Terima Kasih kerana Follow GT-Puteri , anda semua adalah yang terbaik !

Tuesday, 24 July 2012

Jasa Najib di Usia 59 Tahun



YAB Dato’ Seri Najib mungkin baru 3 tahun memegang jawatan Perdana Menteri Malaysia, namun jasa-jasa beliau kepada rakyat dan negara begitu banyak dan sukar untuk disenaraikan.   

Bermula dari usia 22 tahun, Najib telah pun menjadi Ahli Parlimen sebelum dilantik menjadi Timbalan Menteri Tenaga, Telekomunikasi dan Pos dan kemudiannya Timbalan Menteri Pelajaran serta Timbalan Menteri Kewangan.  Ini bermakna, di usia yang begitu muda, Dato’ Seri Najib telah pun menabur jasa kepada rakyat melalui portfolio-portfolio yang dipegangnya.  

Kewibawaan, kesungguhan dan keikhlasan beliau berkhidmat telah mendapat perhatian Perdana Menteri pada ketika itu, iaitu Dr. Mahathir Mohamad yang kemudiannya mencalonkan beliau ke kerusi DUN Pekan yang membawa kepada perlantikannya sebagai Menteri Besar Pahang di usia 29 tahun.  

Lanjutan dari itu, Najib sebagai Menteri Besar menjadi antara tokoh perintis Yayasan Pahang bagi mempromosi pendidikan dan sukan di kalangan belia melalui biasiswa dan dana.   Beliau juga berjaya menjana pendapatan negeri melalui sumber semulajadi dan kerjasama dengan FELDA, dengan membuka jalan untuk skim pendudukan tanah baru bagi memberi peluang pendapatan kepada golongan miskin dan tidak memiliki tanah.  

Selain menyumbang melalui politik, Najib yang dilantik menjadi Pengerusi Lembaga Kemajuan Penternakan, Majuternak, telah menggunakan sepenuh peluangnya di sana untuk mencari idea-idea baru bagi membantu para penternak.  

Dan apabila beliau memegang jawatan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, kesungguhan beliau meningkatkan mutu sukan negara ternyata membawa hasil apabila Malaysia berjaya menunjukkan pencapaian terbaik di Sukan SEA 1989 yang diadakan di Kuala Lumpur.  

Pada tahun 1991, Najib dilantik menjadi Menteri Pertahanan dan sehingga kini beliau tetap dianggap sebagai Menteri Pertahanan terbaik bagi Malaysia. Beliau memodenkan dan meningkatkan kredibiliti Angkatan Tentera Malaysia melalui berbagai latihan dan peralatan terkini.  

Setelah kementerian tersebut berada di tahap yang membanggakan beliau diberi pula tanggungjawab untuk menerajui Kementerian Pelajaran.  Di sini, beliau mengstruktur semula dan mengswastakan universiti awam serta menggalakkan kerjasama dengan universiti luar negara.  Antara jasa beliau di kementerian ini yang dapat dinikmati secara langsung oleh para guru hari ini ialah menaiktaraf sijil pendidikan kepada diploma bagi menaikkan tanggagaji guru-guru.  

Khidmat Najib sebagai Menteri Pertahanan sekali lagi diperlukan pada tahun 1995.  Beliau pun mengambil peluang ini untuk meningkatkan moral Angkatan Tentera Malaysia yang telah sedia dihormati dunia, dengan memperkenalkan skim perumahan yang lebih baik, pengstukturan semula elaun dan juga pendapatan mereka.  

Jelas, jasa-jasa Dato’ Seri Najib sebelum menjadi Perdana Menteri juga sudah tidak terhingga banyaknya.  

Najib dilantik sebagai Perdana Menteri pada 3 April 2009, dan sejak itu, beliau langsung tidak membuang masa untuk bekerja.  Dalam masa hanya 3 tahun, idea transformasinya ternyata berjaya dilaksanakan, malah berjaya membuahkan hasil dan bukannya hanya slogan kosong.  

Beliau pantas memperkenalkan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) bagi meningkatkan kualiti, kecekapan dan ketelusan dalam sektor perkhidmatan awam dan kerajaan.  KPI diperkenalkan bagi mengukur tahap pencapaian pegawai dan juga agensi-agensi kerajaan.   

