sekarang di mana jam itu.
"Sepatutnya Pas bertanya benarkah jam tersebut masih dalam simpanan Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagaimana didakwa Anwar sebelum ini, atau benar ia berada dalam tangan trio 'Datuk T' (kemudian diserah kepada polis)," jelasnya.
-sumber Utusan Malaysia
Dalam pada itu, Zainuddin menyokong cadangan supaya rakaman video seks yang dikaitkan dengan Anwar itu dipertonton di Dewan Rakyat, bagi membolehkan ahli Parlimen membuat keputusan sama ada wajar atau tidak suruhanjaya diraja ditubuhkan.
Ini kerana, katanya, berdasarkan cerita yang disampaikan oleh beberapa editor dan ahli politik yang sudah menonton rakaman tersebut, mereka sanggup memotong jari sendiri seandainya 'pelakon' dalam video itu bukan Anwar.
No comments:
Post a Comment