Selain itu, National Key Result Areas (NKRA) diumumkan sebagai garis perancangan untuk menangani 7 perkara yang melibatkan rakyat dan negara, iaitu mengurangkan jenayah, memerangi rasuah, meningkatkan pencapaian pelajar, menaikkan taraf hidup golongan berpendapatan rendah, meningkatkan infrastruktur asas di kawasan luar bandar, memastikan bekalan air bersih dan dirawat, meningkatkan sistem pengangkutan awam di bandar dan menangani masalah kos sara hidup.  

Kesemua ini telah dan sedang berjalan lancar manakala sebahagian besarnya telah pun menunjukkan hasil yang memuaskan.  Ternyata, beliau adalah seorang yang mengotakan apa yang dikata dan tanpa membuang masa.  

Kempen 1Malaysia yang dilancarkan beliau juga mendapat tempat di hati rakyat yang rata-ratanya menyokong perpaduan di bawah nama satu bangsa.  

Dalam masa tiga tahun pemerintahan beliau juga, Najib berjaya mengekalkan kekukuhan ekonomi Malaysia bermula dengan lonjakan paling tinggi dalam GDP sehingga 5.9% pada September 2009 dari rekod yang rendah pada Mac 2009 iaitu -7.6% sebelum beliau pengambil-alihan tampuk pemerintahan 

Kestabilan politik dan ekonomi dalam negara hasil dari kepimpinan Najib, telah membolehkan kerajaan mengumumkan bantuan-bantuan bersifat langsung kepada rakyat, antaranya BR1M, KR1M, TR1M, Klinik 1Malaysia dan berbagai-bagai lagi.  

Berdasarkan fakta di atas, pendek kata, sejurus selepas mencapai usia dewasa, iaitu di awal 20-an, Najib telah tidak berhenti-henti menabur jasa kepada rakyat. Namun, di usia 59 tahun hari ini, Najib tidak langsung menganggap kedudukannya sebagai balasan kepada jasa-jasanya tetapi mengambil sikap seolah-olah beliau pula yang terhutang budi dengan rakyat kerana memberi keyakinan kepadanya.  Justeru itu, beliau terus tegap bersemangat untuk berkhidmat dan menabur jasa tanpa merasa jemu atau letih.  

Sesungguhnya tidak seorang pun dari rakyat Malaysia yang mampu menafikan segala jasa-jasa beliau walaupun mereka mungkin merupakan penyokong pembangkang.  Tiada siapa boleh menafikan yang mereka menerima wang tunai serta bantuan langsung dari berbagai-bagai program yang diilhamkan Najib.  

Sememangnya, sudah menjadi tuntutan agama dan moral bagi kita semua untuk mengucapkan terima kasih kepada beliau atas segala jasa yang dicurahkan.  Dengan itu, kita mendoakan agar Dato’ Seri Najib dipanjangkan usia, dimurahkan rezeki, diberikan kesihatan yang baik agar dapat terus berkhidmat kepada negara dan juga rakyat.  

Selamat Ulang Tahun, Dato’ Seri Najib, Perdana Menteri yang dikasihi lagi dihormati!

PAS Buang Ulama, UMNO Ambil Ulama



Tidak berapa lama dulu, PAS pernah dikenali sebagai parti alim ulama berikutan ramainya para ulama pondok dan ilmuan agama lulusan dari Timur Tengah yang lebih selesa berjuang dari dalam PAS berbanding bersama dengan UMNO.

Bagaimanapun beberapa tahun kebelakangan ini, trend sedemikian seperti sudah berubah arah apabila para ulama dan tok guru pondok kini kelihatan semakin menjauhi PAS dimasa yang sama dilihat semakin mesra pula dengan UMNO.

Sikap PAS yang semakin angkuh dan bongkak dalam mengejar kuasa termasuk sanggup menggadai prinsip dan dasar perjuangan Islam termasuk kerap tunduk pada tekanan rakan sepakatan dari pembangkang turut menyumbang ke arah perubahan trend tersebut.

Di Kelantan umpamanya, sebahagian besar tok guru pondok sudah tidak lagi sanggup bersekongkol dengan PAS yang dilihat melebih-lebihkan dunia hingga lupa matlamat sebenar untuk mendaulatkan Islam dan hukum hakamnya.

Jika dulu pandangan dan nasihat tok guru pondok sering menjadi rujukan pemimpin PAS dalam sesatu isu, kini peranan tok guru pondok tidak lebih sekadar sebagai tukang baca doa dan adakalanya menjadi tok imam untuk program politik yang berselindung disebalik majlis 'solat hajat perdana'. 

Tambahan pula semenjak sebahagian besar pimpinannya dikuasai oleh puak liberal yang dikenali sebagai Anwarinas ataupun Erdogan, rentak hala tuju PAS juga kian liberal manakala suara-suara golongan ulama parti pula semakin tenggelam.

Pandangan Timbalan Mursyidul Am PAS dalam isu kalimah Allah s.w.t misalnya, sengaja dibakul sampahkan sahaja hanya semata-mata hati dan perasaan pemimpin DAP dan pengundi kristian pro DAP dilihat lebih utama untuk kepentingan mengejar kuasa duniawi.

Malah, apabila ramai pimpinan utamanya yang berlatar belakangkan agama sengaja dipinggirkan dalam perebutan jawatan parti, ia mengesahkan lagi yang PAS kini sudah melalui zaman perubahan total yang meletakkan para ulama dalam PAS kini hanyalah umpama kain buruk sahaja.

PAS lebih selesa dengan rentak baru haluannya yang lebih bebas tanpa kawalan dan teguran dari ulama dalam parti, meletakkannya kini seakan sama seperti PKR dan DAP walaupun tarafnya masih bersifat balaci. 

Tika PAS berubah sikap secara drastik membuang satu demi satu pemimpin berlatarbelakang agama dan mula meminggirkan suara ulama-ulamanya, UMNO pula mengorak langkah memperkukuhkan suara alim ulama supaya lebih memainkan peranan dalam parti dan kerajaan.

Bagi PAS, para ulama dan tok guru pondok seakan sudah tiada nilai untuk dimanfaatkan sebaliknya kemunculan beberapa artis perempuan yang suatu ketika dulu meliuk-liuk tubuhnya bergaya seksi di depan kamera kini dilihat lebih berharga untuk memancing undi muda mudi.

Sunday, 22 July 2012

PAS Tidak Bersekongkol Tetapi Cuma Bekerjasama Dengan DAP – Nasrudin Tantawi



Akhbar Sinar Harian hari ini melaporkan kenyataan Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan Tantawi berkenaan hubungan PAS dengan DAP yang mana beliau menegaskan bahawa Pas tidak pernah bersekongkol dengan DAP kerana ia adalah tahaluf siasi.  Tetapi, beliau mengakui bahawa PAS bekerjasama dengan DAP kerana politik.  

Kita faham bahawa Nasrudin bercakap atas kapasiti beliau sebagai ahli politik dan bukannya agamawan dan kerana itu beliau merasa selesa bermain dengan kata-kata tanpa menghiraukan maknanya.  Dengan menggunakan perkataan ‘bekerjasama’ dan bukan ‘bersekongkol’, maka Nasrudin menyangka yang PAS akan terlepas dari dikaitkan dengan agenda DAP.  

Perkataan-perkataan seperti bersekongkol, berkomplot, berkonspirasi sebenarnya membawa kepada perlaksanaan yang serupa dengan bekerjasama. 

Beza kedua-dua perkataan ini hanyalah dari segi ‘niat’ di mana ‘sekongkol’ merujuk kepada satu pakatan yang berniat jahat dan ‘kerjasama’ pula merujuk kepada satu-satu pakatan secara umum.  

Oleh itu, kedua-dua perkataan membawa pengertian yang sama iaitu ‘berpakat, berganding-bahu, bertoleransi dan saling bantu-membantu untuk mencapai matlamat masing-masing’.  

Dalam konteks politik PAS dan DAP, dan seperti yang diakui oleh Nasrudin, adalah jelas bahawa matlamat masing-masing hanyalah untuk menang pilihanraya.  Pastinya kerana PAS dan DAP ingin mencatur semula politik Malaysia mengikut acuan mereka.  

Maka di sinilah terletaknya masalah dalam penjelasan atau ‘tafsiran’ Nasrudin mengenai hubungan PAS-DAP.   Iaitu, walaupun matlamat kedua-dua parti adalah sama tetapi acuan mereka amat bertentangan.  Malah Nasrudin sendiri enggan atau tidak sanggup mengaku yang PAS berkongsi agenda yang sama atau ‘bersekongkol’ dengan DAP. 

Kita sedia maklum bahawa acuan DAP adalah Malaysian Malaysia di mana ia menjulang kesamarataan total (ala DAP).  Ini bermakna, semua agama adalah sama dan Islam tidak harus menjadi agama rasmi sekali gus persoalan mengenai undang-undang Islam, cara hidup Islam, hudud dan sebagainya adalah tidak relevan sama sekali.  Selain itu, DAP juga diketahui mengambil sikap memperlekeh dan menentang Institusi Raja-raja Melayu.  

Bagaimanapun, atas dasar kerjasama seperti yang diakui Nasrudin, kedua-dua parti ini tetap saling bantu membantu untuk memenangkan masing-masing dalam pilihanraya walaupun matlamat mereka bertentangan.  

Ini bermakna, PAS membantu DAP menang, DAP membantu PAS menang, kemenangan PAS adalah kemenangan DAP dan mengundi PAS adalah sama ertinya dengan mengundi DAP.   

Dalam ertikata lain, PAS bertanggungjawab membantu DAP membentuk negara ini mengikut acuan DAP.    

Benar, ada kemungkinan DAP tidak mampu membentuk negara ini mengikut acuannya dan sebaliknya PAS yang berjaya memaksa acuan mereka ke atas DAP.  

Tetapi, ini hanyalah satu kemungkinan kecil. 

Jika dilihat dari segi kebarangkalian matematik, jumlah PAS mengalah kepada DAP dalam isu-isu di mana mereka bertelagah pendapat adalah jauh lebih besar dari jumlah DAP mengalah kepada PAS.    

Antaranya, hudud, Negara Islam, isu judi, arak, rumah urut dan murtad, keputusannya ialah DAP-5, PAS-0,.  Di kala PAS sanggup menggadaikan Negara Islam, DAP pula sanggup ‘berjihad’ dan mati menentangnya.   Hakikatnya, DAP tidak pernah mengalah atau berundur walau se-inci pun dalam ‘semangat’ kerjasamanya dengan PAS.  

Justeru, adalah hampir mustahil yang DAP akan akur kepada agenda PAS andainya Pakatan Rakyat berjaya memenangi pilihanraya.  

Kesimpulannya, ‘kerjasama’ atau ‘persekongkolan’ atau ‘pakatan’ atau apa saja perkataan yang digunakan oleh Nasrudin untuk menjelaskan hubungan PAS-DAP, hanya akan menguntungkan DAP.   

Dengan itu, Nasrudin harus sedar, bahawa PAS tidak akan berjaya menghapuskan imej parti itu sebagai balaci, barua dan anjing suruhan DAP hanya dengan menggunakan perkataan berbeza tetapi mempunyai maksud perlaksanaan yang sama, dalam menerangkan hubungan mereka.

Ketepikan Politik, Segerakan Langat 2


Suatu ketika dulu sekitar tahun 1991, negeri Melaka pernah mengalami krisis air setelah dilanda kemarau panjang yang mengakibatkan empangan Durian Tunggal hampir kering sekaligus menyebabkan kegagalan loji-loji rawatan air di negeri tersebut menyedut dan menapis air dari empangan tersebut.

Pada tahun 1998 pula di Selangor, sebahagian besar empangan dan sungai mengalami penyusutan isipadu air disebabkan fenomena El-Nino. Empangan dan sungai-sungai yang sebelumnya penuh mula menunjukkan penurunan paras airnya disebabkan bahang panas yang melanda.

Kesan daripada itu loji-loji rawatan air juga mengalami kesukaran untuk mengepam air mentah untuk dirawat sebelum dibekalkan kepada pengguna di sekitar Lembah Klang seterusnya membawa kepada krisis air yang memeritkan kehidupan ramai.

Mengambil iktibar dari dua kejadian tersebut, Kerajaan Pusat telah melaksanakan pendekatan pro aktif untuk kepentingan jangka masa panjang dengan melancarkan projek Loji Rawatan Air Sungai Langat 2 (Langat 2) dan Projek Penyaluran Air Mentah Pahang - Selangor (PPAMPS).

Tujuan pembinaan Langat 2 adalah sebagai tambahan kepada loji rawatan sediaada yang kebanyakannya telah beroperasi melebihi paras optimum disamping menampung aliran air mentah dari Sungai Pahang yang disalurkan melalui terowong air PPAMPS.

Dalam konteks sekarang, Selangor sememangnya tidak mengalami masalah dari segi sumber air mentah kerana empangan dan sungai-sungai yang membekalkan air ke loji-loji rawatan masih lagi penuh.

Jika mengikut congak ramai pemimpin dari PKR, DAP dan PAS, mereka sependapat tiada apa yang perlu dirisaukan sangat setelah dilihat pada paras air di empangan dan sungai yang masih penuh dan tidak menunjukkan sebarang penurunan.

Atas sebab itu, mereka menyokong langkah keras Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim yang sengaja mahu untuk menghalang dan melambat-lambatkan proses pembinaan loji rawatan air Langat 2 dan terowong air PPAMPS.

Walhal, realiti sebenarnya soal hujan atau tidak, kemarau atau sebaliknya bukannya ketentuan kita. Tak selamanya hujan akan membasahi bumi Selangor dan tidaklah kerap kemarau panjang berlaku secara tiba-tiba.

Namun apabila beberapa negeri termasuk Selangor sendiri pernah mengalami krisis air dek kerana perubahan cuaca, bukanlah meragukan lagi terdapatnya keperluan untuk mengadakan satu saluran air mentah dari Sungai Pahang untuk dirawat di loji baru Langat 2 sebagai satu persediaan jangka masa panjang untuk kebaikan semua.

Sementelah lagi rata-rata loji rawatan air di seluruh negeri sedang beroperasi melebihi kemampuan asal, mahu tidak mahu proses selenggara loji-loji tersebut terpaksa kerap dilakukan. Ini bermakna tiap kali loji diselenggara, bekalan air bersih yang telah dirawat terpaksa dihentikan sementara.

Walaupun pada 20 Mac lepas Kerajaan Pusat telahpun siap membina sebuah loji baru di Sungai Labu yang mampu merawat air mentah sehingga 45 juta liter sehari seterusnya membekalkan kepada pengguna di sekitar Sepang hingga tanjung Sepat, Bagan Lalang, Sungai Pelek dan Kundang, namun rizab air bersih keseluruhan yang cuma 151.8 juta liter sehari sahaja yang pastinya tidak mencukupi untuk keperluan mendatang.

Disinilah peri pentingnya keperluan loji rawatan air Langat 2 sebagai loji tambahan bagi meningkatkan kapasiti rizab air bersih sekaligus mengurangkan risiko bekalan air terpaksa dicatu.

Terowong air PPAMPS pula selain berperanan menyalurkan air mentah dari Pahang ke loji Langat 2, ia juga merupakan satu plan jangka waktu panjang sekiranya dalam keadaan tertentu kemarau panjang atau fenomena El-Nino melanda negara sekali lagi. 

Pengalaman lepas yang pernah dialami majoriti rakyat Selangor sepatutnya menjadi pengajaran berguna pada kerajaan negeri untuk mengetepikan seketika perbezaan politik dan kepentingan kepartian, sebaliknya bekerjasama dengan Kerajaan Pusat bagi mencegah krisis air yang lebih buruk kelak.

Seandainya gagal ditangani segera dan projek Langat 2 serta terowong air PPAMPS terus disekat, bukan sahaja rakyat bawahan yang merana malah turut memberi kesan buruk pada ekonomi negeri apabila krisis air yang melanda.

Soal air percuma atau tarif air turun naik bukan lagi persoalan utama sekiranya krisis air 1998 menimpa Selangor sekali lagi. 

Bagi mereka yang pernah melalui kegawatan krisis air 1998 tentu tahu betapa sukarnya kehidupan bila berhadapan dengan krisis air, saban hari terpaksa menanti lori tangki air untuk ditadah manakala aktiviti ekonomi terbantut dan kilang-kilang pula terpaksa mengurangkan waktu operasinya.

Justeru itu, ketepikan seketika politik kepartian, apa sahaja jawatan yang dipegang tatkala ini hakikat nyatanya masing-masing kita memerlukan air bersih untuk meneruskan kehidupan dan menjalani aktiviti seharian.

Segerakan pembinaan Langat 2 dan PPAMPS untuk kebaikan bersama bagi menghadapi waktu-waktu mendatang. Jangan nanti bila ditimpa bencana barulah kita mahu menyesal kerana tika itu penyesalan tiada gunanya lagi.